Tag: MCMC

  • Video berbaur provokasi: MCMC, PDRM panggil pengurusan TikTok

    Video berbaur provokasi: MCMC, PDRM panggil pengurusan TikTok

    SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil pihak pengurusan TikTok untuk memberikan penjelasan berhubung penularan tiga klip video berbaur provokasi mengenai amaran rusuhan 13 Mei 1969. 

    MCMC dalam kenyataan memaklumkan penyebaran kandungan berbaur provokasi itu dengan niat mencetuskan ketidakharmonian, kebencian, prejudis dan perasaan orang lain adalah satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    “Sebarang penyebaran kandungan video sedemikian merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab yang dikhuatiri boleh menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, perasaan kebencian mahupun prejudis dalam hal-ehwal berkaitan dengan agama dan kaum,” katanya.

    Menurut kenyataan itu, MCMC terus memantau penyebaran klip video tersebut serta pendedahan sebuah portal berita yang tiga klip video itu merupakan kandungan berbayar. 

    Selain itu, MCMC dan PDRM akan mempertingkat usaha untuk mengekang penyebaran video sedemikian yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.

    Sebuah portal berita hari ini melaporkan terdapat pengguna media sosial yang menyatakan beberapa video berhubung amaran rusuhan 13 Mei 1969 yang tular di TikTok mempunyai label “paid partnership” atau perkongsian berbayar. – BERNAMA

  • Waspada penipuan SMS guna ‘GOV’

    Waspada penipuan SMS guna ‘GOV’

    ORANG ramai diminta berwaspada dan tidak terpedaya jika menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada ID penghantar ‘GOV’ menggunakan nama organisasi MySejahtera yang memaklumkan pengguna bahawa bantuan khas kewangan telah dikreditkan ke akaun Touch ‘n Go (TNG) eWallet mereka.

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata terdapat penyalahgunaan ID penghantar ‘GOV’ apabila pihak tidak bertanggungjawab telah memanipulasikan ID penghantar tersebut untuk tujuan penipuan. 

    “Peringatan ini dikeluarkan sejajar dengan penafian oleh pihak MySejahtera berkenaan pesanan SMS palsu berkaitan pemberian bantuan kewangan kepada orang ramai,” kata MCMC dalam kenyataan hari ini.

    Untuk makluman, hebahan SMS melalui ID penghantar ‘GOV’ dikhususkan bagi membuat pesanan khidmat awam (PKA) berkenaan inisiatif oleh kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat.

    MCMC berkata tindakan sekatan telah diambil ke atas akses pautan palsu tersebut.

    MCMC berkata individu yang didapati menyebarkan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan perundangan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.- BERNAMA

  • Dakwaan MCMC sekat akses portal berita antarabangsa tidak benar

    Dakwaan MCMC sekat akses portal berita antarabangsa tidak benar

    SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan berhubung satu mesej di aplikasi WhatsApp, yang kononnya agensi itu menyekat akses kepada artikel terbitan portal berita antarabangsa.

    MCMC dalam kenyataan hari ini menegaskan, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan berniat untuk mengelirukan pengguna internet di Malaysia.

    Kenyataan itu menyatakan, penelitian mendapati pautan-pautan (URL) berita dari portal seperti Nikkei Asia, Yahoo News!, Reuters, Al-Jazeera, The Guardian dan Washington Post secara sengaja atau kebetulan diubah suai atau dipendekkan.

    “Tindakan itu sekali gus menyebabkan sebarang klik pada pautan-pautan tersebut akan membawa pengguna ke halaman yang menunjukkan seperti artikel tersebut tidak lagi wujud. 

    “Penelitian turut mendapati artikel-artikel berkenaan masih wujud, boleh diakses dan tidak dipadamkan atau diturunkan oleh portal-portal berita berkenaan seperti yang didakwa,” menurut kenyataan tersebut.

    Sehubungan itu, MCMC menggesa orang ramai untuk sentiasa menilai intipati sebarang mesej yang diterima, dan berhenti berkongsi berita belum ditentukan kesahihannya.- BERNAMA