Tag: MBSA

  • Tiga termasuk dua pegawai MBSA ditahan SPRM

    Tiga termasuk dua pegawai MBSA ditahan SPRM

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk dua pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dipercayai berhubung projek kerajaan negeri.

    Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi berkata satu lagi individu yang ditahan ialah seorang kontraktor.

    Sementara itu, Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata pihaknya masih menunggu laporan SPRM dan tidak dapat mengesahkan sama ada penahanan itu berkait  projek tebatan banjir sebagaimana dilapor sebuah portal.

    Menurut Zamani, projek itu ketika ini masih di peringkat perbincangan dengan kerajaan negeri dan belum dimulakan.

    Beliau juga tidak dapat memastikan sama ada SPRM membawa keluar beberapa fail dari premis berkenaan ketika serbuan dipercayai dibuat SPRM di Wisma MBSA, di sini, Isnin lepas.

    “Pada ketika itu, semua pegawai kanan berada di luar menghadiri dialog bajet, ada yang kata serbuan tapi saya tak dapat mengesahkan perkara itu kerana tidak berada di sana dan tidak mendapat apa-apa maklumat daripada SPRM lagi,” katanya ketika dihubungi Bernama.- BERNAMA

  • Datuk Bandar Shah Alam sahkan MBSA ‘diserbu’ SPRM

    Datuk Bandar Shah Alam sahkan MBSA ‘diserbu’ SPRM

    MAJLIS Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengesahkan pejabatnya di Shah Alam ‘diserbu’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada Isnin lalu.

    Datuk Bandar Shah Alam, Zamani Ahmad Mansor mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini.

    Bagaimanapun, Zamani berkata pihaknya tidak dapat mengesahkan tujuan serbuan tersebut dilakukan.

    “Ya (SPRM buat serbuan di pejabat MBSA).

    “Berkenaan dengan perkara ini (serbuan SPRM), kita masih tunggu laporan SPRM takut salah fakta,” katanya kepada Malaysiakini.

    Dia berkata demikian ketika diminta mengesahkan sekiranya terdapat serbuan SPRM di MBSA pada Isnin.

    Malaysiakini difahamkan oleh salah seorang wakil rakyat PKR yang enggan namanya disebut bahawa ‘serbuan’ itu dilakukan mungkin berkaitan dengan projek tebatan banjir.

    Namun Malaysiakini tidak dapat mengesahkan sama ada kunjungan itu satu serbuan atau sekadar lawatan.

    Malaysiakini juga sudah menghubungi SPRM bagi mengesahkan perkara tersebut, namun belum mendapat sebarang maklum balas.