Tag: MBJB

  • Lelaki tumbuk penguat kuasa MBJB tak puas hati barang disita

    Lelaki tumbuk penguat kuasa MBJB tak puas hati barang disita

    SEORANG pembantu penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) cedera dipukul pengurus sebuah premis semasa menjalankan operasi penyitaan sebuah kedai di Taman Pelangi di Johor Bahru, kelmarin.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pada pukul 1.50 pagi melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 48 tahun yang tidak berpuas hati dengan operasi dijalankan MBJB.

    Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka akibat ditumbuk, selain turut mengalami lebam di lutut kirinya.

    “Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan suspek tidak berpuas hati dengan operasi sitaan barangan yang dijalankan MBJB kerana premis terbabit tidak mempunyai lesen beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Raub berkata, bertindak atas maklumat oleh mangsa, pengurus berkenaan berjaya ditahan polis di premis tersebut pada pukul 1.15 petang semalam.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

    “Suspek akan dimohon untuk dikenakan reman bagi membantu siasatan yang dijalankan,” katanya.

    Sehubungan itu ujar beliau, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menghubungi talian 07-2182323 atau 011-40678218 untuk membantu siasatan.

  • 34 gelandangan, pengemis di Bandaraya JB dipindahkan

    34 gelandangan, pengemis di Bandaraya JB dipindahkan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAJLIS Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memindahkan 34 gelandangan dan pengemis di bandar raya ini ke Dewan Serbaguna Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling di sini pada malam semalam.

    MBJB menerusi satu kenyataan memberitahu, mereka dikesan dalam Operasi Menyelamat Orang Papa (Gelandangan dan Pengemis) Fasa 3 di sekitar bandar raya ini yang bermula pukul 11 malam.

    “Kesemua individu berkenaan akan menjalani saringan menyeluruh daripada segi Covid-19, pemeriksaan kesihatan, penyalahgunaan bahan terlarang, rekod kendiri dan lain-lain lagi.

    Polis melakukan pemeriksaan seorang gelandangan dalam Operasi Menyelamat Orang Papa (Gelandangan dan Pengemis) di Bandaraya Johor Bahru

    “Setelah mendapat keputusan saringan berkaitan, mereka akan ditempatkan di dewan tersebut dan sebahagian daripada mereka akan diserahkan kepada agensi berkaitan,” menurut MBJB dalam kenyataan, hari ini.

    MBJB katanya, menyediakan peruntukan bagi memastikan golongan berkenaan yang ditempatkan di dewan itu berjalan lancar dan teratur.

    Jelas MBJB, peruntukan yang disediakan melibatkan pembaikan dan ubah suai bangunan, penyediaan keperluan peralatan pembersihan diri, keperluan bilik tidur dan tuala, perkhidmatan dobi, utiliti, perubatan serta elaun harian petugas.

    Gelandangan dipindahkan ke Dewan Serbaguna Pusat Perlindungan Wanita Taman Perling, Johor Bahru untuk sementara

    “MBJB memberi tumpuan sepenuhnya untuk menyelamatkan golongan gelandangan ini yang terdedah dan berisiko tinggi kepada jangkitan wabak Covid-19 selain memelihara kebajikan mereka.

    “Ini adalah usaha berterusan melindungi warga bandar raya dari wabak Covid-19 dan memelihara kebajikan setiap warga bandar raya. Program seumpama ini akan dijalankan dari masa ke semasa,” kata MBJB lagi.

    Operasi bersepadu itu disertai polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM).

    Dalam pada itu, MBJB memaklumkan, sehingga kini seramai 87 gelandangan di daerah ini telah diselamatkan.

  • Mohd Noorazam dilantik Datuk Bandar MBJB baharu

    Mohd Noorazam dilantik Datuk Bandar MBJB baharu

    KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Datuk Mohd Noorazam Osman dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang ke-13 berkuat kuasa hari ini.

    MBJB menerusi kenyataan memaklumkan Mohd Noorazam memulakan tugasan di Menara MBJB, di sini hari ini.

    “Seluruh warga kerja MBJB mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas buat Datuk Mohd Noorazam,” menurut kenyataan itu.

    Sementara itu, KPRJ menerusi hantaran dalam laman Facebook memaklumkan bahawa Datuk Ramlee A. Rahman dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ yang baharu bagi menggantikan Mohd Noorazam.

    “Sekalung tahniah diucapkan di atas pelantikan beliau sebagai Datuk Bandar MBJB yang baharu. Terima kasih di atas segala jasa dan sumbangan yang diberikan terhadap KPRJ,” menurut KPRJ.

    Mohd Noorazam yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ pada Jun 2018 sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA Johor 2020 dan Ketua Pegawai Eksekutif Sports Johor Sdn Bhd.

    Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Kerajaan dan Dasar Awam pada 1990 dari Northumbria University, New Castle Upon Tyne, United Kingdom itu juga mempunyai pengalaman dalam tadbir urus kerajaan negeri selama hampir 27 tahun dan kerjayanya bermula pada Mei 1991 sebagai Pegawai Tadbir Negeri Johor.

    Beliau juga memegang jawatan sebagai Pegawai Daerah Mersing pada 2017 dan Pegawai Daerah Kota Tinggi bermula 2013 sehinga 2017, selain menjadi Timbalan Pengarah Satu di Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor pada 2004 sehingga 2013 dan juga Pengurus Besar Syarikat Air Johor Sdn Bhd bermula 2004 sehingga 2013.- BERNAMA