Tag: MB Perlis

  • Mohd Shukri angkat sumpah MB Perlis  ke-11

    Mohd Shukri angkat sumpah MB Perlis ke-11

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang Mohd Shukri Ramli mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis ke-11 hari ini.

    Mohd Shukri, 61, menerima watikah pelantikan daripada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis di Bilik Hijau, Istana Arau pada 4 petang.

    Berangkat sama pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

    Tuanku Syed Sirajuddin memberi perkenan pelantikan Mohd Shukri berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis.

    Pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu sebagai Menteri Besar dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi PN yang menyerah watikah lantikan pada Ahad lepas sebelum mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin semalam.

    Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis adalah ADUN Sanglang selama tiga penggal berturut-turut sejak 2013.

    PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri selain menyapu bersih tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Besar, Arau dan Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-15. – BERNAMA

    Menteri Besar, Perlis, Mohd Shukri Ramli, sumpah, Istana Arau

  • MB Perlis, Sova Ali sah bercerai talak satu

    MB Perlis, Sova Ali sah bercerai talak satu

    MENTERI Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Sova Ali, hari ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini, selepas melayari bahtera perkahwinan selama 12 tahun.

    Peguam Syarie Nurul Atikah Abd Rashid yang mewakili Azlan selaku defendan berkata Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab Halim mengesahkan perceraian tersebut, pada prosiding yang berlangsung secara tertutup.

    “Hakim mengesahkan lafaz cerai itu mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, selepas berpuas hati dengan keterangan pihak-pihak berhubung perceraian yang dilafazkan defendan di Jakarta, Indonesia pada 23 April lalu,” katanya ketika ditemui pemberita.

    Berdasarkan Seksyen 57, seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talak di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah, hendaklah melaporkan kepada mahkamah dalam masa tujuh hari dari pelafazan talak itu.

    Sementara itu, Peguam Syarie Muhammad Syafiq Ibrahim yang mewakili Sova selaku plaintif berkata anak guamnya memfailkan saman berhubung pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, pada 3 Jun lepas.

    “Setakat ini tiada apa-apa tuntutan berkenaan nafkah, harta sepencarian dan sebagainya. Saya masih menunggu arahan anak guam,” katanya dan menambah saman itu difailkan di mahkamah di sini kerana anak guamnya bermastautin di Bangi.

    Prosiding pengesahan perceraian itu sepatutnya berlangsung pada 4 Julai lalu, namun ditangguhkan ke hari ini kerana Ahli Dewan Undangan Negeri Bintong itu tidak hadir atas urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

    Azlan, 63, dan  Sova, 40, warganegara Indonesia berkahwin pada 21 Mac 2010 di Perlis, namun tidak dikurniakan cahaya mata.- BERNAMA