Tag: MB Kedah

  • Rumah Terbuka MB Kedah diserbu 50,000 pengunjung

    Rumah Terbuka MB Kedah diserbu 50,000 pengunjung

    KEDIAMAN rasmi Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Seri Mentaloon dibanjiri orang ramai sejak pukul 11 pagi bersempena Rumah Terbuka Menteri Besar Kedah, hari ini.

    Memetik laporan Sinar Harian, suasana pekarangan Seri Mentaloon dipenuhi orang ramai yang hadir bagi memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dijadual berakhir pada 4 petang.

    Sebanyak 28 menu disajikan kepada pengunjung yang dijangka mencecah 50,000 orang.

    Muhammad Sanusi ketika ditemui menyatakan rasa gembira dengan kehadiran 30,000 pengunjung setakat jam 1 tengah hari tadi.

    “Kehadiran di luar jangka hingga menu makanan ditambah lagi untuk jangkaan 10,000 hingga 15,000 orang lagi.

    “Ini membuktikan serangan terhadap saya sebelum ini tidak beri kesan negatif, sebaliknya mendapat sambutan baik,” katanya.

    Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

    Muhammad Sanusi juga menyifatkan sambutan luar jangka ini sebagai petanda baik kepada Perikatan Nasional (PN) untuk berdepan saingan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pertengahan tahun ini.

  • Mengapa MB, Exco tak dijemput dalam majlis menteri serah Hospital Pendang?

    Mengapa MB, Exco tak dijemput dalam majlis menteri serah Hospital Pendang?

    Oleh RIZQI ZABIDI

    AHLI Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim mempersoalkan mengapa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman tidak dijemput pada Majlis Penyerahan Hospital Pendang oleh Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa kelmarin.

    Menurutnya, beliau dimaklumkan tiada jemputan diterima Menteri Besar dan exco berkenaan sekali gus menampakkan betapa mereka yang terlibat, tidak peka dengan keadaan.

    “Apakah alasannya? Adakah hanya kerana politik yang tidak seiring dengan kerajaan pusat?

    “Ini jelas menunjukkan betapa tidak pekanya seorang menteri yang seakan-akan memberi gambaran tauladan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beberapa kali mengadakan lawatan mengejut tanpa melibatkan pentadbiran negeri.

    “Mungkin suka agaknya tetapi keadaan ini sangat menjelikkan,” katanya menerusi satu status di Facebook yang dimuat naik semalam.

    Dalam majlis yang berlangsung kelmarin, Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin turut menyaksikan majlis penyerahan tersebut daripada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kepada Dr. Zaliha.

    Hospital Pendang yang secara rasmi akan mula beroperasi pada 15 Februari ini dikategorikan sebagai hospital pakar minor setelah dilengkapi 126 katil pesakit dan empat dewah bedah.

    Mengulas lanjut Awang berkata, semua pihak perlu mengamalkan politik matang dan beradab.

    Katanya, tidak ada salahnya untuk pemimpin daripada parti pembangkang dijemput ke majlis tersebut ketika pemimpin parti sehaluan dengan kerajaan turut dipelawa ke majlis berkenaan walaupun tewas dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

    “Dalam hal membawa kebaikan kepada rakyat, kementerian sepatutnya lebih bersifat terbuka dengan melibatkan semua pihak tanpa mengira ideologi politik. Semua itu sepatutnya dilakukan demi rakyat.

    “Sudah-sudahlah bermain dengan politik murahan ‘scrap off’ dan ‘discredit’ yang akan memberi gambaran lebih buruk kepada kerajaan hari ini,” katanya.

    Tambahnya, waktu berpolitik sudah pun tamat dan kini masanya untuk menabur bakti serta memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

    “Berilah khidmat bakti dengan lebih ikhlas agar lebih banyak kebaikan dapat disalurkan kepada rakyat,” katanya.

  • Pagar kediaman rasmi MB Kedah dilempar cat biru, merah

    Pagar kediaman rasmi MB Kedah dilempar cat biru, merah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TANPA diketahui motifnya, pagar kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon dekat Jalan Anak Bukit di sini disimbah cat berwarna biru dan merah, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian itu disedari oleh salah seorang petugas di kediaman terbabit sebelum melaporkannya kepada bilik gerakan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

    Katanya, siasatan awal pihak polis menemukan empat plastik berisi merah dan biru yang dipercayai dilempar ke pagar tersebut.

    “Kami menerima maklumat mengenai kejadian ini kira-kira pukul 10 pagi tadi daripada pos pengawal kediaman rasmi tersebut. Kejadian dipercayai berlaku selepas pukul 7 pagi kerana ketika pertukaran pengawal pada waktu itu, pagar tersebut masih lagi bersih.

    “Terdapat empat beg plastik ditemukan berhampiran kawasan pagar tersebut dengan dua daripadanya berisi cat biru dan dua lagi berisi cat merah. Setakat ini kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

    Pemerhatian mendapati kebanyakan cat tersebut mengenai papan tanda di kawasan pagar selain turut terkena kepada pintu pagar dan pokok hiasan di belakangnya.

    Ahmad Shukri menambah, motif kejadian setakat ini masih disiasat.

    “Kediaman ini tidak memiliki kamera litar tertutup (CCTV) namun kita akan mendapatkan bantuan daripada CCTV kawasan berhampiran untuk mendapatkan petunjuk mengenai kejadian ini.

    “Menjelang pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi, saya berharap tiada mana-mana pihak yang membuat spekulasi terhadap kejadian ini,” katanya.