Tag: MB Johor

  • MB Johor tegaskan rundingan Zahid dengan PH tidak sah

    MB Johor tegaskan rundingan Zahid dengan PH tidak sah

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu segera meletakkan jawatan dan bukannya berunding dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan.

    Menurut Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, tindakan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berunding dengan PH bagi menubuhkan kerajaan campuran sebagai tidak sah, sekiranya benar berlaku.

    “Sementara ahli UMNO menunggu tindakan berjiwa besar Ahmad Zahid untuk meletak jawatan dengan kadar yang segera, beliau sebaliknya, kalau betul sebagaimana yang dilaporkan media, sedang sibuk berunding dengan Pakatan Harapan, DAP.

    “Ahmad Zahid telah mengetuai kita semua ke medan perang dan disebabkan imejnya, antara punca kekalahan teruk BN.

    “Beliau tidak sepatutnya mewakili parti untuk berunding dengan mana-mana pihak tanpa persetujuan parti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Onn Hafiz yang juga Pengarah Operasi Pilihan Raya BN Johor menegaskan, Ahmad Zahid tidak boleh membawa mandat parti tanpa persetujuan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Majlis Tertinggi BN.

    “Untuk pengetahuan, Presiden UMNO dan Pengerusi BN tidak boleh membawa mandat parti tanpa persetujuan daripada MKT UMNO dan Majlis Tertinggi BN.

    “Oleh itu, sebarang keputusan yang dibuat oleh presiden parti tanpa proses ini adalah dikira tidak sah dari segi perlembagaan parti,” katanya.

    Semalam Ahmad Zahid dilaporkan berkata, BN tidak pernah sama sekali berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk memberikan persetujuan berhubung penubuhan kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).

    Sumber dilaporkan media mendedahkan bahawa pimpinan PH dan BN bakal mengadakan pertemuan rahsia di Hotel Seri Pacific, kira-kira jam 10 pagi ini, bagaimanapun perincian pertemuan itu tidak didedahkan.

    Dalam pada itu, Onn Hafiz turut mengingatkan keputusan terakhir UMNO adalah tidak akan bekerjasama dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP.

    “Marilah kita terus bermaruah dan berprinsip walaupun diuji dengan kekalahan. Insya-Allah ada hikmahnya.

    “Sekali lagi saya memohon dan merayu agar Presiden UMNO meletak jawatan secara terhormat pada kadar yang segera,” katanya. lapor Sinar Harian.

  • Onn Hafiz ziarah pusara Onn Jaafar, Jaafar Muhammad

    Onn Hafiz ziarah pusara Onn Jaafar, Jaafar Muhammad

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi meluangkan masa menziarahi pusara pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar dan Menteri Besar Johor yang pertama, Datuk Jaafar Muhammad di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Bahru, hari ini.

    Beliau melakukan ziarah tersebut selepas selesai dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene.

    Onn Hafiz, 44, merupakan anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, meluangkan masa kira-kira 15 minit di pusara berkenaan.

    Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Mohd. Rofiki Shamsuddin dan Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Faisal Mohamed.

    On Hafiz juga merupakan cicit kepada Datuk Onn Jaafar yang merupakan Presiden UMNO pertama serta cucu kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 Sabtu lalu, beliau menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap dengan majoriti 6,543 undian menewaskan Azlisham Azahar daripada Perikatan Nasional (PN), R. Sangaran daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

    Sebelum ini, beliau menyandang kerusi DUN Layang-layang yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

    Mendapat pendidikan dalam bidang perakaunan di University of Hertfordshire, United Kingdom (UK), Onn Hafiz mula aktif dalam politik apabila memegang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Sembrong.

    Kemudian Ketua Pemuda UMNO Sembrong dan selepas itu menjadi Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam sehingga kini.

    Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Hishammuddin ketika Ahli Parlimen Sembrong itu menjadi Menteri Pertahanan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

    Onn Hahiz menggantikan Datuk Hasni Mohammad yang dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Februari 2020.

  • Hasni ucap tahniah kepada Onn Hafiz

    Hasni ucap tahniah kepada Onn Hafiz

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad mengucapkan tahniah kepada Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dilantik sebagai Menteri Besar Johor baharu, hari ini.

    Ucapan tersebut dimuat naik dalam Facebook miliknya sejurus selesai majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor itu.

    Hasni turut mengulangi kenyataan dibuatnya semalam bahawa tiada mana-mana ideologi atau pemimpin politik yang lebih besar daripada negeri Johor.

    “Seperti yang saya telah nyatakan, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim.

    “Kini masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmur. Insya-Allah di bawah kepimpinan baharu, negeri Johor yang kita cintai ini akan menjadi lebih makmur dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan tersebut.

    Terdahulu, Onn Hafiz sah dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-19 selepas mengangkat sumpah sebagai di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, petang tadi.

    Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor yang berlangsung di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

    Sebelum ini Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-18 pada 28 Februari 2020.

    Beliau adalah Menteri Besar Johor yang ketiga dilantik selepas, Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, selepas Allahyarham Datuk Osman Sapian dan Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

  • Onn Hafiz hargai pengorbanan Hasni

    Onn Hafiz hargai pengorbanan Hasni

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Besar Johor yang baharu, Datuk Onn Hafiz Ghazi menghargai pengorbanan Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang melepaskan jawatan dan memberi peluang kepada orang muda memimpin Johor.

    Onn Hafiz berkata, pengorbanan bekas Menteri Besar Johor itu bukan sahaja menunjukkan betapa besarnya hati dan jiwa tetapi membuktikan beliau meyakini peranan dan kemampuan orang muda dalam mengemudi Johor.

    “Insya-Allah, saya akan sentiasa memohon khidmat nasihat beliau yang jauh lebih berpengalaman daripada saya.

    “Semoga gabungan orang yang berpengalaman dengan tenaga dan idealisme orang muda akan dapat membangun dan memperkukuhkan negeri ini agar terus disegani dan melangkah lebih jauh lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Onn Hafiz, 44, yang merupakan anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husseinmenewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 11,029 undi.

    Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, segala janji yang dibuat Barisan Nasional (BN) semasa PRN Johor akan ditunaikan sebaik mungkin.

    Beliau memohon semua Bangsa Johor tidak kira kaujm, agama dan latar belakang untuk bersama-samanya bersatu hati, minda dan tenaga untuk terus membangunkan negeri ini.

    “Saya juga ingin memohon doa daripada semua agar segala langkah yang akan kita atur bersama selepas ini akan mendapat keberkatan Allah SWT serta mencapai segala matlamat yang disasarkan demi kemaslahatan Negeri ini dan setiap daripada rakyatnya.

    “Saya percaya bahawa sesuatu itu hanya akan terjadi dengan izin dan kehendak-Nya jua. Justeru, saya terima mandat ini dengan tekad dan keazaman untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi dengan segala tenaga, kudrat dan kemampuan yang saya ada,” katanya.

    Anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu juga merafak sembah menjunjung kasih kepada Sultan Johor atas perkenan baginda melantiknya sebagai Menteri Besar Johor yang ke-19.

    “Patik sesungguhnya merasa insaf dan kerdil dengan amanah dan kepercayaan yang diberikan. Namun, tanggungjawab yang amat besar ini akan patik galas dengan sepenuh hati dan dedikasi, serta dengan sedaya upaya patik demi kesejahteraan dan kemakmuran Negeri dan Bangsa Johor.

    “Patik juga menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang turut berangkat sama. Patik menjunjung kasih diatas segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan,” katanya.

    Setinggi-tinggi penghargaan juga dizahirkannya kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan; Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kepimpinan UMNO Pusat dan Johor.

  • Hasni hadir majlis angkat sumpah Onn Hafiz sebagai MB baharu

    Hasni hadir majlis angkat sumpah Onn Hafiz sebagai MB baharu

    PENGERUSI Barisan Nasional (BN) dan UMNO Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad hadir ke majlis angkat sumpah Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu hadir dengan menaiki pelbagai guna jenis Toyata Velfire menerusi pintu belakang istana kira-kira pukul 2.30 petang.

    Sumber BN memaklumkan, selepas majlis angkat sumpah Hasni akan bertolak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Mesyuarat Pengurusan Majlis Tertinggi UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula esok.

    “Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan supaya Hasni hadir pada majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor ke-19 pada petang ini.

    “Selesai angkat sumpah Menteri Besar baharu, Hasni akan terus bertolak ke Kuala Lumpur bagi menghadiri Mesyuarat Pengurusan Majlis Tertinggi UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO,” katanya ketika dihubungi.

    Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-18 pada 28 Februari 2020.

    Beliau adalah Menteri Besar Johor yang ketiga dilantik selepas, Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, selepas Allahyarham Datuk Osman Sapian dan Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

  • Onn Hafiz sah MB Johor yang baharu

    Onn Hafiz sah MB Johor yang baharu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERSOALAN tentang siapa Menteri Besar Johor yang baharu terjawab apabila Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Bukit Serene, Johor Bahru kira-kira pukul 3 petang ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap itu mengangkat sumpah Menteri Besar Johor ke-19 selepas mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Onn Hafiz, 44, yang merupakan anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 11,029 undi.

    On Hafiz juga merupakan cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar serta cucu kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dipilih selepas UMNO menyerahkan tiga nama kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Semalam, Barisan Nasional (BN) memberikan tiga nama sebagai calon Menteri Besar Johor iaitu Onn Hafiz, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan ADUN Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

  • Dua beranak diberkas, dadah bernilai RM1.95 juta dirampas

    Dua beranak diberkas, dadah bernilai RM1.95 juta dirampas

    DUA beranak yang menjalankan aktiviti mengedar dadah sejak awal Januari lalu diberkas dalam satu serbuan di Bandar Saujana Putra, Jenjarom Kuala Langat, Khamis lalu.

    Ketua JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah berkata, serbuan yang dijalankan Jabatan

    Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor itu di sebuah rumah teres dua tingkat yang dijadikan stor simpanan bahan terlarang terbabit.

    Pihaknya berjaya merampas 53 bungkusan teh dipercayai berisi dadah jenis syabu bernilai RM1.95 juta dalam rumah itu, lapor Sinar Harian.

    “Dua beranak itu merupakan seorang bapa dan anak lelakinya dan kedua-duanya diberkas di tempat letak kereta di Bandar Saujana Putra.

    “Serbuan dijalankan pada pukul 4.50 petang memberkas dua suspek terdiri daripada seorang warga tempatan dan seorang warga Thailand masing-masing berumur 26 dan 49 tahun.

    “Pemeriksaan yang dijalankan terhadap sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner yang dinaiki suspek menemukan polis dengan satu kotak berisi 10 bungkusan plastik teh mengandungi dadah jenis syabu seberat 10.2 kilogram,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Selangor, hari ini.

    Beliau berkata, tangkapan yang dijalankan ke atas kedua suspek kemudian membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Saujana Putra kira-kira jam 6.20 petang.

    “Pemeriksaan dijalankan menemukan dua kotak berisi 43 bungkusan teh dipercayai turut mengandungi dadah jenis syabu seberat 43.86 kilogram.

    “Siasatan mendapati rumah teres berkenaan disewa untuk dijadikan lokasi penyimpanan dadah tersebut,” katanya.

    Menurutnya, siasatan mendapati kedua suspek menetap di Kelantan dan menjalankan perniagaan menjual barangan mainan.

    “Siasatan awal mendapati kesemua dadah yang dirampas ini dipercayai dari negara jiran untuk pengedaran di Selangor.

    “Kedua suspek dipercayai telah menyewa sebuah inap desa di negeri ini untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

    Tambahnya, semakan mendapati seorang suspek memiliki rekod kesalahan lampau.

    “Semakan mendapati suspek berumur 26 tahun tersebut memiliki rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 manakala bapanya tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

    “Ujian saringan yang dijalankan mendapati kedua suspek negatif dadah,” katanya.

    Ahmad Jefferi berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari dibawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

  • Sultan Johor perkenan, Onn Hafiz angkat sumpah MB Johor ke-19

    Sultan Johor perkenan, Onn Hafiz angkat sumpah MB Johor ke-19

    AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi dikatakan sudah mendapat perkenan Sultan Johor sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

    Anak saudara kepada Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu dijangka mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-19 di salah sebuah istana di Johor Bahru, hari ini.

    Onn Hafiz, 43, merupakan cicit kepada pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar serta cucu kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn dipilih selepas UMNO menyerahkan tiga nama kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

    Selain beliau, turut dinamanakan calon Menteri Besari Johor ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad dan ADUN Rengit, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

    Pada pilihan raya negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Onn Hafiz menewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 11,029 undi.

    Terdahulu dalam satu kenyataan, Hasni yang juga pengerusi BN Johor mencadangkan pucuk pimpinan parti agar memilih orang muda untuk memimpin Johor, setelah melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri.

    Hasni berkata langkah itu juga demi memastikan kemakmuran negeri berpanjangan.

  • 50 peratus populasi dewasa lengkap vaksin di Johor

    50 peratus populasi dewasa lengkap vaksin di Johor

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEBANYAK 50 peratus rakyat dewasa di negeri ini sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 masing-masing sekali gus berpeluang untuk beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Melihatkan perkembangan positif itu, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berharap kadar vaksinasi negeri ini dapat ditingkatkan bagi mencapai imuniti kelompok yang disasarkan.

    “Alhamdulilah, sebanyak 50 peratus penduduk negeri ini sudah lengkap menerima dua dos vaksin semalam.

    “Ini adalah momentum yang bagus untuk Johor,” katanya menerusi akaun Twitter rasminya, hari ini.

    Hasni turut memuat naik statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang memaparkan 50 peratus populasi Johor sudah lengkap mendapat dua dos vaksin, semalam.

    Mengikut jadual statistik itu, sebanyak 81 peratus penduduk negeri itu sudah mendapat satu dos vaksin.

    Semalam, Hasni dilaporkan berkata, Johor dijangka akan beralih ke Fasa 2 PPN pada minggu ini selepas dijangka menerima 1.9 juta dos vaksin Covid-19.

    Menurutnya, dengan penerimaan dos vaksin itu, Johor menjangkakan boleh mencapai liputan 100 peratus dos pertama pada hujung bulan ini manakala melengkapkan dua dos pada bulan depan.

    Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilapor mengarahkan supaya kadar vaksinasi di enam negeri termasuk Johor ditingkatkan melebihi 50 peratus menjelang hujung Oktober ini.

  • Keabsahan kerajaan PN Johor bakal ditentukan pada sidang DUN Khamis depan – MB

    Keabsahan kerajaan PN Johor bakal ditentukan pada sidang DUN Khamis depan – MB

    Oleh:Bernama

    KEABSAHAN Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Johor hanya akan ditentukan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada Khamis hadapan, kata Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

    Beliau menyifatkan persidangan DUN yang dijadualkan pada 12 Ogos ini, sebagai platform yang sesuai untuk membincangkan sebarang perkara berbangkit dengan kehadiran 56 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

    “Macam kenyataan saya terdahulu, kita akan terus menjunjung demokrasi di Johor ini tetapi kita juga tahu bahawa Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan undang-undang di negeri ini, adalah menjadi asas kepada sebarang keputusan dan tindak tanduk kita.

    Jadi melihat kepada perkembangan, Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan menentukan keabsahan beliau di Parlimen seperti mana yang dititahkan dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

    Ahli-ahli Parlimen sudah diberi mandat untuk membuat keputusan, jadi saya tidak mahu menyentuh tentang pendirian Ahli-ahli Parlimen dan sebagainya tetapi sebagai ketua kerajaan (negeri), saya merasakan bahawa perkara-perkara yang dibangkitkan ini, boleh kita bincangkan di Dewan Negeri bila kita bersidang untuk menentukan juga keabsahan kerajaan negeri dengan keputusan yang dibuat,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat program vaksinasi swasta di KPJ Abdul Samad, di sini, hari ini.

    Justeru, Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, berkata tiada keperluan bagi UMNO Johor ataupun Barisan Nasional Johor untuk membuat sebarang keputusan buat masa ini berhubung isu-isu berbangkit termasuk sokongan ke atas Perdana Menteri.

    “Di situlah (sidang DUN) saya rasa platform yang sesuai untuk kita mengambil satu keputusan berkaitan dengan isu-isu berbangkit…jadi perkara yang disebutkan (kenyataan Bersatu Johor) kalau ia bersifat politik, buat masa ini, tidak ada keperluan untuk UMNO negeri ataupun BN Johor membuat sebarang keputusan.

    Tentang kedudukan sokongan terhadap PM ke apa ke, itu semua akan kita akan (jelaskan) pada persidangan DUN nanti. Saya sendiri akan membuat pendirian terhadap perkara yang berbangkit itu,” kata Hasni, yang juga ADUN Benut itu.
    Setakat ini, Hasni mengesahkan kehadiran Muhyiddin, yang juga ADUN Gambir itu, ke sidang DUN.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Bersatu Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal semalam yang mahukan UMNO Johor membuat pendirian mengenai isu sokongan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan PN.

    Johor kini dipimpin PN Johor dengan majoriti tipis 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.
    Kerajaan negeri diterajui UMNO Johor dengan 14 kerusi, Bersatu dengan 12 kerusi, MIC dua dan Pas satu kerusi manakala pembangkang dibarisi DAP dengan 14 kerusi, Parti Amanah Negara (sembilan) dan PKR empat kerusi.- BERNAMA