Tag: MB

  • MB, TMB atau ADUN biasa – Mohd. Amar terima keputusan parti

    MB, TMB atau ADUN biasa – Mohd. Amar terima keputusan parti

    TIMBALAN Menteri Besar Kelantan,Datuk Seri Mohd. Amar Abdullah menegaskan beliau akan menerima sebarang keputusan parti berhubung kedudukannya dalam kerajaan Kelantan nanti, jika Perikatan Nasional (PN) kekal mentadbir di negeri itu.

    Menurutnya nama calon Menteri Besar akan dicadangkan oleh penyandang sedia ada dan diserahkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk diputuskan.

    “Menteri Besar ditentukan parti terutamanya Presiden dan mesti mendapat perkenan daripada istana, ada dua proses. Jadi sekarang ini belum ada makluman, apa-apa kita tunggulah.

    “Saya tak tahu (siapa) presiden putuskan, dia akan berikan nama kepada pesuruhjaya Pas negeri dan akan hantar ke istana.

    “Setahu saya dalam mesyuarat (Pas) hari khamis lalu, memang biasa macam tu (tidak dinamakan), kadang-kadang hari mengundi baru disebut sebab cadangan datang daripada Menteri Besar sedia ada.

    “Dialah yang angkat cadangan kepada Presiden, kemudiannya presiden akan buat keputusan untuk dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Kelantan,” katanya kepada media selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Panji, Kota Bharu, hari ini.

    Mohd. Amar yang juga penyandang dan calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor berkata demikian ketika ditanya mengenai calon Menteri Besar Kelantan bagi menggantikan posisi Datuk Ahmad Yakob yang memilih untuk bersara.

    Semalam Pas mengumumkan cadangan perubahan bagi jawatan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan selepas pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung hari ini.

    Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam pengumuman khas semalam memaklumkan gadingan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar Kelantan terdiri daripada tokoh ulama dan teknokrat.

    Sementara itu ditanya sama ada bersedia menggalas jawatan Menteri Besar, Mohd. Amar berkata beliau atau sesiapa sahaja akan menerima sebarang keputusan dibuat parti.

    “Tak ada masalah apa, saya pun bermula kosong sebelum ini, jadi wakil rakyat biasa. Jadi kalau berbalik pada asal pun tak ada masalah apa.

    “Itu kalau parti dah buat keputusan (dilantik) kita terpaksa terima, sebab sebelum ini pun saya tak pernah minta. Jadi timbalan menteri besar pun saya tak minta,” katanya yang juga naib Presiden Pas.

    Dalam perkembangan berasingan, Malaysiakini melaporkan Mohd. Amar mengesahkan Ahmad secara sukarela tidak ingin lagi memegang jawatan Menteri Besar.

    Katanya hasrat itu dinyatakan sejak PRU14 lagi namun Abdul Hadi merasakan penyandang dan calon DUN Pasir Pekan perlu terus memimpin kerajaan negeri.

    “Tiada isu digugurkan kerana Ahmad Yakob memang sejak PRU14 lagi meminta untuk tidak bertanding, namun Presiden parti mahu dia terus memimpin.

    “Bagaimanapun kali ini dia minta secara bersungguh-sungguh dan Presiden parti ambil maklum dengan mengambil kira faktor kesihatan dan usia,” katanya.

  • Khairy ditawar tanding PRN Selangor, jadi MB jika menang

    Khairy ditawar tanding PRN Selangor, jadi MB jika menang

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilapor mempertimbangkan untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dan ditawarkan menjadi menteri besar sekiranya menang, lapor The Star.

    Laporan itu bagaimapun tidak menyebut mana-mana parti politik tertentu yang dikatakan memberi tawaran itu.

    “Terdapat perbincangan dengan beberapa pihak dan terdapat juga perbincangan mengenai peranan,” kata Khairy dalam pertemuan dengan Kelab Concorde, kumpulan tidak rasmi pengarang dan wartawan kanan yang diketuai oleh Wong Chun Wai.

    Bagaimanapun, Khairy masih belum memutuskan perkara itu. Pilihan raya negeri (PRN) Selangor perlu diadakan tahun ini.

    “Sekiranya saya membuat keputusan untuk tidak bertanding pilihan raya negeri, maka saya akan mempunyai lebih banyak masa untuk memutuskan platform politik yang saya pilih sebagai babak seterusnya dalam perjalanan politik saya.

    “Jika saya mahu menyertai PRN, saya perlu membuat keputusan dalam beberapa bulan akan datang ke arah mana saya akan pergi,” katanya.

    Khairy menyifatkan PRN akan datang sebagai “peluang baik” tetapi menjelaskan bahawa dia belum memutuskan sama ada dia sudah bersedia untuk berdepan satu lagi pilihan raya.

    Semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 tahun lalu, Khairy tewas di Parlimen Sungai Buloh.

    Sebelum ini, Khairy adalah ahli parlimen Rembau selama tiga penggal. Beliau juga pernah menjadi anggota Kabinet di bawah tiga perdana menteri.

    Khairy dipecat daripada UMNO pada 28 Jan tanpa sebarang alasan rasmi. Difahamkan, beliau dipecat ekoran mengkritik kepimpinan parti ketika kempen PRU15.

    Sementara itu, Khairy berkata beliau tidak berhasrat untuk menubuhkan parti baharu kerana Malaysia ketika ini “agak tepu” dengan parti politik.

    “Walaupun ia adalah satu pilihan, ia tidak mungkin,” katanya.

  • Kedudukan Aminuddin sebagai MB Negeri Sembilan kukuh – Anwar

    Kedudukan Aminuddin sebagai MB Negeri Sembilan kukuh – Anwar

    KEDUDUKAN Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan dan Menteri Besar (MB) Negeri Sembilan masih kukuh di sebalik spekulasi pimpinan PKR negeri yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

    Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat MPN Negeri Sembilan yang beliau pengerusikan hari ini sebaliknya meminta Aminuddin sebagai Pengerusi MPN agar memberi perhatian kepada permasalahan yang diutarakan pimpinan negeri, terutamanya keperluan untuk mengukuhkan jentera pilihan raya.

    Menurutnya, mereka turut mencapai konsensus supaya ahli-ahli dan pimpinan kanan perhubungan negeri terus bergerak sebagai satu pasukan khasnya bagi merangka usaha menghadapi pilihan raya umum akan datang.

    “Kedudukan MB juga tidak berbangkit, ada sokongan padu. Tetapi ada dibangkitkan permintaan supaya MB beri sedikit perhatian kepada keperluan parti, cabang-cabang, untuk perkukuh jentera, dalam menghadapi pilihan raya.

    “Jadi kita beri ruang untuk mereka berbincang dan perjelaskan,supaya terus dengan padu bersama dengan Exco-exco negeri (dari PKR) dan Timbalan Speaker, untuk di dalam jentera parti, terutama Biro Politik PKR Negeri Sembilan, bagi memudahkan Aminuddin supaya bertindak sebagai MB dan Pengerusi MPN Negeri Sembilan,” katanya, hari ini.

    Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, mesyuarat tersebut merupakan siri-siri mesyuarat peringkat negeri yang beliau pengerusikan, termasuk Sabah dan Selangor sebelum ini.

    Situasi politik Negeri Sembilan agak panas sejak kebelakangan ini apabila media melaporkan pimpinan PKR Negeri Sembilan telah menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

    Mereka mendakwa, Aminuddin tidak berusaha untuk merancang bagi mengukuhkan penguasaan politik Pakatan Harapan (PH) di negeri intu untuk terus kekal memerintah.

    Malah media turut melaporkan, terdapat usaha pihak-pihak tertentu untuk mengumpulkan akuan bersumpah (SD) bagi menjatuhkan kedudukan Aminuddin.

    Bercakap mengenai isu itu, Anwar menjelaskan, beliau difahamkan beberapa individu terbabit telah menarik balik surat yang mereka tandatangani.

    “Kita tidak membincangkan soal (usaha pengumpulan) SD, tetapi kita ada membincangkan sedikit sebanyak tentang kandungannya.

    “Jadi saya beri ruang kepada mereka untuk memberi penjelasan, dan saya turut menerangkan mengapa Menteri Besar juga perlu berusaha perkukuhkan jentera pilihan raya,” tambahnya.