Tag: mayat

  • Mayat penternak lembu ditemui dengan kesan tikam, tembak

    Mayat penternak lembu ditemui dengan kesan tikam, tembak

    RIZQI ZABIDI

    MAYAT seorang penternak lembu ditemukan dalam keadaan menyayat hati dengan kesan tikaman dan tembakan di tepi jalan Ladang Kelapa Sawit Kongsi 14 di Bedong, dekat Sungai Petani malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat tersebut ditemukan dua individu yang melalui kawasan itu kira-kira pukul 11 malam.

    “Dua individu berkenaan mulanya ternampak motosikal mangsa di tepi jalan. Mereka kemudiannya menemukan pula mayat mangsa yang berusia 38 tahun dalam keadaan tertiarap kira-kira tiga meter dari situ.

    “Pemeriksaan unit forensik mendapati terdapat kesan tembakan di depan dan belakang badan mangsa. Selain itu terdapat juga kesan tikaman di depan badannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, polis turut menemukan kelongsong peluru dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

    “Semakan mendapati mangsa memiliki lima rekod jenayah lampau dan motif kejadian masih belum dikenal pasti.

    “Siasatan lanjut kini masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dibawa akan dibedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar,” katanya.

  • Mayat keenam mangsa fenomena kepala air ditemukan

    Mayat keenam mangsa fenomena kepala air ditemukan

    MAYAT mangsa keenam yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir akibat fenomena kepala air di Yan ditemukan di kawasan sekitar Titi Hayun di sini pada 1.30 tengah hari ini.

    Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar berkata mayat Ridwan Poniman, 61, ditemukan pasukan penyelamat kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa dipercayai dihanyutkan di Titi Hayun.

    “Mayat mangsa yang terakhir ini ditemukan di bawah timbunan kayu dan mayat dalam keadaan masih sempurna,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat gerakan mencari dan menyelamat di Titi Hayun.

    Shahnaz berkata seramai 400 anggota pasukan penyelamat termasuk bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta polis terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat hari ini.

    Katanya mayat Ridwan dihantar ke Hospital Yan untuk bedah siasat.

    Beliau berkata sehubungan itu pencarian mangsa hilang dihentikan selepas penemuan mayat terakhir tersebut.

    Insiden pada petang Rabu itu turut menjejaskan kira-kira 800 rumah di sekitar daerah Yan dan 200 di Kuala Muda.- BERNAMA

  • RM1 juta bantu urus mayat selain Islam di PUSARA HKL

    RM1 juta bantu urus mayat selain Islam di PUSARA HKL

    Oleh: Bernama

    KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menyediakan bantuan kewangan RM1 juta bagi membantu menguruskan mayat warga tempatan selain Islam di Pusat Sehenti Sementara Hospital Kuala Lumpur (PUSARA HKL).

    KPN berkata RM500,000 disediakan di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi pengurusan mayat selain Islam kaum India manakala RM500,000 lagi di bawah Program Pembangunan Kampung Baru bagi pengurusan mayat selain Islam, kaum Cina.

    “Bantuan kewangan ini adalah untuk meringankan beban kewangan waris B40,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    KPN berkata keupayaan kewangan untuk membayar kos perkhidmatan pengurusan mayat, khususnya dari kalangan B40 dan kekurangan sumber manusia untuk menguruskan mayat termasuk urusan penyelarasan dengan waris adalah antara punca kelewatan pengurusan mayat di PUSARA HKL.

    Ini susulan tinjauan dan maklum balas yang diterima ketika Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique yang turun padang untuk melihat sendiri situasi di PUSARA HKL pada Khamis lepas.

    Katanya bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas berhubung proses pengurusan mayat di PUSARA HKL, KPN telah mengadakan mesyuarat dengan Pusat Krematorium swasta, Persatuan Perkuburan Cina dan India serta pengendali perkhidmatan pengurusan mayat.

    KPN juga menjalinkan kerjasama dengan dua badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Malaysian Society for Disaster Victim Identification (MSDVI) dan Yayasan Prihatin Wilayah (PRIVO), melibatkan 60 orang sukarelawan bagi membantu melicinkan urusan logistik di pihak PUSARA HKL.

    “Datuk Halimah berharap melalui insiatif yang diambil oleh KPN MSDVI dan PRIVO ini akan dapat membantu PUSARA HKL dalam pengurusan mayat warga tempatan selain Islam yang berada di dalam penyimpanan bilik mayat,” katanya.- BERNAMA