Tag: mayat

  • Bapa tak sangka keluarkan anak sendiri, anak jiran dari dasar sungai

    Bapa tak sangka keluarkan anak sendiri, anak jiran dari dasar sungai

    BAPA kepada seorang daripada dua kanak-kanak yang lemas di Sungai Pulau Jering di Segamat Johor kelmarin tidak menyangka mengeluarkan mayat anak sendiri dan anak jirannya dari dasar sungai berkenaan.

    Menurut Hermee Latim, 47, dia secara kebetulan melalui jalan di sungai berkenaan kira-kira pukul 5.30 petang.

    “Saya melalui kawasan itu dan anak kedua saya, Ahmad Aidil Kuyom, 10, yang turut berada di tebing sungai berkenaan memaklumkan kejadian itu.

    “Dia mengatakan abangnya bersama seorang rakan hilang dalam sungai tersebut. Saya tidak mengesyaki sesuatu yang buruk pada awalnya.

    “Namun saya mulai mengesyaki sesuatu yang buruk menimpa anak dan anak jiran saya apabila mereka tidak kelihatan di permukaan sungai.

    “Saya terus terjun ke dalam sungai untuk mendapatkan mereka berdua,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Dalam kejadian pukul 5.15 petang kelmarin, Ahmad Muhammad Hermee, 12, anak sulung daripada empat beradik dan Muhammad Khalifi Kamaruzaman, 13, anak sulung daripada dua beradik, lemas semasa mandi di Sungai Pulau Jering, Kampung Bukit Tunggal di Segamat.

    Mengulas lanjut, Hermee berkata, sebaik berjaya dikeluarkan dari dasar sungai mendapati kedua-duanya tidak sedarkan diri dan keadaan itu membuatkannya terduduk dan hampir pitam.

    “Tak sangka sama sekali saya sendiri ditakdirkan mengeluarkan anak saya dan anak jiran dari dasar sungai tersebut,” katanya.

    Menurutnya, kedua-duanya kemudian dibawa ke klinik swasta berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia.

    Hermee yang masih trauma dengan kejadian tersebut, reda dengan ujian berat itu namun merasakan hikmah tersirat di sebalik anak dan anak jirannya kembali kepada pencipta-Nya pada Jumaat malah dalam Ramadan.

    Katanya, jenazah kedua-duanya dikebumikan dalam satu liang lahad selepas solat zuhur, semalam.

    Sementara itu, suasana sedih menyelubungi kawasan Tanah Wakaf Perkuburan Islam di Kampung Bukit Tunggal semasa upacara pengkebumian dua kanak-kanak berkenaan.

    Terdahulu, jenazah tiba dari Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) selepas menjalani proses bedah siasat pada pukul 12.45 tengah hari sebelum solat jenazah di rumah keluarga mangsa.

    Kira-kira 250 penduduk kampung termasuk saudara mara dan kenalan hadir pada pengebumian berkenaan untuk memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.

  • Potong besi tingkap keluarkan mayat sudah kembung

    Potong besi tingkap keluarkan mayat sudah kembung

    KHIDMAT Jabatan Bomba dan Penyelamat dikerah bagi membantu mengeluarkan mayat seorang lelaki yang sudah meninggal dunia hingga badannya ‘kembung’ dalam kejadian di sebuah rumah di Seksyen 2, Petaling Jaya, semalam.

    Dalam kejadian itu, bomba terpaksa memotong besi tingkap rumah bagi mengeluarkan mangsa yang dipercayai sudah meninggal dunia sejak dua hari lalu di dalam bilik rumah berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada adik mangsa berhubung penemuan mayat abangnya pada pukul 6 petang.

    Katanya, siasatan awal mendapati mangsa tidak bekerja dan mempunyai rekod kesihatan darah tinggi dan kencing manis.

    “Lelaki itu tinggal bersama adiknya di rumah berkenaan, namun dua beradik itu jarang berjumpa berikutan urusan kerja adiknya dan kali terakhir mereka bertemu pada pukul 5 petang, Ahad lalu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

    Mengulas lanjut, Mohamad Fakhrudin, mangsa disahkan meninggal dunia dalam tempoh 48 jam oleh pasukan perubatan dari Hospital Sungai Buloh.

    Katanya, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.

    Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Azizul Zahari di talian 0127220094.

  • Mayat bayi baru lahir ditemukan di tempat pembuangan sampah

    Mayat bayi baru lahir ditemukan di tempat pembuangan sampah

    MAYAT bayi perempuan dipercayai baru lahir ditemukan di tempat pembuangan sampah di depan Rumah Kebajikan Taman Equine, Seri Kembangan di ibu negara, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan berkata polis menerima maklumat pada pukul 10.05 pagi daripada orang awam mengenai penemuan mayat bayi berkulit cerah yang dibalut dengan kain dan diletakkan di dalam beg berwarna jingga.

    Beliau berkata mayat bayi itu dijumpai di dalam kotak sampah oleh pekerja pengutip sampah.

    “Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran, dan menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi balai polis berdekatan.- BERNAMA

  • Remaja ditemukan lemas 9 km dari lokasi hilang

    Remaja ditemukan lemas 9 km dari lokasi hilang

    REMAJA lelaki yang hilang selepas mandi-manda bersama dua rakannya di sungai Parit Haji Anuar, Batu 18, Ayer Hitam, Bakri, dekat Muar, Rabu lepas, ditemukan lemas pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata mayat Muhammad Nur Hakim Zulkarnain, 19, ditemukan di tebing sungai tersebut, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.

    “Pada 10.30 pagi, pasukan mencari dan menyelamat berjaya menjumpai mangsa di tebing sungai itu dalam keadaan lengkap berpakaian. 

    “Ahli keluarga mangsa yang berada di lokasi kejadian telah membuat pengecaman identiti dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat yang disertai pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat ditamatkan pada 12 tengah hari tadi manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

    Rabu lepas, Muhammad Nur Hakim, bersama dua rakan lelakinya berusia 20 dan 21 tahun dipercayai terjun dari jambatan di sungai berkenaan untuk mandi-manda.

    Sejurus terjun, mangsa kemudiannya timbul dan menggapai tangan meminta bantuan namun gagal diselamatkan kerana arus sungai terlalu deras. – BERNAMA

  • Remaja Orang Asli maut diserang gajah liar

    Remaja Orang Asli maut diserang gajah liar

    SEORANG remaja lelaki Orang Asli berusia 15 tahun maut dipercayai akibat diserang seekor gajah liar di kebun durian di Kampung Tual di Pos Sinderut, Kuala Lipis, hari ini. 

    Ketua Polis Daerah Lipis, Supt Azli Mohd Noor, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Andy Yok Manin pada jam 4.30 petang oleh batin kampung itu. 

    “Mangsa dikatakan berada di kebun durian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari rumahnya bersama ahli keluarga. 

    “Gajah itu dikatakan terlebih dahulu menyerang di Kampung Regang, namun dapat dihalau penduduk menyebabkan ia menuju ke kebun durian itu,” katanya. menerusi kenyataan, di sini hari ini. 

    Azli berkata keluarga mangsa telah membawa balik mayat mangsa ke rumah selepas serangan gajah itu tamat. 

    Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat. – BERNAMA 

  • Mayat lelaki ditemukan dengan tangan, kaki terikat

    Mayat lelaki ditemukan dengan tangan, kaki terikat

    SATU mayat lelaki warga tempatan ditemukan dalam keadaan tangan dan kakinya berikat di tepi Jalan Bestari Jaya – Rawang menghala ke Bestari Jaya, dekat Gombak, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata mayat yang identitinya belum dikenal pasti itu ditemukan seorang lelaki tempatan yang kemudian menghubungi Balai Polis Rawang pada 11.40 pagi. 

    Beliau berkata bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak termasuk pasukan forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

    “Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 40-an. Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat berkenaan.

    Pemeriksaan pada tubuh si mati yang tangan dan kakinya diikat dengan tali nilon menemukan kesan kecederaan dan luka yang parah di bahagian atas kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Zainal Mohamed berkata mayat ditemukan berpakaian lengkap dengan  baju-t berwarna “maroon” dan berseluar pendek berwarna hitam jenama H&G.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan suspek yang terlibat serta motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya sambil menambah mayat dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

    Beliau berkata orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat ASP R Kolanthaivelu di talian 03-61262222 atau 019-2579232. – BERNAMA

  • Mayat mangsa terakhir tragedi tanah runtuh Batang Kali dikenalpasti

    Mayat mangsa terakhir tragedi tanah runtuh Batang Kali dikenalpasti

    IDENTITI mayat mangsa terakhir dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali yang ditemukan semalam sudah dikenal pasti.

    Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan hari ini, korban ke-31 tragedi tanah runtuh itu dikenali sebagai Eng Shao Qi, merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

    NADMA dalam kenyataan itu turut memaklumkan kesemua proses bedah siasat untuk kesemua mayat telah selesai dijalankan, dikenal pasti dan telah diserahkan kepada waris oleh Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.

    “Proses mengenal pasti mayat mangsa dijalankan dengan menggunakan kombinasi empat kaedah iaitu pengecaman DNA, cap jari, gigi dan pengecaman pihak waris pada barangan peribadi serta tanda unik pada badan mangsa,” menurutnya.

    Semalam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh berakhir selepas mayat terakhir ditemukan oleh pasukan SAR dalam beg tidur kira-kira empat meter dari tapak perkhemahan di Sektor A.

    Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi, 16 Dis lepas itu menyaksikan  31 nyawa terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan dalam kejadian itu. – BERNAMA

  • Tragedi tanah runtuh Batang Kali: Mayat mangsa terakhir ditemui

    Tragedi tanah runtuh Batang Kali: Mayat mangsa terakhir ditemui

    MAYAT mangsa ke-31 dan terakhir tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Jalan Batang Kali – Gohtong di Hulu Selangor, berjaya ditemui hari ini.

    Mayat yang dipercayai kanak-kanak lelaki itu ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 4.50 petang.

    ANGGOTA SAR terbabit operasi bergambar kenangan selepas mayat mangsa terakhir ditemui. FOTO NADMA

    Penemuan mayat mangsa disahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

    “Alhamdulillah mayat terakhir telah berjaya ditemui pada hari ke-9 sejak berlaku kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali,” katanya dalam hantaran di Facebook.

    Difahamkan, mayat mangsa ditemukan di Sektor A kerana usaha pencarian pada hari ini ditumpukan di sektor berkenaan.

    Mayat mangsa, yang juga seorang kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia 11 tahun itu difahamkan dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk proses bedah siasat dan pengecaman.

    Tragedi runtuhan yang berlaku pada pada 2.42 pagi, 16 Dis lepas meragut 31 nyawa, manakala 61 lagi selamat.

    Seramai 92 mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.

  • Empat mayat termasuk dua budak ditemukan bergulung dengan khemah

    Empat mayat termasuk dua budak ditemukan bergulung dengan khemah

    EMPAT mayat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di Batang Kali, ditemukan dalam keadaan bergulung dengan satu kanvas khemah pada 11.04 pagi.

    Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata keempat-empat mayat itu terdiri daripada satu lelaki dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.

    “Kesemua mayat berkenaan ditemukan dalam satu khemah yang sama di Sektor C pada kedalaman tujuh meter, lengkap berpakaian dan sudah mula mereput.

    “Buat masa ini identiti mereka masih belum dikenal pasti. Jadi, polis tidak dapat mengesahkan sama ada kesemua mayat ini merupakan anggota keluarga atau tidak,” katanya pada sidang media di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini.

    Kesemua mayat berkenaan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

    Sementara itu, Suffian berkata sehingga hari ini, polis menerima tiga laporan orang hilang melibatkan mangsa yang belum ditemukan dan mayat yang belum dikenal pasti.

    Beliau berkata mayat lelaki dewasa yang ditemukan pagi semalam iaitu korban ke-26 tragedi merupakan satu daripada yang tersenarai dalam laporan tersebut namun telah dituntut. 

    Menurut Suffian, berbaki tiga lagi mangsa masih hilang, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan walaupun sudah genap seminggu kejadian itu berlaku dengan memfokuskan di sektor A dan C.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata pasukan mencari menemukan petanda awal keberadaan keempat-empat mayat itu pada 10.43 tadi di sektor berkenaan.

    “Khemah tersebut dikesan pada 10.43 pagi bersama-sama barang peribadi yang lain melalui kerja penggalian menggunakan jengkaut sebelum khidmat anjing pengesan K9 digunakan untuk menjejak mangsa dan berjaya menemukan empat mayat dalam khemah yang sama,” katanya.

    Mengenai skop kawasan pencarian yang memasuki hari ketujuh operasi, Wan Md Razali berkata anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Gerakan Am ditugaskan seawal 9 pagi untuk membuat pemeriksaan termasuk di sungai berhampiran bagi mengesan jika ada mangsa yang terkeluar dari kawasan runtuhan.

    Tinjauan Bernama di PKTK mendapati beberapa pengamal media diberi peluang melihat sendiri lokasi kejadian selain mengambil gambar dan video manakala kenderaan pasukan terlibat SAR keluar masuk bagi menghantar anggota untuk bertukar shif penugasan serta menghantar makanan. – BERNAMA

  • Tidur dengan mayat komunis kenangan tak dapat dilupakan veteran tentera Wok

    Tidur dengan mayat komunis kenangan tak dapat dilupakan veteran tentera Wok

    TERPAKSA tidur bersama dua mayat pengganas komunis semalaman, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh Pegawai Waran I Wok Muhammad, 85, sepanjang berkhidmat selama 25 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Mengimbau kembali peristiwa itu, Wok berkata kejadian berlaku ketika beliau serta kira-kira 50 anggota platun lain mengikuti satu operasi bagi menjejaki pengganas komunis di kawasan hutan di Batu Gajah, Perak sekitar 1957.

    Beliau serta mereka perlu berjalan kaki dengan berhati-hati selama lebih tiga jam seawal 5 pagi untuk ke kawasan yang dikatakan terdapat komunis selepas pihak risikan memberikan maklumat.

    “Ketika menelusuri kawasan hutan untuk menjejaki komunis kami perlu berhati-hati kerana dikhuatiri terdapat jerangkap samar atau perangkap mahupun diserang hendap oleh pengganas komunis secara tiba-tiba.

    “Malah, sebagai langkah keselamatan, anggota platun kami ada yang membawa senjata berat dan saya pula ditugaskan membawa senjata ringan untuk berdepan dengan sebarang serangan komunis,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Bunut Susu, di Pasir Mas baru-baru ini.

    Bercerita lanjut, bapa kepada dua anak itu berkata selepas beberapa jam berjalan untuk menjejaki komunis, akhirnya ketua operasi berjaya mengesan kira-kira tujuh pengganas komunis berada di sebalik bukit sekitar kawasan hutan itu.

    Katanya sebaik sahaja berjaya menjejaki sekumpulan penggans komunis itu, anggota platun terus melepaskan tembakan, dengan dua daripada mereka terbunuh manakala saki-baki kumpulan itu berjaya meloloskan diri.

    “Selepas dua daripada pengganas mereka tumpas disebabkan terkena tembakan, kami tidak terburu-buru menuju ke mayat itu kerana bimbang terdapat bom ataupun perangkap pada mayat berkenaan.

    “Malah, kami juga turut dilatih agar memastikan musuh benar-benar terbunuh sebelum memeriksa keadaan mayat bagi mengelak sebarang bahaya,” katanya yang berusia 20 tahun ketika kejadian itu.

    Wok berkata memandangkan kejadian itu berlaku lewat petang dan keadaan sudah gelap, beliau serta beberapa anggota terpaksa bergilir-gilir memikul mayat anggota pengganas komunis itu untuk dibawa keluar keesokan hari.

    Katanya, ketika gilirannya membawa mayat komunis itu beliau berasa agak gerun selain turut berbau hanyir disebabkan darah yang mengalir sehingga turut menyebabkan uniformnya terkena kesan darah.

    “Sepanjang malam, kami juga terpaksa berjaga dan hanya tidur secara ala kadar sahaja berhampiran dua mayat komunis itu kerana dikhuatiri bau darah itu akan menarik perhatian binatang buas termasuk harimau.

    “Malah, pasukan kami juga turut bimbang sekiranya ahli komunis lain akan menyerang setelah dua anggotanya terbunuh, namun mujurlah ia tidak berlaku selain operasi itu juga ditamatkan pada keesokan hari,” katanya.

    Wok berkata beliau berasa bangga dapat berbakti kepada negara ketika usia mudanya untuk mempertahankan negara daripada penjajah komunis, malah hasil perkhidmatan dan jasanya beliau turut dianugerahkan beberapa pingat.

    “Antara pingat yang diterima termasuklah, Ahli Mangku Negara, Pingat Seri Mahkota Kelantan, Pingat Perkhidmatan Setia, Pingat Khidmat Berbakti selain saya juga pernah ditugaskan untuk bertugas di Congo selama setahun pada 1962,” katanya yang menamatkan perkhidmatan pada 1981.- BERNAMA