Tag: Maut kemalangan

  • Hajat beli persiapan raya tak kesampaian, bapa, anak saudara maut kemalangan

    Hajat beli persiapan raya tak kesampaian, bapa, anak saudara maut kemalangan

    HASRAT seorang pekerja kilang membawa bapa saudaranya membeli persiapan raya tidak kesampaian apabila kedua-duanya maut setelah kenderaan dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok di Jalan Lendu Masjid Tanah, Alor Gajah malam tadi.

    Kejadian pukul 12 tengah malam itu mengakibatkan, mangsa, Muhammad Hasraf Amin Hasrin, 23, dan bapa saudaranya, Mohd Firdaus Yusof, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Seorang lagi penumpang bahagian belakang, Azizul Hamis@Jainy pula cedera parah dalam kejadian itu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, ketiga-tiga mangsa menaiki Perodua Myvi dari arah Taman Dimensi Lendu menuju ke arah Masjid Tanah.

    Namun katanya, sejurus tiba di lokasi kejadian kereta dipandu Muhammad Hasraf hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu kiri jalan.

    “Siasatan awal mendapati mereka dalam perjalanan menuju ke bazar Aidilfitiri di Masjid Tanah.

    “Impak kemalangan itu pemandu dan bapa saudaranya yang duduk di kerusi penumpang hadapan kereta meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala, manakala Azizul yang mengalami cedera parah dikejarkan ke Hospital Alor Gajah dan dirawat di zon merah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mengulas lanjut Arshad berkata, mayat kedua-dua saudara itu dibawa ke unit forensik hospital sama untuk proses bedah siasat.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

  • Pemain PJ City maut terbabit kemalangan motosikal

    Pemain PJ City maut terbabit kemalangan motosikal

    PEMAIN Pertahanan PJ City, P. Rajes terlibat dalam kemalangan motosikal dan meninggal dunia malam tadi di Batu Caves.

    Perkara itu dimaklumkan rakannya, S. Subramaniam menerusi catatan di akaun Facebook miliknya.

    “Sahabat saya P. Rajes pemain bola sepak Liga Super PJ city FC mengalami kemalangan motosikal dan meninggal dunia malam tadi di Batu Caves.

    “Mohon jangan sebarkan gambar-gambar kemalangan beliau di media sosial dan WhatsApp demi menjaga kesensitivitian keluarga dan rakan- rakan beliau. Sekian,” tulisnya.

    Pemergian mendiang nyata dirasai peminat bola sepak tanah air yag bersedih dengan pemergiannya.

    Kebanyakan kelab bola sepak termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang.

    “Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengucapkan salam takziah kepada keluarga mendiang Rajes Perumal, pemain PJ City FC yang telah meninggal dunia, awal pagi tadi,” katanya.

    Rajes, 37, sebelum ini turut pernah beraksi bersama beberapa pasukan lain iaitu PKNS FC, Selangor dan Kedah.

    Pemain veteran itu turut membantu pasukannya mengakhiri kempen Liga Super 2022 di tangga kesembilan.

    Dia turut membuat penampilan sebagai pemain gantian dalam perlawanan terakhir menentang KL City, Sabtu lalu.

  • Maut kemalangan, dipercayai sewaktu mencari pencuri

    Maut kemalangan, dipercayai sewaktu mencari pencuri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG peniaga kedai runcit maut apabila terbabit dalam kemalangan setelah dikatakan keluar bagi mencari pencuri di Kampung Mengkuang Hujung, Jalan Parit Panjang menuju ke Kuala Pegang di Baling, Kedah semalam.

    Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohd. Rosdi Md. Darus maut di lokasi kejadian setelah motosikal jenis Honda ditunggangnya terbabas lalu merempuh sebuah tiang elektrik.

    Menurutnya, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu setelah menerima panggilan telefon dari orang awam pukul 6.59 petang semalam.

    “Mengikut keterangan awal isteri mangsa, Mohd. Rosdi ketika itu keluar mencari pencuri sebaik mendapat tahu terdapat pencuri yang melarikan diri.

    “Namun sama ada kejadian berlaku ketika mangsa mengejar pencuri, itu tidak dapat disahkan kerana tiada saksi yang melihat mangsa sedang mengejar pencuri,” katanya.

    Tambahnya, pihak polis bagaimanapun sedang mengumpulkan segala maklumat berkaitan kejadian tersebut.

    “Setakat ini isteri mangsa atau mana-mana individu belum membuat laporan polis berkaitan kejadian curi seperti yang didakwa,” katanya.

    Mayat mangsa telah dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Kulim untuk tujuan bedah siasat dengan kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.