Tag: mati

  • ‘Dera budak 4 tahun dengan penyangkut baju hingga mati’

    ‘Dera budak 4 tahun dengan penyangkut baju hingga mati’

    SEPASANG suami isteri dipercayai tergamak mendera anak lelaki mereka berusia empat tahun sehingga meninggal dunia sebelum ditahan polis, semalam.

    Pasangan dalam lingkungan awal 20-an dan 30-an itu disyaki mendera mangsa dengan tangan selain penyangkut baju (hanger).

    Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, mereka ditahan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri kira-kira pukul 1.30 petang Jumaat, di rumah mereka kerana dipercayai terlibat dalam kes dera, seorang kanak-kanak.

    “Bagaimanapun, mangsa yang mengalami kecederaan di kepala, belakang telinga, perut dan kaki disahkan telah meninggal dunia ketika tiba di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Aminah (HSA), sekitar 8.20 pagi, pada Jumaat.

    “Hasil tangkapan tersebut, pihak polis telah membuat beberapa rampasan barang lain yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa,” katanya hari ini menurut laporan Sinar Harian.

    Dalam pada itu, Rahmat berkata, kedua-dua suspek telah direman di Mahkamah Johor Bahru dan tempoh reman bagi suspek lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan adalah selama tujuh hari hari, mulai 29 April hingga 5 Mei manakala suspek wanita yang tidak bekerja merupakan ibu kandung mangsa ditahan selama dua hari mulai 2 April hingga 30 April.

    Katanya, kes di siasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Penganiayaan, Pengabaian, Pembuangan atau Pendedahan Kanak-kanak).

    Jika disabit bersalah boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.

    Kes masih dalam siasatan untuk mengesan saksi dan bukti-bukti lain.

    Untuk rekod, suspek lelaki merupakan bapa tiri kepada mangsa mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah.

    Difahamkan, mangsa turut mempunyai seorang adik lelaki berusia enam bulan dan suspek wanita kini hamil dua bulan.

  • Edar dadah di bangsal lembu, tiga lelaki ke tali gantung

    Edar dadah di bangsal lembu, tiga lelaki ke tali gantung

    TIGA lelaki dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin dan Monoacetylmorphines dengan berat keseluruhan 585.1 gram (g) dalam sebuah bangsal lembu di Rawang, empat tahun lepas.

    Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhi hukuman itu terhadap C. Peter Yesudas, 55; V. Kasinathan, 43, dan K. Nagaraj, 57, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

    Beliau berkata keterangan ketiga-tiga tertuduh didapati lebih berkisar kepada penafian dan ‘after thought’ (pertimbangan semula), selain gagal disokong dengan bukti yang konkrit.

    “Mereka juga didapati mempunyai milikan secara langsung iaitu perbuatan memproses dadah dan tertuduh mempunyai pengetahuan mengenai dadah di dalam bangsal.

    “Terdapat juga bukti asid deoksiribonukleik (DNA) setiap tertuduh yang dirampas di tempat kejadian dan keterangan secara keseluruhan ketiga-tiga tertuduh mempunyai kawalan serta jagaan terhadap bangsal itu,” katanya.

    Hakim juga memerintahkan pertuduhan serupa terhadap seorang lagi tertuduh, M. Radakrishnan, 52, dibatalkan kerana lelaki itu telah meninggal dunia semasa dalam tahanan.

    Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, kesemua mereka bersama-sama dengan S. Balaguhan, 50, yang masih bebas dengan niat bersama didakwa telah mengedar dadah jenis heroin dengan berat bersih 432.5g dan Monoacetylmorphines seberat 152.6g di Rawang kira-kira pukul 12.40 tengah hari, pada 26 Nov 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

    Seramai 22 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan iaitu tertuduh telah memberi keterangan selain sebanyak 317 eksibit telah dikemukakan sepanjang perbicaraan bermula pada 15 Nov 2021.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datin Zuraini Abdul Razak manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Norman Mohd Nasir. – BERNAMA

  • Penganggur ditemukan mati di depan rumah dengan kesan cedera

    Penganggur ditemukan mati di depan rumah dengan kesan cedera

    SEORANG penganggur yang dalam status orang pengawasan polis, ditemukan mati di hadapan rumahnya di Taman Klebang Putra, Chemor di Ipoh malam tadi. 

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata anggota Balai Polis Chemor bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira 11.30 malam dan mendapati satu mayat lelaki di luar rumah teres satu tingkat yang didiami mangsa dan isterinya.

    “Siasatan awal mendapati mangsa yang berumur 37 tahun merupakan seorang penganggur yang telah melarikan diri daripada pengawasan polis Parit Buntar.

    “Temu bual bersama adik ipar lelaki mangsa yang baru sahaja menumpang di rumahnya selama seminggu memaklumkan bahawa pada masa kejadian, beliau terdengar ada orang mengetuk pintu rumah dan mengatakan lelaki itu kena langgar. 

    “Saksi membuka pintu dan ternampak sebuah motosikal yang tidak dikenal pasti model dan nombor pendaftaran telah melarikan diri dari tempat kejadian. Kemudian saksi ternampak mangsa berada di hadapan rumah dalam keadaan terlantar dan tercungap-cungap. Mangsa juga tidak mengatakan apa-apa kepadanya (sebelum meninggal dunia),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata pemeriksaan lanjut oleh pasukan siasatan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati terdapat kesan kecederaan pada telinga, tangan, kaki dan badan mangsa.

    “Ada kemungkinan si mati merupakan mangsa kemalangan. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas si mati diperlukan untuk menentukan punca kematian,” kata Mohd Yusri dan menambah bedah siasat akan dijalankan di hospital itu hari ini. – BERNAMA

  • Suspek kes dadah mati ketika dalam tahanan polis

    Suspek kes dadah mati ketika dalam tahanan polis

    SEORANG tahanan polis warga tempatan mati mengejut pada Isnin lepas ketika menerima rawatan di Hospital Shah Alam.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berumur 39 tahun itu telah ditahan di Lokap Berpusat Shah Alam pada 15 Jun bagi siasatan di bawah Sekyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

    Beliau berkata, pada hari yang sama, lelaki berkenaan cuba menggantung diri di lokap tersebut namun telah diselamatkan dan dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan.

    “Dia dirawat di Hospital Shah Alam mulai 15 Jun, namun pada 20 Jun pukul 5.40 petang pegawai perubatan telah mengesahkan bahawa lelaki itu telah meninggal dunia di hospital tersebut.

    “Punca kematian belum diketahui dan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut,” katanya. – BERNAMA

  • Bayi 3 bulan disyaki mati tersedak susu, bapa ditahan

    Bayi 3 bulan disyaki mati tersedak susu, bapa ditahan

    SEORANG lelaki warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes bayi berusia tiga bulan meninggal dunia dipercayai tersedak susu di sebuah rumah di Bukit Gasing, Petaling Jaya, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan ketika tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pagi tadi.

    Menurutnya, siasatan awal mendapati individu yang juga bapa kepada mangsa itu telah memberikan susu kepada bayi lelaki tersebut pada 2 petang semalam sebelum meninggalkan mangsa seorang diri untuk keluar bekerja.

    “Lelaki yang bekerja sebagai buruh itu kembali ke rumah kira-kira dua jam kemudian dan mendapati anaknya tidak bernafas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa kemudiannya dihantar oleh bapanya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya pada kira-kira 4.20 petang namun, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

    Katanya, proses bedah siasat akan dijalankan esok bagi mengetahui punca kematian mangsa.

    Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 31 (A) Akta Kanan-Kanak 2001 dan lelaki berkenaan ditahan reman empat hari sehingga 13 April ini. – BERNAMA

  • Suami isteri warga Indonesia mati ditembak

    Suami isteri warga Indonesia mati ditembak

    SEPASANG suami isteri warga Indonesia ditemukan maut dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan tembak pada badan mereka dalam satu kejadian di Kampung Beraya Bekenu, Miri, Sarawak pagi ini.

    Jasad pasangan itu, masing-masing berusia 60 tahun dan 40 tahun ditemukan adik lelaki mangsa dalam bilik tidur rumah mereka kira-kira pukul 7 pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari mengesahkan kejadian itu.

    Menurut beliau, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Miri dan anggota dari Balai Polis Bekenu dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan kes itu.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca dan bagaimana kejadian berlaku,” katanya kepada BH, hari ini.

    Hakemal berkata, mayat pasangan berkenaan dibawa ke Hospital Miri untuk proses bedah siasat.

    Difahamkan, mayat pasangan itu ditemui adik lelaki mangsa, selepas terdengar anak mereka menangis.

    Adik mangsa yang curiga kemudian pergi ke rumah mangsa, namun pintu berkunci dan cubaannya memanggil mereka juga tidak dibalas.

    Dia yang kemudiannya cuba meninjau melalui cermin tingkap bilik pasangan itu terkejut apabila melihat kedua-duanya berlumuran darah.

    Selaras senapang patah juga dijumpai di atas dada mangsa lelaki.

  • Dua dipercayai kumpulan Abu Sayyaf ditembak mati

    Dua dipercayai kumpulan Abu Sayyaf ditembak mati

    POLIS menembak mati dua individu dipercayai anggota kumpulan Abu Sayyaf di Pulau Timbang, Sandakan, awal pagi ini.

    Dalam kejadian tersebut, anggota pasukan keselamatan yang dalam operasi mengesan anggota kumpulan itu berbalas tembakan dengan individu terbabit pada 5 pagi tadi.

    Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.

    “Ya benar kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

    Polis dijadual mengadakan sidang media mengenai kejadian itu pada 10 pagi ini di Sandakan.