Tag: masyarakat India

  • Ustaz Wadi Annuar mohon maaf terbuka kepada masyarakat India

    Ustaz Wadi Annuar mohon maaf terbuka kepada masyarakat India

    PENCERAMAH bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub membuat permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh masyarakat India beragama Hindu susulan kenyataannya mengenai ‘sembah syaitan’ membabitkan perayaan Thaipusam baru-baru ini.

    Perkembangan itu berikutan kenyataan ‘sembah syaitan’ yang disebutnya pada satu ceramah di Masjid Al-Azim, Masjid Negeri Melaka pada 10 Februari lalu.

    “Dalam ceramah itu, saya menyebut mengenai perarakan Thaipusam yang di dalamnya ada sekumpulan orang Melayu Islam menyertainya dan saya menyatakan ajaran agama Islam tidak membenarkan penganutnya menyertai perayaan berbentuk agama itu.

    “Namun saya terlepas pandang dengan menyebut perkataan ‘sembah syaitan’ dan ia adalah kesilapan daripada mulut saya.

    “Maka hari ini, saya memohon maaf secara terbuka dan mengakui kesilapan itu. Saya mohon maaf kepada semua penganut agama Hindu dan masyarakat India di Malaysia khususnya, dengan seikhlas hati atas kekhilafan yang berlaku,” katanya dalam video permohonan maaf berkenaan, hari ini.

    Permohonan maaf itu dibuat selepas selesai menyampaikan kuliah dhuha di sebuah masjid pagi tadi dipercayai di Sendayan, Negeri Sembilan, yang disiarkan secara langsung secara dalam talian di laman Facebooknya.

    Kenyataan rasminya berhubung permohonan maaf itu juga kemudian dimuat naik di laman Facebook sama.

    Mohamad Wadi berkata, beliau tidak berniat menghina agama lain atau menyinggung perasaan penganut bukan Islam.

    “Saya tidak berniat menghina agama lain dan saya tidak berniat menyinggung perasaan penganut agama lain.

    “Mana-mana yang ada muat naik potongan ceramah itu, diminta memadamkannya kerana ia boleh mengundang salah faham daripada penganut agama lain,” katanya, lapor Berita Harian.

  • ‘Mana janji Anwar mahu siasat tiga institusi berkaitan masyarakat India?’

    ‘Mana janji Anwar mahu siasat tiga institusi berkaitan masyarakat India?’

    KETUA Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu S Subramaniam mengungkit janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan audit forensik terhadap tiga institusi berkaitan masyarakat India.

    Subramaniam berkata dia menyambut baik langkah SPRM menyiasat peruntukan pakej rangsangan ekonomi kerajaan terdahulu, namun mengingatkan janji Anwar itu ketika berkempen pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

    “Saya menyambut baik tindakan SPRM dakwaan penyelewengan RM92.5 bilion yang diperuntukkan untuk pakej rangsangan ketika pandemik Covid-19 sewaktu pentadbiran terdahulu.

    “Tapi, bagaimana dengan audit forensik yang dijanji olehnya perdana menteri terhadap beberapa institusi berkaitan masyarakat India. Anwar membangkitkan isu ini hampir dalam setiap kali berjumpa dengan masyarakat India ketika kempen PRU15.

    “Setelah menubuhkan kerajaan perpaduan tiba-tiba semuanya senyap,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Tiga institusi berkaitan masyarakat India tersebut adalah syarikat pelaburan Maika Holdings, Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

    Malaysiakini telah menghubungi Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk ulasan.

    Anwar sebelum ini berkata masyarakat India di Malaysia berhak mengetahui perkara sebenar di sebalik dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa berkaitan institusi tersebut.

    Katanya, penyelewengan banyak telah terbukti, telah dibongkar dan perlu ada audit forensik serta Siasatan Suruhanjaya DiRaja (RCI).

    MIC menubuhkan Maika Holdings pada awal 1980-an sebagai syarikat pelaburan dengan mengumpulkan RM106 juta daripada kira-kira 55,000 pemegang saham – kebanyakannya daripada kumpulan berpendapatan rendah.

    Bagaimanapun, Maika Holdings gagal memberikan pulangan kepada pelabur – sesetengahnya ada yang membuat pinjaman dan menjual aset – selama bertahun-tahun.

    Keadaan kewangannya bertambah buruk pada tahun 1990-an apabila Maika sepatutnya membeli 10 juta saham Telekom, namun hanya sejuta unit saham mampu dibeli.

    Mitra pula pada awalnya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (Sedic). Ia dilancarkan pada tahun 2013 oleh bekas perdana menteri Najib Razak dengan matlamat meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.

    Sedic dibubarkan apabila BN tumbang pada PRU14 dan dijenamakan semula sebagai Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) ketika pentadbiran kerajaan PH.

    Selepas kerajaan PH tumbang dan diambil alih oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN), Mitra diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan.

    Isu dana Mitra menjadi hangat susulan penahanan beberapa pengarah syarikat yang disyaki terlibat dengan penyelewengan geran peruntukannya.

    Sebanyak 337 syarikat, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dikenal pasti menerima geran peruntukan oleh Mitra sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

    Pendakwaan terpilih

    Sementara itu, Subramaniam juga mendakwa Anwar sebagai mengamalkan “pendakwaan terpilih” kerana menurutnya bersungguh-sungguh dengan isu-isu melibatkan pemimpin Perikatan Nasional (PN) berbanding pemimpin BN.

    “Apa terjadi dengan isu kapal tempur LCS yang merupakan senjata utama PH ketika berkempen. Katanya, siasatan kini di peringkat akhir. Masih, tiada sebarang kenyataan rasmi selepas Anwar mengetuai kerajaan.

    “Nampaknya, seperti kapal tempur LCS, pemimpin PH yang sebelum ini membangkitkan isu ini menjadi ‘invisible’ selepas menubuhkan kerajaan perpaduan dengan BN,” katanya.

    Untuk rekod, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada Ogos 2022 berkata bahawa kes kapal tempur LCS di peringkat akhir siasatan.

    Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak SPRM supaya menyelesaikan segera siasatan berhubung kepincangan projek pembinaan enam kapal tempur LCS susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan pada awal Ogos 2022.

    Dalam laporan yang dibentangkan itu, PAC menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan kapal berkenaan.

    Antaranya, laporan itu menyebut kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima, setakat ini.