Tag: masjid

  • Kerajaan lulus RM2 juta bina masjid baharu Kg Felda Belara

    Kerajaan lulus RM2 juta bina masjid baharu Kg Felda Belara

    KERAJAAN meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembinaan Masjid Felda Belara yang baharu, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

    Beliau berkata, kerajaan bersetuju untuk menyalurkan dana pembinaan masjid itu bagi menampung pertambahan jumlah jemaah di kawasan berkenaan.

    “Saya menyampaikan hasrat ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri selepas ahli kariah bertemu dengan saya sebelum ini bagi mengemukakan permohonan untuk membina masjid baharu, alhamdulillah beliau memberikan reaksi yang amat positif.

    “Jadi sukacita saya umumkan bahawa kerajaan telah bersetuju menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk pembinaan masjid baharu,” katanya di Kampung Felda Belara, Kuala Nerus.

    Mohd Khairuddin berkata, usaha segera dilakukan oleh pihaknya selepas menerima permohonan berkenaan memandangkan masjid yang sedia ada hanya mampu menampung seramai 500 jemaah sahaja.

    “Saya mencuba sedaya-upaya untuk membantu bagi merealisasikan hasrat rakyat di kampung ini apatah lagi masjid adalah simbol kekuatan syiar Islam,” katanya.

    Beliau mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana merealisasikan hasrat penduduk kempung berkenaan.

    “Penduduk kampung ini turut bersyukur di atas keprihatinan kerajaan atas permintaan mereka,” katanya.

  • Pengurusan kuil Hindu kesal terlanjur ceroboh tapak masjid

    Pengurusan kuil Hindu kesal terlanjur ceroboh tapak masjid

    PENGURUSAN kuil Hindu yang dikatakan menceroboh tanah tapak masjid di Taman Indah, Tampin, Negeri Sembilan kesal dengan perbuatan yang dilakukan secara tidak sengaja itu.

    Memetik laporan Malaysiakini, Pengerusi Kuil Sri Murugan Alayam, M Partiban berkata, mereka bersedia mengosongkan kawasan tersebut.

    Pada masa yang sama, beliau menggesa kerajaan Negeri Sembilan supaya mewartakan segera tapak kuil Hindu sedia ada.

    Partiban memberitahu, keputusan memindahkan kuil tersebut dibuat selepas pertemuan diadakan dengan dua Exco kerajaan Negeri Sembilan iaitu S Veerapan dan J Arul Kumar semalam.

    “Kami kesal kerana terlanjur membina kuil di tapak masjid dan ia dibuat secara tidak sengaja,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan, ahli jawatankuasa surau di Taman Indah Baru, Tampin, menghantar memorandum kepada Veerapan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah bagi membantah pembesaran kuil di atas tapak yang dicadangkan untuk pembinaan masjid.

    Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) merupakan antara pihak yang membangkitkan dakwaan itu dan mahu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) memberikan penjelasan.

    Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun pula berkata, kerajaan negeri tidak pernah meluluskan penggunaan tanah milik Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) itu bagi pembinaan rumah ibadat bukan Islam.

    Pengarah JHEAINS, Zaidi Ramli sebelum ini berkata, tanah kira-kira 0.6 hektar itu telah diwartakan sebagai tapak Masjid Taman Indah Baru sejak 2011.

    Partiban turut menggesa kerajaan Negeri Sembilan mewartakan tapak kuil yang sedia ada selepas ia wujud lebih 30 tahun.

    “Isunya sekarang, kerajaan negeri mewartakan tapak masjid tetapi tapak kuil dibiarkan begitu sahaja.

    “Kuil itu berada di situ lebih 35 tahun. Kegagalan kerajaan mewartakan tapak kuil inilah punca kekeliruan yang berlaku sekarang.

    “Ini kerana pihak kuil tidak pasti keluasan tapak kuil dan sempadan kami sehingga secara tidak sengaja menceroboh tapak masjid,” katanya.

  • Kelantan benar akad nikah di premis persendirian, masjid

    Kelantan benar akad nikah di premis persendirian, masjid

    KELANTAN membenarkan majlis akad nikah dijalankan di premis persendirian atau masjid secara bersemuka tanpa sebarang sentuhan berkuat kuasa serta-merta.

    Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata majlis akad nikah yang dijalankan tidak melebihi 30 minit dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

    Beliau berkata kehadiran semasa majlis akad nikah dibenarkan tidak melebihi 10 orang yang telah lengkap divaksin termasuk pasangan pengantin, jurunikah/imam, wali pengantin perempuan dan saksi.

    “Bagi pasangan dan wali pengantin perempuan yang belum lengkap divaksin diwajibkan menjalani ujian saringan pengesanan jangkitan COVID-19 sama ada ujian pantas (RTK) antigen, ujian reaksi berantai polimerase (PCR) ataupun ujian kendiri selewat-lewatnya dua hari sebelum majlis akad nikah dijalankan.

    “Keputusan ujian kendiri hendaklah dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Che Mohd Rahim berkata wali pengantin perempuan boleh membuat permohonan wakalah wali sekiranya mengalami keuzuran untuk hadir di majlis akad nikah.

    “Hanya jurunikah atau imam yang telah lengkap divaksin sahaja boleh mengakad nikah pasangan tersebt. Bagi imam atau jurunikah yang belum melengkapi vaksin, pasangan boleh memohon untuk diakad nikah oleh imam atau jurunikah mukim bersebelahan yang telah lengkap divaksin,” katanya.

    Beliau berkata majlis akad nikah boleh dibatalkan jika melanggari mana-mana perkara dan peruntukan yang telah ditetapkan.

    “Apa-apa arahan dan ketetapan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah terpakai. Semua arahan pentadbiran yang telah dikeluarkan sebelum ini adalah terbatal,” katanya.- BERNAMA

  • Enggan divaksinasi punca masjid tidak dibuka sepenuhnya – Exco Selangor

    Enggan divaksinasi punca masjid tidak dibuka sepenuhnya – Exco Selangor

    KEENGGANAN segelintir masyarakat Islam menerima vaksin COVID-19 menyukarkan pihak berkuasa membenarkan pembukaan sepenuhnya masjid-masjid di Selangor, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud.

    Beliau berkata sehingga semalam masih ada ahli masjid yang tidak mahu divaksin menyebabkan kelulusan sepenuhnya untuk membuka semula masjid-masjid belum dapat dipenuhi.

    “Perkara ini sudah pasti sangat menyedihkan, walaupun golongan yang menolak vaksin mengatakan perkara tersebut adalah hak mereka, hak majoriti juga perlu dilindungi. 

    “Saya rasa sudah cukuplah media sosial menguar-uarkan perkara yang tidak berasas (berkenaan vaksin dan COVID-19) yang telah menyebabkan banyak program tertunda,” katanya pada sidang media hari ini.

    Media hari ini melaporkan, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata hanya 20 peratus daripada 146 guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pegawai serta ahli jawatankuasa masjid dan penolong pendaftar nikah JAIS yang hadir program vaksinasi khas JAIS hari ini, bersetuju mendapatkan suntikan dos pertama.

    Menurut Mohd Shahzihan, jumlah sebenar mereka yang diarahkan hadir dalam program dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) itu adalah 872 orang.

    Susulan  itu, beliau berkata JAIS dijangka mempersembahkan senarai individu yang enggan menerima vaksin di bawah kelolaan pihaknya kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Jumaat ini untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

  • Sultan Selangor dukacita, teliti nama enggan ambil vaksin

    Sultan Selangor dukacita, teliti nama enggan ambil vaksin

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah akan meneliti nama-nama guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah yang tidak mahu divaksin dan menentukan tindakan yang bakal diambil terhadap mereka.

    Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Facebook Selangor Royal Office, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dan amat kecewa apabila diberitahu hanya 203 daripada 873 guru KAFA, ahli jawatankuasa masjid dan jurunikah di Selangor menghadiri sesi program vaksinasi khas COVID-19 Frontliner JAIS, yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

    “Lebih mendukacitakan baginda, daripada 203 orang yang hadir, 96 daripada mereka menolak untuk divaksin.

    “Titah baginda apa yang berlaku ini amat mengecewakan kerana kedegilan individu-individu tertentu ini akan hanya menyusahkan urusan sekalian rakyat jelata terutamanya murid-murid yang akan meneruskan pembelajaran KAFA,” menurut kenyataan itu.

    Sultan Selangor bertitah pelbagai inisiatif dan cara dilakukan dengan kerjasama JAIS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, termasuk memperluas dan mempermudah pemberian suntikan vaksin COVID-19 kepada petugas masjid dan pejabat agama demi kesejahteraan dan membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa.- BERNAMA

  • Polis tahan wanita curi tabung masjid ketika jemaah sedang solat

    Polis tahan wanita curi tabung masjid ketika jemaah sedang solat

    POLIS menahan seorang wanita yang disyaki mencuri tabung masjid ketika para jemaah lain sedang menunaikan solat isyak, tiga hari lepas.

    Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Saifudin Aslin Abbas berkata dalam kejadian Sabtu lepas suspek berusia 28 tahun itu terlebih dahulu datang ke Masjid Padang Pauh untuk mengambil barang makanan yang dari ‘Food Bank’ masjid berkenan.

    Beliau berkata suspek kemudiannya datang sekali lagi untuk mencuri tabung masjid ketika jemaah lain sedang menunaikan solat isyak, dan polis berjaya mengesan perbuatan suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

    “Suspek ditangkap di rumahnya di Arau pada kira-kira pada 9.15 malam Ahad,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata tabung masjid yang dicuri dijumpai di dalam tandas pasar Beseri dan suspek membuat pengakuan bahawa dia mengunakan wang itu untuk mengisi minyak motosikal, membeli makanan dan menambah nilai telefon bimbit. 

    Saifudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.– BERNAMA

  • Masjid Kampung Semop di Sarawak musnah dalam kebakaran

    Masjid Kampung Semop di Sarawak musnah dalam kebakaran

    MASJID Al-Amin di Kampung Semop, di Pulau Bruit, Daro dekat Sarawak musnah dalam satu kebakaran, petang ini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.41 petang.

    Menurutnya, seramai tujuh anggota dengan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan tersebut.

    Namun katanya, pihaknya terpaksa menempuh perjalanan jauh termasuk menaiki feri kerana lokasi kejadian itu terletak di Pulau Bruit.

    “Sejurus sampai di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran telah memusnahkan keseluruhan masjid berstruktur separuh kekal itu,” katanya, hari ini.

    Kata jurucakap itu lagi, kebakaran terbabit dipadam oleh penduduk kampung dengan bantuan lori tangki air dari Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Daro.

    Tambahnya, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan pihaknya sedang menyiasat kejadian bagi mengenalpasti punca kejadian.