Tag: Masjid Al-Aqsa

  • PN kutuk tindakan kejam rejim zionis ke atas penduduk Palestin, Al-Aqsa

    PN kutuk tindakan kejam rejim zionis ke atas penduduk Palestin, Al-Aqsa

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perikatan Nasional (PN) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam dan keji tentera rejim zionis yang beberapa kali menceroboh perkarangan Haram Al-Sharif dan melakukan serangan tidak berperikemanusiaan terhadap jemaah awam Palestin di Masjid Al-Aqsa sejak beberapa hari lalu.

    Beliau yang juga Pengerusi PN berkata, tindakan tentera zionis itu adalah perbuatan keji dan tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi kerana dilakukan pada bulan suci Ramadan.

    Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menegaskan, perbuatan biadab rejim zionis itu juga dilakukan hanya sehari selepas Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) meluluskan usul A/HRC/52/L 32 yang ditaja Malaysia mengenai hak rakyat Palestin dan penempatan haram Israel di tanah air Palestin.

    “Justeru, kerajaan Malaysia tidak boleh berdiam diri dan perlu terus melakukan segala yang upaya untuk menekan institusi antarabangsa, sama ada melalui saluran PBB ataupun Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk campur tangan bagi menghentikan kekejaman dan jenayah Israel serta membebaskan semua tahanan Palestin.

    “Serangan keterlaluan dan provokatif ini memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kestabilan di rantau Timur tengah dan menjejaskan sebarang usaha memulihkan proses damai,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya, hari ini.

    Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, laporan media menyatakan bahawa keganasan yang sama berlaku pada bulan Ramadan pada 2021 dan 2022.

    Katanya, peningkatan keganasan terhadap rakyat Palestin ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

    “Ketegangan antara Israel dan Palestin mencapai titik didih sejak beberapa hari kebelakangan ini. Adalah wajar bahawa PBB semasa mengecam serangan itu, meningkatkan usaha untuk mempertanggungjawabkan Israel atas kelakuannya yang tidak boleh diterima.

    “Sebagai anggota UNHRC bagi sesi 2022-2024, Malaysia perlu lebih lantang dan berperanan dalam mendesak supaya tindakan segera diambil untuk menghentikan pencerobohan dan membantu rakyat Palestin yang secara berterusan dizalimi dan dinafikan hak mereka,” katanya.

  • Pas kecam serangan pasukan keselamatan rejim ke atas Al-Aqsa

    Pas kecam serangan pasukan keselamatan rejim ke atas Al-Aqsa

    PAS mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya serangan berterusan pasukan keselamatan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa semalam ketika umat Islam sedang beribadah.

    Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, provokasi ganas dan perbuatan jenayah itu hanya akan mengundang ketegangan yang berlanjutan serta memburukkan keadaan di rantau tersebut.

    Beliu berkata, semua pihak yang mencintai keamanan serta hak orang Islam untuk beribadah digesa agar sama-sama bersolidariti dengan rakyat Palestin dan mengutuk keras perbuatan jenayah rejim Israel.

    “Ini kerana pencerobohan tempat ibadah, terutama pada bulan puasa bukan sahaja berlawanan dengan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia, malah bercanggah dengan nilai mulia kemanusiaan.

    “Oleh itu, ia hendaklah dihentikan dengan serta-merta dan dalam hal ini juga campur tangan serta ketegasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) amatlah diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Seorang rakyat Malaysia yang menetap di Semenanjung Gaza, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzzaman atau lebih dikenali Nadir Al-Nuri semalam berkongsi video pihak berkuasa Zionis dikatakan menyerbu pekarangan Masjid Al-Aqsa dan menyerang jemaah di dalam ruang solat Masjid al-Qibli.

    Berdasarkan video yang dimuat naik di Telegram Nadir Al Nuri itu, kelihatan keadaan di dalam ruang solat masjid dipenuhi dengan kepulan asap serta bunyi tembakan selain beberapa barangan dirosakkan.

    Para jemaah yang terdiri daripada rakyat Palestin juga dilihat dipukul dengan kejam tanpa sebarang sebab oleh rejim penjajah Israel.

    Tambah Takiyuddin, tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan itu dilaporkan telah mencederakan sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin.

    “Sementara itu, lebih 350 yang lain ditahan oleh pihak polis rejim, membabitkan umat Islam yang berada dan beribadat di masjid berkenaan sempena Ramadan.

    “Pihak keselamatan rejim Israel pada hakikatnya hanya mengulangi kejadian pada April tahun lepas dan pada tahun 2021, yang telah mencetuskan perang 10 hari dengan rakyat Palestin berikutan pencerobohan ganasnya terhadap masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu,” tambahnya, lapor Sinar Harian.

    Pas, Israel, Serangan Masjid Al Aqsa,

  • Kurang 24 jam, polis rejim cemari lagi kesucian Masjid Al-Aqsa

    Kurang 24 jam, polis rejim cemari lagi kesucian Masjid Al-Aqsa

    BELUM sampai tempoh 24 jam, polis rejim Zionis kembali bertempur dengan rakyat Palestin untuk kali kedua di Masjid Al-Aqsa, semalam, beberapa jam selepas pasukan itu menyerbu masjid suci itu dan menahan serta mengeluarkan lebih 350 orang dari kawasan masjid berkenaan.

    Tindakan keras itu yang berlaku ketika Ramadan dan menjelang sambutan keagamaan Yahudi, turut mencetuskan serangan saling berbalas merentasi sempadan di Gaza serta meningkatkan kebimbangan akan keganasan semakin memuncak.

    Agensi berita Reuters dalam laporannya yang dipetik Berita Harian, dalam insiden kedua pada malam tadi, polis Israel sekali lagi memasuki pekarangan masjid itu serta cuba mengusir jemaah dengan menembak peluru getah dan melepaskan bom tangan pegun, kata petugas Waqaf, pertubuhan Islam dilantik Jordan untuk menguruskan kompleks berkenaan.

    Berikutan itu, jemaah bertindak balas dengan membaling objek terhadap pasukan rejim Zionis berkenaan, menurut saksi, manakala Palang Merah Palestin pula memaklumkan enam orang mengalami kecederaan.

    Polis rejim dalam satu kenyataan mendakwa, puluhan orang muda membawa masuk batu serta mercun ke masjid dan cuba membentengi diri mereka di dalamnya. Bagaimanapun, pihak Waqaf berkata, pasukan rejim itu memasuki masjid terbabit sebelum jemaah selesai menunaikan solat.

    Nabil Abu Rudeineh sebagai jurucakap kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menyifatkan tindakan pihak Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa dan menyerang jemaah, sebagai tamparan kepada usaha Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini untuk mewujudkan ketenangan serta kestabilan ketika Ramadan.

    Dalam insiden terdahulu tidak sampai 24 jam sebelum itu, polis menyerbu Masjid Al-Aqsa dengan mendakwa sejumlah perusuh bertopeng telah memasuki masjid dan menguncinya.

    Menurut Palang Merah Palestin, seramai 12 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran pertama itu, termasuk akibat tembakan peluru getah dan dipukul, manakala polis Israel pula memaklumkan dua anggotanya cedera.

    Susulan pertempuran pertama itu, sekurang-kurang sembilan roket dilaporkan ditembak dari Gaza ke Israel sebelum dibalas dengan serangan udara rejim Zionis yang menyasarkan lokasi pengeluaran senjata kumpulan Hamas. Begitupun, tiada sebarang kematian dilaporkan di kedua-dua belah sempadan Gaza.

    Hamas tiada membuat pengakuan bertanggungjawab atas serangan roket itu, namun percaya ia adalah tindak balas terhadap serbuan polis Israel di Masjid Al-Aqsa.

    Sejurus sebelum pertempuran kedua di masjid itu, semalam, dua lagi roket dilaporkan ditembak dari Gaza. Tentera Israel mendakwa satu daripadanya tersasar, manakala satu lagi mengenai kawasan terbuka.

    Mengikut ketetapan ‘status quo’ sekian lama bawah pengurusan pekarangan Masjid Al-Aqsa, hanya umat Islam boleh menunaikan solat di kawasan itu yang menyaksikan puluhan ribu jemaah memenuhinya untuk beribadah ketika Ramadan.

    Mereka yang bukan Islam pula cuma dibenarkan melawat, namun semakin ramai pelawat Yahudi mengingkari ketetapan berkenaan dengan melakukan perkara keagamaan mereka di kawasan terbabit.

    Pihak Waqaf menyifatkan tindakan polis Israel itu sebagai ‘serangan terang-terangan terhadap identiti dan fungsi Masjid Al-Aqsa sebagai tempat ibadah untuk Muslim sahaja.’

  • Pencabulan rejim Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa biadab – Pas Selangor

    Pencabulan rejim Zionis ke atas Masjid Al-Aqsa biadab – Pas Selangor

    PAS Selangor mengecam sekeras-kerasnya pencabulan berterusan tentera rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Masjid Al-Aqsa ketika umat Islam sedang beribadah pada malam Rabu.

    Ketua Penerangannya, Nushi Mahfodk berkata, sebelum kejadian itu berlaku, tentera Zionis turut berbalas serangan dengan rakyat Palestin di Bandar Huwara yang terletak di Tebing Barat.

    Menurutnya, Pas Selangor menyifatkan tindakan tentera rejim Israel itu merupakan satu tindakan biadab, keji dan tidak berperikemanusiaan terhadap umat Islam di Palestin yang sedang menjalani ibadah pada Ramadan.

    “Perbuatan biadab, keji dan tidak berperikemanusiaan itu amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang berpuasa.

    “Sehubungan itu, Pas Selangor mengajak semua wakil agama di negara ini mengecam serangan tidak berperikemanusiaan yang mencemarkan kesucian masjid ketiga yang mulia dalam Islam atas dasar keadilan dan kemanusiaan sejagat.

    “Pas Selangor konsisten dalam mempertahankan aqidah Islam dan umatnya serta bertegas menolak kewujudan Israel sebagai sebuah negara berdaulat di rantau Asia Barat,” katanya, lapor Sinar Harian.

  • Kesucian Masjid Al-Aqsa dicemari, penduduk Palestin dipukul, kemudahan dirosakkan

    Kesucian Masjid Al-Aqsa dicemari, penduduk Palestin dipukul, kemudahan dirosakkan

    KESUCIAN Masjid Al-Aqsa dicemari dengan tindakan biadab polis dan tentera rejim Zionis yang memukul penduduk Palestin dan merosakkan beberapa fasiliti utama di kawasan masjid suci berkenaan.

    Menurut Ahli Majlis Tertinggi MyAqsa Defenders, tindakan tidak berperikemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa itu mengakibatkan tujuh rakyat Palestin cedera parah, ratusan yang lain cedera ringan dan lebih 400 ditangkap.

    “Berita terkini dari rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kami di lokasi juga memaklumkan Klinik Lapangan di Masjid Al-Aqsa hasil sumbangan rakyat Malaysia melalui MyAqsa Defenders pada 2021 rosak teruk akibat keganasan regim Zionis.

    “Selain itu, rejim Zionis juga bertindak menutup pintu-pintu masuk ke Masjid Al-Aqsa bagi menghalang rakyat Palestin beriktikaf dan pasukan paramedik untuk merawat mangsa yang tercedera dan hal ini menambahkan lagi ketegangan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Harian Metro.

    Kata kenyataan itu lagi, episod keganasan kali ini berkait rapat dengan perayaan Yahudi Passover (Paskah) yang disambut oleh rakyat Israel dan dijadualkan bermula pada 5 April dan akan berlangsung selama 7 hari.

    Katanya, kemuncaknya adalah perarakan besar-besaran yang akan berlangsung di sekitar Masjid Al-Aqsa.

    “Sejak awal tahun ini, situasi di Tebing Barat berada di tahap yang sangat genting apabila rejim Zionis Israel menggempur Jenin, Nablus dan beberapa bandar utama dan melaksanakan beberapa siri pembunuhan dan penangkapan pemuda Palestin.

    “Sehingga kini seramai lebih 90 rakyat sudah terbunuh sejak awal 2023 sahaja, menjadikannya antara tahun paling berdarah buat Palestin.

    “Bagi mengangkat isu ini, kami sentiasa berkomunikasi dan melaporkan daripada rakan-rakan NGO dan media di Palestin melalui medium media sosial kami,” katanya.

    Katanya, antara keperluan yang utama ketika ini ialah bantuan baik pulih klinik lapangan dan bantuan kewangan kepada keluarga yang telah cedera.

    “MyAqsa Defenders juga ingin menguar-uarkan bahawa bantuan kecemasan untuk Al-Quds boleh disalurkan kepada NGO gabungan kami di pautan https://beacons.ai/myaqsa.

    “MyAqsa Defenders juga menggesa agar kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan segera mengutuk tindakan biadap rejim Zionis ini dan mengangkat isu ini di Parlimen serta memanfaatkan platform di peringkat antarabangsa isu ini mendapat perhatian semua pihak,” katanya.