Tag: Masidi Manjun

  • GRS sedia buktikan sokongan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri

    GRS sedia buktikan sokongan kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri

    GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) bersedia untuk membuktikan keabsahan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Masidi Manjun.

    Beliau berkata ini kerana difahamkan ada pihak tertentu mendakwa telah memperoleh sokongan lebih separuh daripada ADUN Sabah untuk membolehkan kumpulan ini menubuh sebuah kerajaan negeri yang baharu.

    Katanya, Hajiji telah menerima perakuan dan sokongan majoriti besar ADUN Sabah untuk terus memimpin kerajaan negeri masa ini termasuk sokongan daripada tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH).

    “Kami bersedia membuktikan keabsahan sokongan tersebut kepada pihak berwajib apabila dan sekiranya perlu.

    “Suasana dan kedudukan politik di Sabah kekal stabil dan selamat untuk urusan perniagaan dan pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    DUN Sabah mempunyai 79 ADUN iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.

    Kerajaan Sabah pada masa ini mempunyai sokongan 59 ADUN iaitu 29 daripada GRS, Barisan Nasional (17), PH (7), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (3), Parti Bangsa Malaysia (1), Parti Harapan Rakyat Sabah (1), dan seorang ADUN Bebas. – BERNAMA

  • ‘Saya sanggup tumbuk meja kalau tak puas hati’ – Masidi

    ‘Saya sanggup tumbuk meja kalau tak puas hati’ – Masidi

    ISU tuntutan terhadap hak minyak dan gas dengan kerajaan Pusat dan Petronas menjadi keutamaan bagi Menteri Kerajaan Tempatan dan Perubahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

    Malah, beliau menegaskan sanggup ‘menumbuk meja’ sekiranya tidak berpuas hati dengan hasil rundingan mengenai tuntutan tersebut.

    Memetik laporan FMT, Masidi yang juga ketua pasukan rundingan Sabah memberi jaminan akan memastikan misi untuk mengembalikan hak Sabah ke atas minyak dan gas yang dikeluarkan dari negeri itu mencapai kejayaan yang dikehendaki rakyat.

    “Pasal gas jangan risau. Walaupun saya ini orang kampung, orang Dusun atau orang bukit dari Ranau saya akan pasti mempertahankan hak Sabah.

    “Saya sanggup keluar bilik rundingan dan tumbuk meja jika tidak puas hati,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan.

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

    Shafie yang juga ketua pembangkang DUN Sabah bertanya mengenai usaha kerajaan negeri dalam memastikan hak minyak dan gas negeri itu benar-benar dikembalikan seperti yang dituntut menerusi rundingan dengan Petronas.

    Masidi menambah, hasil ketegasan kerajaan negeri, Petronas bersetuju membangunkan fasiliti minyak dan gas terapung di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

    Katanya, projek itu akan dilaksanakan pada tahun ini seperti yang sudah dipersetujui.

    “Petronas sudah bersetuju membina fasiliti ini di SOGIP, tiada toleh-toleh lagi dan insyaAllah akan dilaksanakan pada tahun ini,” jelasnya.

    Dalam perkembangan sama, Masidi ketika menjawab soalan tambahan ADUN Dilantik, Datuk Yong Teck Lee berkaitan kerahsiaan rundingan dengan Petronas, beliau menjelaskan perkara itu adalah kelaziman dalam amalan perniagaan.

    Namun katanya, kerahsiaan itu hanya berlaku ketika perundingan masih dijalankan tetapi isi rundingan akan terdedah dengan sendirinya apabila perkara yang dirundingkan berjaya dan menjadi kenyataan.

    “Contohnya kita diberi hak ambil alih ekuiti syarikat Petronas, apabila sampai kita ambil alih ia akan didedah kepada orang ramai, tapi memandangkan ada saingan dalam perniagaan, ia dirahsiakan ketika rundingan.

    “Namun, satu demi satu akan didedahkan juga kepada awam apabila tiba masanya. Itu niatnya kerahsiaan itu, bukan tidak mahu beritahu atau ada sesuatu yang kita mahu sembunyikan, tiada niat seperti itu,” ujarnya.