Tag: masalah kewangan

  • FSA2 KWSP hanya bantu T20 dan M40 yang tiada masalah kewangan, kata PGIRM

    FSA2 KWSP hanya bantu T20 dan M40 yang tiada masalah kewangan, kata PGIRM

    INISIATIF kerajaan menawarkan pinjaman di bawah Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) didakwa tidak membantu golongan terkesan keluar daripada beban kewangan ketika ini.

    Menurut Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) Azmi Mohd Tahir, kebanyakan individu yang memerlukan pengeluaran KWSP sudah disenarai hitam oleh institusi kewangan di negara ini.

    Malah katanya, ada antara mereka disenaraikan dalam Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) dan CTOS.

    “FSA2 itu hanya menyasarkan golongan T20 dan M40 yang tidak terkesan kerana jika mereka terkesan, sudah tentu tidak layak memohon disebabkan nama sudah disenarai hitam.

    “Peminjam yang memohon FSA2 pastinya mempunyai simpanan Akaun 2 mencukupi dan pinjaman dibuat bertujuan menambah modal perniagaan atau sebagainya.

    “Jadi mereka tidak berdepan masalah dan mempunyai kemampuan untuk membayar balik pinjaman,” katanya menurut laporan Harian Metro.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa peminjam FSA2 yang gagal membayar balik pinjaman mengikut tempoh ditetapkan berdepan risiko disenarai hitam.

    Ahmad dilaporkan berkata, nama peminjam juga berisiko disenaraikan dalam CCRIS dan CTOS dengan pengeluaran caruman KWSP untuk membayar baki pinjaman hanya boleh dibuat apabila usia pencarum mencapai 50 tahun.

    Mengulas lanjut Azmi berkata, inisiatif ditawarkan kerajaan itu hanya membantu peminjam yang nama ‘bersih’ dan tiada isu gagal membayar hutang pinjaman perbankan sebelum ini.

    “Sebab itu PGIRM mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP kecemasan kepada pencarum yang terkesan dengan beban hutang untuk diselesaikan demi kelangsungan hidup mereka,” katanya.

    Sebelum ini KWSP mengumumkan kemudahan FSA2 bagi ahli yang mempunyai baki minimum RM3,000 dalam Akaun 2 masing-masing.

    FSA2 dijalankan dalam dua fasa dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian, iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

  • Mohd Shukri nafi Perlis hadapi masalah kewangan

    Mohd Shukri nafi Perlis hadapi masalah kewangan

    MENTERI Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli menafikan dakwaan kerajaan negeri pimpinannya menghadapi masalah kewangan sehingga tidak cukup untuk membayar gaji kakitangannya.

    Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu, kerajaan Perlis sehingga kini masih mampu diuruskan dengan baik dan tidak timbul isu bahawa kerajaan itu menghadapi masalah kewangan.

    “Tak berbangkit isu ini, Perlis masih boleh di urus tadbir seperti biasa,” katanya yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis kepada Sinar Harian hari ini.

    Pada masa sama, Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang menghargai komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus membantu pembangunan Perlis dalam pertemuan yang diadakan di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya Isnin, lalu.

    Beliau berkata, pertemuan dan perbincangan tersebut memfokuskan kepada hal pembangunan negeri Perlis.

    Menurutnya, perbezaan politik di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Perlis tidak akan menghalang hubungan dua hala yang akan terus diperkasakan demi kepentingan rakyat.

    “Perdana Menteri pun berjanji akan terus membantu (pembangunan di Perlis),” ujar beliau lagi.

    Anwar merangkap Menteri Kewangan dalam reaksinya pula seperti dipetik melalui laporan media juga mengharapkan semoga kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Perlis terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat.