Tag: Maritim

  • Bot Jabatan Perikanan Johor, empat kru dilapor hilang

    Bot Jabatan Perikanan Johor, empat kru dilapor hilang

    SEBUAH bot Jabatan Perikanan Johor berserta empat kru dipercayai hilang, dalam perjalanan ke Pangkalan Tampoi, di Johor Bahru, dari Pengerang, Kota Tinggi, petang semalam. 

    Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan berhubung kejadian itu pada 7.51 malam tadi. 

    Beliau berkata bot bernombor PL87 itu tidak dapat dihubungi dan gagal dikesan setelah berlepas dari Tanjung Pengelih, Pengerang kira-kira 12.45 tengah hari semalam dan sepatutnya dijangka tiba di Pangkalan Tampoi, di sini, pada 6.30 petang, pada hari yang sama. 

    “Susulan itu, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menggerakkan bot PENGAWAL 46 dan bot KILAT 18 bagi mengesan bot dan mangsa yang terlibat pada 8 malam tadi. 

    “Pasukan Polis Marin turut menggerakkan tiga aset dengan lokasi pencarian tertumpu sekitar perairan Tuas dan Tanjung Piai berikutan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Singapura mengenai lokasi terakhir bot itu dikesan di perairan Tuas sekitar 3 petang, semalam, ” katanya menerusi, kenyataan hari ini. 

    Nurul Hizam berkata pihak Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya turut berhubung dengan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia, sekiranya terdapat maklumat lanjut atau pengesanan mengenai bot tersebut, di perairan negara jiran. 

    Beliau berkata operasi berkenaan turut dibantu kapal KM RAMUNIA milik Maritim dan bot PL39 milik Jabatan Perikanan Johor. – BERNAMA 

  • Dua nelayan diselamatkan, sembilan jam terapung di laut

    Dua nelayan diselamatkan, sembilan jam terapung di laut

    Oleh Abu Ubaidillah Raman

    DUA nelayan tempatan berjaya diselamatkan setelah lebih sembilan jam terapung di laut akibat bot yang dinaiki mereka karam dipukul ombak di perairan Tanjung Sedili, dekat sini malam tadi.

    Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah menerima maklumat dari Zon Maritim Tanjung Sedili pada jam 10.45 malam mengenai aduan sebuah bot nelayan tempatan hampir karam di kedudukan 4.3 batu nautika timur laut Tanjung Sedili Kechil.

    Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, bertindak atas aduan, Zon Maritim Tanjung Sedili menghantar Bot Kilat 16 bagi menyelamatkan mangsa.

    “Namun keadaan cuaca buruk menyebabkan bot ronda Maritim Malaysia hampir terbalik akibat dipukul ombak dan menghalang operasi cari lamat.

    “Zon Maritim Tanjung Sedili juga mendapatkan bantuan komuniti nelayan Tanjung Sedili bagi menyelamat mangsa namun usaha tersebut turut gagal akibat cuaca laut yang teruk dan jarak penglihatan yang terhad,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, pada jam 8.30 pagi pihak MRSC Johor Bahru telah menerima maklumat bahawa kedua-dua mangsa telah ditemui 15 sebelum itu oleh bot pancing yang turut menyertai misi pencarian mangsa.

    Mangsa, Abdul Halim, 50, dan Mohd. Nor Rizal, 38, ditemui selamat berpakaian jaket keselamatan lengkap dan berpaut pada pelampung pada kedudukan 4 batu nautika timur laut dari posisi bot mereka yang karam.

    Katanya, menurut laporan awal kejadian, keadaan cuaca yang buruk dan angin kencang telah menyebabkan bot mereka dipukul ombak dan dimasuki air dengan begitu pantas.

    “Kedua-dua mangsa seterusnya telah dibawa ke Klinik Kesihatan Tanjung Sedili untuk pemerikasaan lanjut. Pihak MRSC Johor Bahru juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam Operasi ini.

    “Maritim Malaysia ingin menasihatkan kepada komuniti maritim supaya sentiasa memakai jaket keselamatan sekiranya berada di laut kerana jaket keselamatan mampu untuk menyelamatkan nyawa sekiranya berada dalam kecemasan di laut,” katanya.