Tag: Marina Ibrahim

  • YB Rara menang Timbalan Ketua DAPSY, Marina antara undi terendah

    YB Rara menang Timbalan Ketua DAPSY, Marina antara undi terendah

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman yang lebih popular dengan gelaran YB Rara menang jawatan Timbalan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dalam pemilihan hari ini.

    Jawatan Ketua DAPSY pula dimenangi oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii.

    Seorang lagi pemimpin muda Melayu dalam DAP, Marina Ibrahim tidak dipilih menganggotai Jawatankuasa DAP.

    Malah, beliau yang baru seminggu bergelar ADUN Skudai beroleh jumlah undi yang agak rendah.

    Memetik laporan Malaysiakini, Kelvin meraih 232 undi bagi menewaskan Eric Teh Hoong Keat (158) dan Adun Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin (55) bagi mengetuai sayap itu untuk penggal 2021-2024.

    Beliau akan menggantikan Adun Pasir Pinji, Howard Lee.

    YB Rara pula meraih 212 undi bagi menewaskan Pengerusi DAP Batu Kitang, Abdul Aziz Isa (169) dan Alice Lan Suet Ling (64).

    YB Rara Marina Ibrahim
    Marina Ibrahim gagal memenangi sebarang jawatan dalam Jawatankuasa DAPSY. GAMBAR: Warta Rakyat

    Empat pemimpin yang menjadi Naib Ketua ialah Teh Swee Leong (Kedah), G Annun Nancy (Negeri Sembilan), K Jason Raj (Penang) dan PS Keristinah (Johor).

    Mereka menewaskan calon lain termasuk ADUN Subang, Michelle Ng; ADUN Luyang. Ginger Phoong dan Iskandar Fareez.

    Sekurang-kurangnya satu daripada empat jawatan itu dikhususkan untuk calon wanita.

    Bagi jawatan Setiausaha, Wayne Ong Chun Wei (Selangor) menewaskan Jenny Choy (Perak). Beliau meraih 240 undi manakala Jenny beroleh 204 undi.

    Seramai 15 lagi calon terpilih untuk menganggotai jawatankuasa sayap itu, termasuk ADUN Bukit Tunku, Lim Yi Wei.

    Selain Marina, ADUN Ayer Keroh, Kerk Chee Yee tidak terpilih setelah kedua-duanya mendapat antara undi terendah.

    Hari ini, DAP akan mengadakan pemilihan jawatankuasa eksekutif dengan pemimpin lain bakal menggantikan Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung, iaitu jawatan tertinggi bagi parti itu.

  • Beri pendedahan meluas kepada pengundi muda – Marina

    Beri pendedahan meluas kepada pengundi muda – Marina

    PENGUNDI khususnya yang berusia di antara 18 hingga 21 tahun perlu diberikan pendedahan lebih meluas mengenai penglibatan mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata calon DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, Marina Ibrahim.

    Beliau berkata, sepanjang lawatannya ke sekitar pasar raya di Skudai, beliau mendapati ramai pengundi berumur 18 tahun yang ditemui masih tidak mengetahui mereka kini layak mengundi pada PRN Johor.

    “Ada di antara mereka (pengundi muda) tidak peka atau tidak terima maklumat mengenai Undi 18 ini,” katanya pada sidang media DAP yang turut dihadiri oleh setiausaha agung parti itu Lim Guan Eng di Johor Bahru, hari ini.

    Marina merupakan antara 14 calon DAP yang bakal bertanding pada PRN Johor atas tiket Pakatan Harapan (PH), dan esok adalah hari penamaan calon bagi PRN Johor, manakala hari pengundian pada 12 Mac. – BERNAMA

  • Marina yang buat kerja, Maszlee pula yang naik jadi calon

    Marina yang buat kerja, Maszlee pula yang naik jadi calon

    SEBUT sahaja nama Marina Ibrahim, pasti ramai penduduk di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang mengenali pemimpin muda DAP itu.

    Selain memiliki paras rupa yang menarik, beliau bergiat aktif dalam kegiatan kemasyarakatan di kawasan tersebut, lebih-lebih lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dahulu.

    Beliau juga sentiasa bertemu dengan orang ramai dalam usaha mempopularkan dirinya sebagai salah seorang pemimpin muda Melayu dalam DAP yang dilihat lebih didominasi kaum Cina.

    Maka, tidak hairanlah jika timbul spekulasi bahawa beliau mungkin dicalonkan untuk mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi menamatkan penguasaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di DUN Layang-layang.

    Marina Ibrahim giat mendekati masyarakat dalam usaha mempromosi dirinya dan DAP. (Gambar: Facebook Marina Ibrahim)

    Namun, jangkaan itu meleset sama sekali apabila Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang baru sahaja melompat masuk PKR pula yang naik jadi calon.

    Berbeza dengan Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis yang ‘meroyan’ apabila kerusi DUN Puteri Wangsa disedekahkan kepada Muda, Marina nampaknya bersikap tenang dengan perkembangan di DUN Layang-layang.

    Cuma, ada juga penyokongnya yang meluahkan kekecewaan dalam media sosial apabila Marina diketepikan semata-mata untuk memberi laluan kepada Maszlee yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Johor dari PH.

    Kalau hendak dibandingkan antara Marina dengan Maszlee memang jauh bezanya, umpama langit dengan bumi. Ramai yang melihat Marina mempunyai pakej yang lengkap untuk diketengahkan sebagai calon PH di DUN Layang-layang.

    Malangnya keputusan yang pahit telah dibuat dan Marina serta para penyokokngnya terpaksa menerima apa yang diputuskan oleh pucuk pimpinan PH dengan hati pasrah.

    Mungkin juga beliau akan dicalonkan di kerusi DUN lain atau bertanding di mana-mana kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Tidak mustahil juga beliau akan kekal berada di bangku simpanan dan hanya diperlukan sebagai ‘pelaris’ untuk menarik minat golongan muda khususnya orang Melayu untuk menyertai DAP dan PH.

    Dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Orang yang buat kerja dengan penuh istiqamah dan komited dipinggirkan, tetapi orang lain yang rekod prestasinya tidak seberapa pula yang dijulang.