Tag: Maria Chin Abdullah

  • Hina mahkamah: Maria Chin dipenjara tujuh hari

    Hina mahkamah: Maria Chin dipenjara tujuh hari

    AHLI Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas isteri seorang ahli perniagaan.

    Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar menjatuhi hukuman itu selepas mendapati artikel yang diterbitkan oleh Maria Chin selaku responden pada 5 Sept 2019 berkaitan kes membabitkan ahli perniagaan Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya, Emilia Hanafi, jelas merendahkan, memperlekehkan, memfitnah serta menghina Mahkamah Syariah.

    “Tajuk yang digunakan oleh responden (Maria Chin) dalam artikel tersebut sendiri telah menghina mahkamah dan memberikan tanggapan buruk terhadap institusi Mahkamah Syariah di mata awam. Responden juga telah menggunakan fakta yang salah, tidak berkaitan dalam penulisannya.

    “Mahkamah dengan ini mensabitkan perbuatan menghina mahkamah oleh responden melalui artikel yang diterbitkan pada 5 Sept 2019.

    “Mahkamah juga menolak notis tunjuk sebab yang dikemukakan oleh responden (Maria Chin). Oleh itu mahkamah memerintahkan Maria Chin Abdullah dihukum penjara tujuh hari mulai hari ini,” kata hakim itu.

    Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan responden untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan Syariah.

    Pada 10 Sept 2019, SM Faisal, yang merupakan pengarah Naza World Group dan ibunya Datin Seri Zaleha Ismail selaku pemohon telah memfailkan permohonan kebenaran untuk pengkomitan (menghina mahkamah) terhadap Maria Chin dan permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 14 Okt 2019.

    Dalam penghakiman ringkasnya, Hakim Syarie Mohamed Fouzi berkata kenyataan responden bukan tergolong dalam komen yang adil, bahkan seolah-olah berniat memburukkan Mahkamah Syariah dengan menggunakan fakta kes yang tersasar dan tidak berkaitan.

    “Kenyataan yang dibuat ini tidak berdasarkan fakta sebenar yang berlaku di dalam penghakiman mahkamah itu sendiri dan menjerumuskan responden kepada salahnyataan dan penghinaan kepada mahkamah ini.

    “Sudah tentu, dengan kenyataan yang bersifat memburukkan, skandal, bersifat negatif, menuduh dengan menggunakan fakta yang tidak tepat boleh menyebabkan kepercayaan awam kepada Mahkamah Syariah semakin terjejas teruk akibat tindakan responden,” katanya.

    Hakim syarie itu berkata responden sengaja menghina mahkamah itu dengan menyatakan bahawa mahkamah melakukan diskriminasi kepada Emilia bahkan kepada wanita-wanita yang mendapatkan perkhidmatan keadilan di mahkamah.

    “Fakta sebenarnya adalah semua undang-undang yang sedang berkuat kuasa ini adalah undang-undang yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat yang mana responden sebagai Ahli Yang Berhormat turut berada di dalamnya dan dikuatkuasakan dengan kelulusan dan persetujuan ahli yang berhormat.

    “Mahkamah ini hanya melaksanakan keadilan yang dibenarkan oleh undang-undang yang telah diluluskan oleh Ahli Yang Berhormat dan menguatkuasakan keadilan tanpa mengira jantina berdasarkan tuntutan pihak-pihak tersebut,” kata hakim itu.

    Katanya, sebagai seorang Ahli Yang Berhormat, responden seharusnya lebih mengetahui bahawa mahkamah itu hanya akan memutuskan kes setelah semua prosedur ditetapkan telah dipenuhi dan hanya berdasarkan wujud bukti yang jelas.

    Hakim Syarie itu berkata sebagai Ahli Parlimen yang berperanan meluluskan sesuatu undang-undang, adalah tidak wajar bagi responden mempertikai dan merendahkan serta menghina undang-undang dan mana-mana mahkamah semasa mahkamah itu menjalankan tugasnya.

    “Bahkan sebagai Ahli Yang Berhormat, responden mempunyai cukup ruang dan tempat yang luas untuk mendapatkan maklumat yang tepat selain memberi pandangan dan cadangan yang baik dan adil untuk kebaikan mahkamah ini,” katanya.

    Prosiding itu dihadiri peguam syarie Datuk Sulaiman Abdullah dan Datuk Akberdin Abdul Kader mewakili SM Faisal manakala peguam syarie Rosli Dahlan mewakili Maria Chin yang tidak hadir hari ini kerana sedang mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat menghidap gejala COVID-19.

    Pada 4 Sept 2019, Mahkamah Tinggi Syariah di sini menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia kerana mengubah tarikh lawatan anak-anaknya untuk bersama bapa mereka (Faisal). 

    Emilia dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.

    Hukuman yang dijatuhkan terhadap Emilia menyebabkan Maria Chin mengeluarkan kenyataan wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang syariah Malaysia, yang disiarkan sebuah portal.

    Susulan itu, SM Faisal dan Zaleha memfailkan permohonan komital terhadap Maria Chin dan permohonan itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

    Maria Chin, 65, kemudian memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini, pada 3 Mac tahun lepas bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan prosiding komital terhadapnya dan pendengaran permohonan itu ditetapkan pada 25 Mei ini. – BERNAMA

  • Fitnah Maria Chin, mahkamah tolak rayuan Jamal Yunos

    Fitnah Maria Chin, mahkamah tolak rayuan Jamal Yunos

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak rayuan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan beliau mengeluarkan kenyataan memfitnah bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

    Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Abdul Karim Jalil, Datuk Gunalan Muniandy dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bagaimanapun membenarkan rayuannya untuk mengurangkan kuantum ganti rugi sebanyak RM300,000 yang sebelum ini diberikan Mahkamah Tinggi kepada Maria, kepada RM150,000.

    Mahkamah turut memberikan award RM10,000 sebagai kos kepada Maria, yang kini Ahli Parlimen Petaling Jaya.

    Ahmad Zaidi, yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata mahkamah bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa kenyataan yang diucapkan oleh Jamal akan mempunyai kesan menjatuhkan reputasi Maria di mata masyarakat dan boleh menimbulkan kebencian kepada wanita itu.

    Beliau berkata, Jamal juga gagal menunjukkan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab tersilap dalam keputusannya bahawa dua kenyataan yang diucapkan Jamal merujuk kepada Maria.

    Jamal telah mengaku membuat dua kenyataan itu tetapi menafikan bahawa kenyataan itu merujuk kepada Maria atau kenyataan itu berunsur fitnah.

    Hakim itu berkata, Mahkamah Rayuan mendapati tiada merit dalam rayuan Jamal mengenai liabiliti.

    Mengenai kuantum ganti rugi, hakim berkata jumlah RM300,000 yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi kepada Maria nyata berlebihan sambil menambah bahawa RM150,000 adalah jumlah yang munasabah untuk diberikan kepada Maria.

    Maria mengambil tindakan undang-undang terhadap Jamal kerana memfitnah dengan mengaitkan beliau dan Bersih 2.0 dengan kumpulan militan Daesh.

    Dalam samannya yang difailkan pada 7 Okt 2016, beliau mendakwa Jamal telah mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya dan Bersih, yang disiar dan diterbitkan oleh media dalam talian, cetak dan elektronik, semasa sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 28 Sept 2016 dan kemudiannya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 4 Okt 2016.

    Pada 2018, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Jamal memfitnah Maria dan memerintahkannya membayar ganti rugi RM300,000 kepada Maria menyebabkan beliau merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.

    Jamal diwakili peguam V. Mugunthan dan Mohamad Fauzi Abdul Samad manakala peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar, Abraham Au dan Ngeow Chow Ying mewakili Maria. – BERNAMA