Tag: MARA Corp

  • MARA Corp hidupkan MARA Digital Mall – Mahdzir

    MARA Corp hidupkan MARA Digital Mall – Mahdzir

    MARA Corporation (MARA Corp) diminta menganjur lebih banyak program yang melibatkan penyertaan golongan belia pada setiap hujung minggu.

    Ia bagi menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan MARA Digital Mall diteruskan.

    Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, program seumpama itu akan dapat mempromosikan lagi pusat beli-belah barangan teknologi digital tersebut.

    “Saya nak syorkan kepada Mara Corporation kalau boleh hujung minggu minta kerjasama DBKL tutup jalan di depan Mara Digital.

    “Boleh buat macam-macam program dengan anak-anak muda. Tapi itu kena ada kerjasama di antara DBKL dengan Mara,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

    Jelas Mahdzir, penganjuran program yang pelbagai di persekitaran MARA Digital Mall itu akan menarik penglibatan generasi muda khususnya golongan Bumiputera untuk berniaga di situ.

    MARA Corp katanya boleh melaksanakan program itu dengan kerjasama bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

    Satu perbincangan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan juga akan diadakan bagi memperincikan syor tersebut.

    Semalam, Perdana Menteri mengadakan lawatan mengejut ke MARA Digital Mall bersama Mahdzir dan beberapa pegawai tinggi MARA.

    Susulan itu, Perdana Menteri mengarahkan MARA meneruskan projek Digital Mall itu bagi membuka peluang kepada anak muda Bumiputera terlibat sebagai usahawan teknologi maklumat (IT).

    Beliau mendapati peniaga yang ada di MARA Digital Mall mampu meneruskan perniagaan kerana jualan semakin meningkat.

    Untuk rekod, Mara Digital Mall dicetuskan oleh Ismail Sabri semasa beliau menyandang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada tahun 2015.

  • SPRM tak gugur kes salah guna kuasa pegawai Mara Corp

    SPRM tak gugur kes salah guna kuasa pegawai Mara Corp

    DAKWAAN sebuah portal kononnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menggugurkan kes salah guna kuasa melibatkan tiga pegawai Mara Corp adalah tidak benar.

    Memetik laporan Astro Awani, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan, siasatan telah dijalankan oleh pihaknya dan beberapa individu dicadangkan untuk dituduh.

    “Kita telah hantar ke Jabatan Peguam Negara untuk dikaji dan seperti yang lepas kita mencadangkan untuk dituduh beberapa pihak dalam kes ini.

    “Jadi setakat ini tidak ada sebarang maklumat dari Jabatan Peguam Negara mengenai tiada pihak dituduh, jadi saya tiada komen mengenai kes ini tidak dituduh,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Anugerah SPRM 2021 di Putrajaya hari ini.

    Beliau menambah, siasatan yang dijalankan sebelum ini mendapati terdapat keterangan yang memadai untuk pertuduhan dibuat terhadap beberapa individu.

    “Dari pihak kami telah menyiasat dan pada pandangan kami ada keterangan memadai dan mencukupi untuk pertuduhan terdahadap beberapa pihak,” katanya lagi.

    Pada 5 Februari lalu, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu sebelum menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada Mara, Mara Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada 7 Februari.

  • Perbelanjaan mencurigakan dalam kad kredit korporat MARA Corp

    Perbelanjaan mencurigakan dalam kad kredit korporat MARA Corp

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati terdapatnya beberapa perbelanjaan yang mencurigakan, dalam siasatan membabitkan dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat MARA Corporation (MARA Corp).

    Berikutan itu sumber SPRM berkata, pihak pengurusan MARA Corp, telah diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya esok, untuk menjelaskan mengenai garis panduan penggunaan kad kredit korporat agensi berkenaan.

    “Dalam siasatan SPRM berhubung penyalahgunaan kad kredit korporat MARA Corp sejak minggu lepas, didapati terdapat perbelanjaan yang mencurigakan melibatkan beberapa pembelian barangan dan perkhidmatan, yang tidak melibatkan agensi berkenaan sepanjang Mac hingga Dis tahun lepas,” katanya kepada Bernama.

    Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai barangan dan perkhidmatan yang dibeli menggunakan kad kredit itu.

    Pada Khamis lepas, media melaporkan SPRM telah memulakan siasatan dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat oleh pengurusan tinggi MARA Corp.

    Dalam pada itu mengulas mengenai perkembangan siasatan membabitkan dakwaan salah laku dan integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA), beliau berkata seramai 17 individu telah selesai dirakam keterangan dan 10 lagi akan dipanggil dalam minggu ini.

    “Kita jangka pada Khamis ini, kertas siasatan berkaitan kes ini akan dapat dibentangkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Pada 5 Feb lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan MARA, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.

    Pada 7 Feb pula, SPRM menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada MARA, MARA Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat. – BERNAMA

  • MARA Corp disiasat isu dokumen dalaman tular

    MARA Corp disiasat isu dokumen dalaman tular

    MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) telah memulakan siasatan lanjut di MARA Corp bagi meneliti dokumen-dokumen berkaitan untuk memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik.

    Pengerusinya, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, pihaknya memandang serius terhadap kejadian penyebaran dokumen pentadbiran dalaman kepada pihak awam yang menimbulkan persepsi negatif terhadap MARA dan anak syarikat berkaitan.

    “Sekiranya wujud sebarang salah laku dalam tadbir urus anak syarikat di bawah agensi ini, MARA sesekali tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu yang terlibat atas prinsip menjunjung nilai integriti dalam melaksanakan amanah yang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, keseluruhan anak syarikat MARA dikawal selia mengikut Akta Syarikat 2016 dan sentiasa mengutamakan amalan integriti yang tinggi dalam organisasi.

    Azizah juga menafikan wujud salah guna kuasa atau salah urus tadbir susulan dokumen dalaman anak syarikatnya tular dalam media sosial yang mendakwa wujud isu integriti membabitkan beberapa pegawainya. – BERNAMA