Tag: Manjung

  • Bongkar makmal haram, polis rampas dadah RM5.5 juta

    Bongkar makmal haram, polis rampas dadah RM5.5 juta

    POLIS merampas 79 kilogram dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai lebih RM5.5 juta selepas membongkar makmal memproses bahan terlarang itu menerusi dua serbuan di Manjung, Sabtu lalu.

    Pada masa sama, polis turut menyita tiga kenderaan mewah termasuk Toyota Alphard dan Ford Mustang serta barang kemas dianggarkan bernilai RM763,693.

    Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Pantai Remis kira-kira pukul 7 pagi, polis menahan seorang lelaki tempatan dan tiga wanita Vietnam, berumur antara 32 hingga 39 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM95,043.

    Beliau berkata, berikutan itu, kira-kira pukul 3.30 petang hari yang sama, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Panchor, yang dipercayai digunakan sebagai tempat memproses dan membungkus pil Ecstasy.

    “Hasil pemeriksaan di rumah tersebut telah menjumpai pil Ecstasy sebanyak (11,838) biji atau anggaran berat 5,592 gram; serbuk disyaki dadah jenis Ecstasy anggaran berat 38,326 gram; cecair disyaki Ecstasy anggaran berat 31,311 gram.

    “Turut ditemui, daun-daun kering disyaki ganja anggaran berat 2,056 gram; ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine (844 gram); dan dadah disyaki heroin (162 gram).

    “Nilai rampasan dadah itu dianggarkan berjumlah RM5,429,979.80,” katanya lapor Astro AWANI, hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, turut dirampas ialah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses serta membungkus dadah.

    Katanya, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta ialah lebih RM6,288,716, iaitu yang terbesar tahun ini.

    Katanya lagi, hasil saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas suspek, mendapati kesemuanya positif dadah jenis Amphethamine dan semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai sembilan rekod kesalahan lampau.

    Menurutnya, sindiket itu dipercayai bergiat aktif sejak awal tahun 2022 dan dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan di Perak yang boleh digunakan kira-kira 258,214 orang penagih dadah.

    Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama seminggu bagi membantu siasatan.

  • Tiga maut, tiga cedera kemalangan dua kenderaan di Sitiawan

    Tiga maut, tiga cedera kemalangan dua kenderaan di Sitiawan

    TIGA maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jambatan Permaisuri Bainun, Sitiawan, malam tadi. 

    Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan berkata mangsa yang meninggal dunia merupakan pasangan suami isteri dan seorang kanak-kanak lelaki yang menaiki kereta jenis Proton Saga.

    Beliau berkata dua lagi kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam kenderaan yang sama serta pemandu kenderaan SUV jenis Chevrolet mengalami kecederaan.

    “Kita terima panggilan kecemasan pada 11.13 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati kenderaan jenis Chevrolet telah terbakar 80 peratus. 

    “Tiga orang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala mangsa yang cedera diberikan rawatan awal dan tiada mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Menurutnya kesemua mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis manakala yang cedera dibawa ke hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan selanjutnya. 

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi memberitahu Bernama, identiti kesemua yang terlibat dalam kemalangan itu akan dimaklumkan kemudian. – BERNAMA