Tag: manifesto

  • PN dijangka lancar manifesto di Kuala Lumpur esok – Muhyiddin

    PN dijangka lancar manifesto di Kuala Lumpur esok – Muhyiddin

    EKONOMI, alam sekitar, pendidikan dan wanita adalah antara yang akan dititikberatkan dalam manifesto Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Umum  ke-15 (PRU15) yang dijangka dilancarkan di Kuala Lumpur, esok.

    Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu kini sedang memperincikan semua perkara yang disifatkan penting untuk diambil kira supaya boleh dilaksanakan dan ditunaikan untuk rakyat manakala aspek lain yang akan dilihat ialah isu sosial, alam sekitar dan lain-lain perkara. 

    “Saya nak menyatakan bahawa kami tidak mahu berjanji. Kami akan usahakan dan laksanakan sepenuhnya apa yang kami janjikan dalam manifesto.

    “Ini akan kami maklumkan dan berharap ia mendapat tarikan pengundi di seluruh negara,” kata beliau kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Pagoh di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh di sini hari ini.

    Mengakui pernah dinasihati untuk berpindah ke kawasan Parlimen lain, penyandang kerusi Pagoh itu enggan berbuat demikian dan menyatakan ini merupakan kali ke-11 beliau bertanding di kerusi itu semenjak 1978 dan gelanggang terakhirnya dalam PRU.

    “Pagoh dan masyarakatnya ada tempat istimewa di hati saya. Dalam sejarah politik saya selama lebih 40 tahun, saya tidak pernah berpindah ke kawasan Parlimen lain.

    “Saya setia memberi khidmat kepada masyarakat di Pagoh dan pengundi di Pagoh juga sentiasa setia memberi sokongan kepada saya pada setiap kali pilihan raya. Terima kasih,” kata beliau lagi.

    Muhyiddin, yang juga Presiden Bersatu itu berkata PN, yang dipimpinnya turut menawarkan sebuah kerajaan yang prihatin, bersih dan stabil untuk semua rakyat. 

    Beliau akan menghadapi pertandingan tiga penjuru, bertemu calon Barisan Nasional iaitu bekas Ahli Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim dan calon Pakatan Harapan dari PKR Iskandar Shah Abdul Rahman.

    Terdahulu, pemimpin PN kelahiran Muar itu menjadi calon pertama yang menghantar borang pencalonan pada 9.03 pagi, diikuti Iskandar Shah, lima minit kemudian dan Razali pada 9.12 pagi.

    Kira-kira 1,000 penyokong parti yang bertanding telah berkumpul di pekarangan kompleks itu sejak 9 pagi.

    Muhyiddin, 75, memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada PRU lepas dengan majoriti 6,927 undi, sekaligus menewaskan calon PAS Ahmad Nawfal Mahfodz dan calon BN Ismail Mohamed. – BERNAMA

  • Kembalikan kegemilangan bola sepak Perlis antara manifesto PN Perlis

    Kembalikan kegemilangan bola sepak Perlis antara manifesto PN Perlis

    USAHA mengembalikan semula kegemilangan pasukan bola sepak Perlis akan menjadi satu daripada manifesto Perikatan Nasional (PN) Perlis pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Timbalan Pengerusinya Abu Bakar Hamzah.

    “Sebelum ini, pasukan bola sepak negeri Perlis pernah menjuarai Piala Malaysia dua kali pada 2004 dan 2006, jadi kita ingin kembalikan semula detik nostalgia kegemilangan pasukan Singa Utara kepada rakyat negeri ini setelah sekian lama mengalami kejatuhan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Gegar Anak Muda Perlis (Gema Perlis Baharu) di Denai Larian, Pengkalan Asam di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Abu Bakar yang juga Pengerusi Bersatu Perlis berkata PN Perlis akan mengumumkan nama calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2 Nov ini.

    “PN Perlis akan bertanding di semua 15 kerusi DUN iaitu sembilan kerusi bagi calon PAS dan enam kerusi untuk Bersatu,” katanya.

    Beliau berkata bagi peringkat Parlimen, PAS akan bertanding di dua kerusi iaitu Padang Besar dan Arau manakala Bersatu di Kangar.

    Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis Asrul Aimran Abd Jalil berkata PAS akan memperkasakan penggunaan media sosial sebagai ‘senjata’ baharu bagi menarik pengundi khususnya golongan muda pada PRU15 selain mengekalkan kaedah konvensional iaitu ceramah politik.

    Ketua Pemuda PN Negeri Perlis itu berkata PAS juga tidak lagi memberi tumpuan kepada ceramah secara besar-besaran sebaliknya akan menganjurkan kempen dalam bentuk skala kecil bagi memberi tumpuan mengikut bahagian atau kawasan.

    “PN Perlis telah memilih cogan kata ‘Perlis Baharu’ bagi mendekati generasi muda dalam media sosial seperti Tik Tok, Facebook, Instagram dan juga Twitter,” katanya kepada pemberita pada majlis sama.

    Asrul Aimran berkata selain media sosial, PN Perlis juga menganjurkan program sukan dan juga mengedar ‘Kad Keluar Mengundi’ sebagai sentuhan pertama mendekati golongan muda di negeri ini. – BERNAMA

  • Kerajaan ada wang laksana Bajet 2023 – PM

    Kerajaan ada wang laksana Bajet 2023 – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berkata kerajaan mempunyai wang bagi melaksanakan Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Okt lepas, yang merupakan belanjawan terbesar pernah disediakan melibatkan peruntukan RM372.3 bilion. 

    “Apabila kita mengumumkan bajet dalam Parlimen, itu bermaksud kita telah mempunyai duit untuk melaksanakan setiap yang dijanjikan…sudah ada duit cuma (bajet) belum lulus lagi. 

    “Kalau mahu bajet yang cantik sebegini dilaksanakan, undilah kita dan barulah (bajet) boleh dibentang semula dan diluluskan,” katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

    Hari ini, beberapa media melaporkan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kemampuan kerajaan melaksanakan inti pati Bajet 2023 kerana mendakwa antara lain kerajaan kekurangan dana dan kurang kecekapan untuk melaksanakan projek.

    Ismail Sabri juga menegaskan bajet itu, yang dibuat dengan mencakupi semua lapisan masyarakat, menyasarkan manfaat kepada akar umbi dan bukannya hanya ‘taikun’ seperti dakwaan sesetengah pihak. 

    Perdana Menteri berkata perbelanjaan pembangunan antaranya melibatkan infrastruktur luar bandar seperti jalan raya dan jambatan, turut membabitkan kontraktor kecil, dengan mengambil contoh projek kecil dan sederhana melibatkan peruntukan RM3.7 bilion, akan memanfaatkan kira-kira 5,000 kontraktor kelas G1 hingga G4. 

    “Tambahan pula projek yang dilakukan adalah untuk kebaikan rakyat. Infrastruktur luar bandar, siapa yang mendapat manfaatnya? Setiap projek pembangunan faedah adalah kepada kepada akar umbi termasuk semua masyarakat Orang Asli. 

    “Untuk kesihatan, saya mengarahkan supaya menambah peruntukan kesihatan kepada Sabah dan Sarawak kerana klinik desanya terlalu daif, begitu juga untuk aspek pendidikan, turut ditambah di Sabah dan Sarawak kerana sekolahnya begitu daif. Ini bukan soal kontraktor besar tetapi untuk kebaikan rakyat,” katanya. 

    Ismail Sabri juga menempelak tindakan pembangkang yang gagal menunaikan manifesto yang dicanang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sehingga akhirnya menyebabkan Dr Mahathir, sebagai Perdana Menteri ketika itu, mengeluarkan kenyataan manifesto bukan kitab suci yang wajib ditunaikan. – BERNAMA