Tag: Mamat Khalid

  • Dunia seni kehilangan sebutir bintang – Ismail Sabri

    Dunia seni kehilangan sebutir bintang – Ismail Sabri

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dunia seni hari ini kehilangan sebutir bintang dengan pemergian Allahyarham Mohamad bin Mohd Khalid atau dikenali sebagai Mamat Khalid, yang meninggal dunia sekitar pukul 12.30 tengah malam tadi.

    Menurut beliau, Allahyarham yang merupakan adik kepada kartunis terkenal negara iaitu Datuk Lat, antara penerbit serta pengarah tersohor tanah air dan disegani dalam dunia perfileman negara.

    “Takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham dan para penggiat seni tanah air di atas kehilangan ini.

    “Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Mamat Khalid, 58, yang terkenal dengan filem arahannya seperti ‘Zombi Kampung Pisang’ dan ‘Hantu Kak Limah’, meninggal dunia pada 12.30 tengah malam tadi di Hospital Slim River, Perak.

    Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique menyifatkan Allahyarham Mamat Khalid sebagai seorang wira yang memperjuangkan agenda perpaduan melalui karya filem yang menjadi tontonan pelbagai kaum dan peringkat usia.

    Beliau memberitahu, pengarah filem terkenal itu telah meninggalkan legasi indah dengan menghantar pelbagai mesej perpaduan kaum dalam karya-karya besarnya.

    “Beliau adalah seorang pengkarya, ahli seni yang patut dicontohi semua. Karya seni adalah medium yang dapat dijadikan sebagai platform penyatuan bangsa dan kaum di negara ini.

    “Sebagaimana Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang meninggalkan legasi seni sehingga berdekad-dekad lamanya kepada seluruh masyarakat pelbagai kaum di Malaysia, saya melihat Mamat Khalid juga begitu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Halimah berkata, melalui karya-karya yang dihasilkan Mamat Khalid, ada nilai-nilai kemasyarakatan, nilai perpaduan kaum dan nilai kebersamaan.

    Menurut beliau, keindahan sebuah karya seorang pengarah filem adalah apabila ia menjadi tontonan masyarakat pelbagai kaum, selain turut menghantar mesej-mesej positif yang diterima sehingga melangkaui zamannya.

    “Mamat Khalid bukan sahaja menghasilkan karya seni yang bersifat humor, tetapi juga mengajak seluruh masyarakat supaya saling hormat-menghormati, berkasih sayang, tolong-menolong dan bertoleransi sesama masyarakat.

    “Di situ ‘mahalnya’ sebuah karya seni apabila ia turut bercerita dengan nilai yang positif, sehingga dikenang dalam sejarah,” katanya.

    Halimah turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Mamat Khalid dan berharap seluruh keluarga Allahyarham diberikan ketabahan atas kehilangan ini.

    “Perginya Mamat Khalid juga adalah kehilangan besar kepada negara, dan saya percaya karya-karya beliau akan terus hidup dan segar di mata masyarakat Malaysia,” katanya.

  • Pengarah filem terkenal Mamat Khalid meninggal dunia

    Pengarah filem terkenal Mamat Khalid meninggal dunia

    PENGARAH filem terkenal, Mamat Khalid meninggal dunia pada pukul 12.30 tengah malam tadi di Hospital Slim River.

    Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah.

    “Arwah pengsan di Sarang Art Hub, Tanjung Malim sebelum dibawa ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia,” katanya ringkas melalui pesanan aplikasi WhatsApp kepada Bernama.

    Punca kematian tidak dapat diketahui namun difahamkan akibat serangan jantung.

    Selain menumpukan masanya dalam bidang perfileman, arwah juga merupakan pemilik kafe Sarang Art Hub yang dibuka di Tanjung Malim sejak 2016.

    Allahyarham atau nama sebenarnya, Mohamad bin Mohamad Khalid, 58, merupakan seorang penulis skrip dan pengarah filem selain merupakan adik kepada kartunis terkenal negara Datuk Mohammad Nor Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat.

    Allahyarham yang dilahirkan di Ipoh, meninggalkan isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak iaitu tiga lelaki, Mohd Khalid Amen, Mohd Khalid Adam, Mohd Khalid Zaffa dan dua perempuan iaitu Sara dan Nurhassanah.

    Antara filem air tangan arwah yang terkenal pastinya adalah ‘Zombi Kampung Pisang’, ‘Hantu Kak Limah’, ‘Rock’ dan ‘18 Puasa di Kampong Pisang’ yang meninggalkan kesan mendalam kepada peminat filem genre lucu dan hiburan keluarga.

    Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemergian Mamat Khalid merupakan satu kehilangan bakat yang tidak mungkin dapat dicari ganti

    “Salam takziah kepada keluarga Allahyarham Mamat Khalid, penerbit, pengarah dan pelakon. Negara kehilangan bakat yang tidak mungkin ada pengganti. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya dalam ciapan di Twitternya.

    Nada sedih yang sama turut dizahirkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam Twitternya;

    “Al Fatihah. Moga Allah tempatkan Abang Mamat Khalid dalam kalangan mereka yang dirahmati olehNya”.

    Beberapa rakan selebriti yang rapat dan mengenali arwah turut melahirkan perasaan dukacita dan terkejut seperti pelakon Que Haidar yang menghantar ciapan dalam Twitter: “Antara pengarah terawal mengesan bakat saya. Al Fatihah untuk Abang.”

    Sharifah Amani dalam hantarannya di Twitter : “Thank you Abang Mamat for the years of love and dedication towards your craft and country. You will be truly missed. (Terima kasih Abang Mamat untuk cinta dan dedikasi anda kepada seni dan negara buat sekian lama. Anda akan sentiasa dirindui). Semoga tenang disana. Salam takziah buat keluarga dan sahabat tercinta. Al Fatihah”. – BERNAMA