Tag: Malaysia

  • 9,117 kes baharu COVID-19, tertinggi bagi 2022

    9,117 kes baharu COVID-19, tertinggi bagi 2022

    MALAYSIA hari ini merekodkan 9,117 kes baharu COVID-19 iaitu angka tertinggi bagi tahun ini berbanding 7,234 kes semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 meningkat kepada 2,904,131 setakat 12 tengah hari manakala jumlah pesakit yang pulih daripada jangkitan ialah 2,806,154 orang dengan pertambahan 6,546 individu hari ini.

    Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 47 adalah kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya 9,070 kes lagi dalam kategori satu dan dua.

    “Sebanyak 134 kes merupakan kes import dan 8,983 kes tempatan dengan 123 daripadanya memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 67 kes memerlukan bantuan pernafasan,” menurutnya dalam kenyataan harian mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19.

    Dr Noor Hisham juga berkata, sebanyak 10 kluster baharu direkodkan dengan 353 kluster masih aktif setakat ini.

    Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), beliau berkata Rt negara berada pada paras 1.13 setakat semalam dengan Perlis merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.33 diikuti Sabah (1.29) dan Kedah (1.19). – BERNAMA

  • Lebih 7,000 kes baharu COVID-19 seluruh negara hari ini

    Lebih 7,000 kes baharu COVID-19 seluruh negara hari ini

    KES baharu COVID-19 di dalam negara melonjak kepada 7,234 kes hari ini selepas tiga hari berturut-turut merekodkan angka lebih 5,000 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 sebanyak 2,895,014 setakat 12 tengah hari tadi manakala jumlah pesakit yang pulih daripada jangkitan pula meningkat kepada 2,799,608 dengan pertambahan 5,254 orang hari ini.

    “Daripada jumlah kes baharu hari ini, 73 melibatkan kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya kategori satu dan dua. 118 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 57 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan harian mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19.

    Beliau juga berkata, sebanyak 21 kluster baharu direkodkan dengan 346 kluster masih aktif setakat ini.

    Mengenai kadar kebolehjangkitan (Rt), Dr Noor Hisham berkata, Rt negara berada pada paras 1.11 semalam dengan Perlis merekodkan nilai tertinggi iaitu 1.25 diikuti Johor (1.20) dan Pulau Pinang (1.17).

    Sementara itu, menerusi ciapan Twitter, Dr Noor Hisham berkata, kadar vaksinasi dan dos penggalak yang tinggi di negara ini menyebabkan kurang pesakit dalam kategori tiga, empat dan lima serta ia menunjukkan bahawa vaksin itu berfungsi.

    “Walaupun jumlah kes COVID-19 dijangka meningkat dalam beberapa hari dan minggu berikutan kebolehjangkitan varian Omicron yang tinggi, ia menyebabkan gejala yang dialami tidak begitu teruk terhadap mereka yang sudah menerima vaksinasi penuh dan suntikan dos penggalak,” katanya. – BERNAMA

  • Blinken puji cara Malaysia kendali pandemik COVID-19

    Blinken puji cara Malaysia kendali pandemik COVID-19

    SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Antony J. Blinken hari ini memuji kepimpinan Malaysia dalam mengendalikan pandemik COVID-19 dan menghargai sumbangan negara kepada COVAX, sebuah inisiatif global untuk perkongsian vaksin.

    Blinken berkata, kerana kepimpinan dan kejayaan luar biasa itu membolehkan Malaysia mempunyai kapasiti untuk menyumbang lebihan vaksin ke negara lain dan kepada COVAX.

    “Ia bukti kepimpinan sebenar dan amat dihargai,” katanya pada sidang media bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

    Beliau berkata, ketika mesyuarat dua hala dengan Saifuddin, kedua-dua pihak menyentuh mengenai apa yang boleh dilakukan bersama untuk mengatasi cabaran semasa COVID-19 dan membuat persiapan lebih baik untuk menangani pandemik pada masa depan.

    “Kita perlu ambil peluang ini untuk kukuhkan sistem keselamatan kesihatan global. Jadi pada masa akan datang kita lebih berupaya untuk mencegah, mengesan dan mungkin menangani pandemik baharu dengan lebih berkesan,” katanya.

    Blinken tiba di Kuala Lumpur pada Selasa malam untuk mengadakan lawatan kerja dua hari. Beliau sebelum ini singgah di Jakarta, Indonesia dan akan meneruskan kunjungannya ke Bangkok, Thailand.

    Beliau berkata AS sedang berusaha untuk melaksanakan komitmennya untuk terus menyumbang kepada COVAX, supaya vaksin COVID-19 dapat diagihkan secara saksama.

    “Menjelang 2022, AS menjangkakan untuk menyumbang 1.2 bilion vaksin di seluruh dunia, kami mempunyai komitmen untuk bantu apa yang boleh bagi menutup jurang vaksinasi,” katanya. – BERNAMA

  • Malaysia nafi sertai perjanjian normalisasi hubungan Israel

    Malaysia nafi sertai perjanjian normalisasi hubungan Israel

    MALAYSIA secara tegas menafikan kenyataan oleh menteri Israel semasa wawancara dengan Erem News baru-baru ini yang mendakwa Malaysia mungkin akan menyertai Perjanjian Abraham dan menormalkan hubungan dengan Israel.

    Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdulllah pada Rabu berkata Malaysia teguh dengan komitmennya yang senantiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menentang pencerobohan Israel yang berterusan serta penindasan sistematik di bumi Palestin.

    Beliau berkata Malaysia akan terus aktif melaksanakan agenda bilateral Palestin, termasuk dalam pelbagai forum serantau dan antarabangsa untuk merealisasikan aspirasi rakyat Palestin demi kebebasan dan Negara Palestin yang merdeka.

    “”Sokongan berterusan Malaysia kepada perjuangan Palestin juga sebagai pengiktirafan terhadap aspirasi generasi baharu pejuang dan aktivis Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

    Datuk Saifuddin Abdullah
    Saifuddin Abdullah

    Saifuddin berkata Malaysia akan terus memberikan sokongan politik dan moral, serta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dan menerusi organisasi antarabangsa seperti Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat serta memudahkan kerja-kerja pertubuhan masyarakat awam Malaysia bagi rakyat Palestin.

    Menurut laporan media, Menteri Kerjasama Serantau Israel, Issawi Frej pada Isnin berkata bahawa Oman, Tunisia, Qatar, dan Malaysia mungkin menyertai Perjanjian Abraham.

    Bekas pentadbiran Amerika Syarikat Donald Trump memulakan Perjanjian Abraham 2020, yang menyaksikan beberapa negara iaitu Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan dan Maghribi, menormalkan hubungan dengan Israel. – BERNAMA

  • Malaysia sumbang RM5 juta bina semula Klinik Al-Rimal Gaza

    Malaysia sumbang RM5 juta bina semula Klinik Al-Rimal Gaza

    MALAYSIA menyumbang RM5 juta kepada Palestin untuk membantu usaha membina semula Klinik Al-Rimal yang menempatkan satu-satunya makmal ujian COVID-19 di Gaza yang mengalami kerosakan akibat serangan udara Israel pada Mei.

    Pertukaran Nota (EoN) mengenai sumbangan itu dimeterai Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali di Kementerian Luar (Wisma Putra), di sini pada Khamis.

    Saifuddin berkata, sumbangan menerusi Tabung Bantuan Bencana Negara di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu mencerminkan sokongan padu Malaysia terhadap kerajaan dan rakyat Palestin.

    “Serangan yang tidak henti-henti oleh Israel telah musnahkan infrastruktur awam di Gaza, termasuk kemudahan yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kritikal kepada rakyat Palestin di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19,” katanya di majlis menandatangani EoN itu.

    Walid Abu Ali menunjukkan gambar Klinik Al-Remal yang mengalami kerosakan akibat serangan udara rejim Zionis Israel Mel lalui dalam sidang media bersama Saifuddin Abdullah di Putrajaya, hari ini. – Gambar: Facebook Saifuddin Abdullah

    Saifuddin berkata, kerajaan Malaysia juga telah memutuskan untuk memberikan sumbangan jangka panjang kepada Agensi Bantuan dan Pekerjaan untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA), sebagai menyokong usaha agensi itu membantu rakyat Palestin.

    Beliau berkata, sebagai tambahan kepada sumbangan kewangan kepada UNRWA sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan US$1 juta yang akan dibayar sebanyak US$ 200,000 setiap tahun dari 2021 hingga 2025.

    “Sumbangan kerajaan itu sebagai pelengkap kepada usaha kemanusiaan dan bantuan dari Malaysia, termasuk yang dilakukan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan,” katanya.

    Selain bantuan kewangan, Saifuddin berkata, Malaysia juga sedang mencari kaedah lain untuk membantu rakyat Palestin dari segi pendidikan dan pekerjaan.

    “Terdapat ramai penuntut Palestin di Malaysia, ada dapat biasiswa dan ada tidak. Kami mahu bincang perkara ini dengan pihak berkaitan untuk lihat bagaimana kita boleh bantu pelajar Palestin di Malaysia dan menarik lebih ramai datang belajar di sini dengan bantuan kewangan.

    “Mengenai pekerjaan pula, rakyat Palestin yang tinggal di sini hanya guna kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian ) dan kami akan pastikan mereka tidak dieksploitasi,” katanya.

    Sementara itu, Walid berkata, Klinik Al-Rimal sangat penting kepada penduduk Palestin kerana ia juga digunakan sebagai ibu pejabat Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza. Klinik itu mengalami kerosakan akibat serangan Israel selama 11 hari pada Mei.

    “Malaysia adalah antara negara yang menghulurkan bantuan kewangan segera kepada Palestin. Kami amat hargai bantuan diberikan Malaysia untuk membina semula apa yang telah rosak akibat serangan udara Israel,” katanya.

    Walid berkata, beliau turut menzahirkan penghargaannya kepada Malaysia yang senantiasa menyokong perjuangan Palestin sejak lebih tujuh dekad. – BERNAMA

  • 59.2 peratus populasi M’sia lengkap dua dos vaksin Covid-19

    59.2 peratus populasi M’sia lengkap dua dos vaksin Covid-19

    SEBANYAK 19,336,889 orang atau 59.2 peratus daripada populasi Malaysia telah lengkap dos kedua atau dos tunggal vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Mengikut data dari portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, sebanyak 22,599,346 orang atau 69.2 peratus dari populasi negara telah menerima sekurang-kurangnya satu daripada dua dos vaksin atau dos tunggal vaksin Covid-19.

    Katanya, bagi populasi dewasa pula, sebanyak 82.5 peratus telah lengkap dos kedua atau dos tunggal vaksin manakala 93.6 peratus lagi menerima satu dos atau dos tunggal vaksin Covid-19.

    “Selain itu, sebanyak 22.1 peratus remaja telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 0.8 peratus lagi lengkap divaksin.

    “Secara keseluruhan, sebanyak 41,847,256 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam,” katanya, hari ini.

    Dalam pada itu, KKM berkata, untuk vaksinasi harian sebanyak 273,373 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, daripada jumlah itu, sebanyak 116,881 dos pertama diberikan manakala 156,492 lagi melibatkan dos kedua.

  • 18.7 juta populasi Malaysia lengkap divaksin

    18.7 juta populasi Malaysia lengkap divaksin

    SERAMAI 18,786,636 orang atau 57.5 peratus daripada populasi Malaysia telah lengkap divaksinasi sama ada dengan dua dos atau dos tunggal vaksin Covid-19 setakat semalam.

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi hantaran Facebook berkata, bagi dos pertama atau dos tunggal vaksin, sebanyak 22,223,652 atau 68.1 peratus daripada populasi negara telah menerima vaksin berkenaan.

    Menurutnya, mengikut peratusan bagi populasi dewasa pula, sebanyak 93.2 peratus penerima telah mendapat dos pertama manakala 80.2 peratus penerima lengkap divaksinasi.

    “Secara keseluruhan, sebanyak 40,925,929 dos vaksin Covid-19 telah diberikan kepada populasi di negara ini menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb sehingga semalam,” katanya hari ini.

    Dalam pada itu, JKJAV berkata, untuk vaksinasi harian sebanyak 261,255 dos vaksin Covid-19 diberikan setakat semalam.

    Tambahnya, sebanyak 123,414 dos pertama diberikan manakala 137,841 lagi melibatkan dos kedua.

  • Malaysia suara kegusaran penubuhan AUKUS

    Malaysia suara kegusaran penubuhan AUKUS

    MALAYSIA menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat dikenali sebagai AUKUS yang bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

    Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan hari ini berkata pendirian berkenaan dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengambil maklum mengenai perkara tersebut.

    Pada masa sama, langkah berkenaan dilihat akan memprovokasi kuasa-kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

    “Sebagai sebuah negara dalam ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN),” menurut kenyataan itu.

    Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan Ismail Sabri telah menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Australia Scott Morrison semalam yang memaklumkan dan memberikan penjelasan kepada Malaysia mengenai penubuhan kerjasama tiga hala AUKUS, yang bertujuan untuk membantu Australia memperoleh kapal selam berkuasa nuklear.

    Perdana Menteri turut menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan negara termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

    Kedua-dua pemimpin, menurut kenyataan itu turut mencapai kata sepakat dalam memperbaharui komitmen bersama bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa khususnya di rantau Indo-Pasifik.

    “Perdana Menteri Malaysia menggesa semua pihak agar mengelakkan sebarang provokasi serta persaingan senjata di rantau ini selain menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada.

    “Malaysia dan Australia bersetuju memperkukuhkan kerjasama dan konsultasi dalam pelbagai aspek termasuk dalam bidang pertahanan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif,” menurut Pejabat Perdana Menteri.– BERNAMA

  • Malaysia dijangka capai 80 peratus sasaran vaksinasi populasi dewasa Isnin ini

    Malaysia dijangka capai 80 peratus sasaran vaksinasi populasi dewasa Isnin ini

    MALAYSIA semakin menghampiri sasaran vaksinasi 80% yang ditetapkan untuk populasi dewasa lebih awal daripada dijadualkan ketika hampir 18.13 juta atau 77.5% individu dalam kumpulan itu sudah menerima vaksin lengkap, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

    Menurut data dikeluarkan KKM di laman web Covidnow, sebanyak 238,002 dos vaksin diberikan semalam di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dengan 75,986 orang menerima suntikan pertama dan 162,016 mendapat suntikan kedua.

    Ia menjadikan jumlah dos vaksin diberikan di bawah program ini kepada 39,923,416.

    PICK diperkenalkan dan dilaksanakan semasa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.

    Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan menjangkakan 80% populasi dewasa akan diberi vaksin pada akhir Oktober dan ketika itu Covid-19 akan menjadi endemik.

    Namun, menurut unjuran CovidNow dijangka 80% kadar vaksinasi populasi dewasa dapat dicapai dalam masa tiga hari, iaitu 21 September – hampir sebulan lebih awal daripada dijadualkan, sementara kadar vaksinasi 100% bakal dicapai pada 7 November.

    Lembah Klang, yang merangkumi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, mendahului kadar vaksinasi dengan 105.6% populasi dewasa sudah lengkap divaksinasi.

    Peratusannya melebihi 100% kerana statistik populasi dari Jabatan Perangkaan tidak mengambil kira perubahan ukuran penduduk sejak bancian terakhir dan penduduk tiada dokumen.

    Sabah mempunyai peratusan orang dewasa yang divaksinasi lengkap terendah iaitu 53.7%. Bagaimanapun, angka itu menunjukkan peningkatan setiap hari.

    Secara keseluruhan, 66.9% populasi, termasuk remaja berusia 12-17 tahun, mempunyai sekurang-kurangnya satu dos dan 55.5% diberi vaksin penuh. – 18 September, 2021.

  • Malaysia sumbang peralatan perubatan bantu Indonesia perangi Covid-19

    Malaysia sumbang peralatan perubatan bantu Indonesia perangi Covid-19

    MALAYSIA hari ini menyerahkan sumbangan peralatan dan bekalan perubatan kepada Indonesia bagi membantu republik itu memerangi pandemik COVID-19.

    Sumbangan itu diserahkan oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah kepada Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dekat sini.

    Saifuddin berkata bantuan itu mencerminkan hubungan baik dan kukuh di antara kedua-dua negara, dan sebagai jiran terdekat, Malaysia dan Indonesia akan terus bekerjasama erat dalam memerangi pandemik COVID-19.

    “Walaupun Malaysia sendiri masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19 serta kekangan-kekangan yang datang dengannya, namun ia tidak menghalang kita untuk membantu mengikut kemampuan kita.

    “Di samping usaha-usaha domestik kita untuk menangani wabak COVID-19, kita juga perlu melihat kepada situasi dan kebajikan mereka yang berada di sekeliling kita, termasuk juga jiran-jiran tetangga kita,” katanya pada majlis penyerahan itu. 

    Sumbangan yang dihulurkan Malaysia kepada Indonesia yang berupa tangki ISO mengandungi oksigen cecair, pemekat oskigen, ubat-ubatan terapeutik serta barangan perubatan pakai buang, akan dihantar menggunakan pesawat TUDM. 

    Sumbangan hari ini merupakan kumpulan pertama dalam beberapa peringkat penghantaran bantuan kepada Indonesia yang dijangka selesai hujung bulan ini, katanya.

    Sementara itu, Hermono berkata kerajaan dan rakyat Indonesia amat menghargai bantuan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia. 

    “Sumbangan ini amat bermakna untuk kami. Meskipun Malaysia pada saat ini sedang berjuang melawan COVID-19, tapi ia masih fikirkan saudara-saudara di Indonesia dalam membantu untuk sama-sama melawan pandemik ini,” katanya. 

    Turut hadir Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang. – BERNAMA