NEGARA memerlukan calon perdana menteri kuat dan bukan “boneka” yang lemah, selain mudah tunduk kepada tekanan, kata calon Barisan Nasional (BN) di Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Katanya, pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), rakyat perlu memilih parti menampilkan calon berkebolehan untuk bekerja selepas diberi mandat menjadi pemimpin dalam memulihkan semula negara selepas serangan Covid-19.
“Calon PM perlu memiliki kekuatannya tersendiri dan bukan seorang boneka yang begitu lemah, tidak memiliki kekuatan jati diri dan mudah tunduk kepada tekanan.
“Jadi, kita nak kepada orang bukan nak isi jawatan tetapi mestilah berkelayakan dan boleh bekerja. Kena kerja, kalaulah kerja satu hari 12 jam, jadi sekarang kita nak orang yang bekerja 20 jam,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, untuk menubuhkan sebuah kerajaan cekap dan stabil, pengundi perlu membuat pilihan bijak dengan memilih calon terbaik.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berulang kali menyebut calon perdana menteri daripada BN adalah naib presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) dalam kempen politiknya mendakwa Ismail bukan calon sebenar, bahkan jawatan itu turut diintai Zahid.
Menamakan seorang naib presiden dalam tradisi Umno sebagai perdana menteri tidak pernah dilakukan sebelum ini kerana jawatan itu sentiasa diisi presiden Umno selaku pengerusi BN, ketika gabungan itu memerintah kerajaan.
JABATAN Perangkaan Malaysia (DOSM) merekodkan 2.1 juta warga asing yang bekerja dalam pelbagai bidang, berada di Malaysia setakat Jun tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata sejumlah 1.9 juta direkodkan DOSM pada tahun lalu, manakala 2.1 juta pula direkodkan pada 2020.
“Kita tidak nafikan negara masih memerlukan pekerja warga asing dalam beberapa sektor antaranya pembinaan, perladangan, pembuatan dan domestik. Kita masih memerlukan kira-kira 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja dan sekarang ini menghampiri angka tersebut.
“Bagaimanapun, kita perlu pastikan rakyat tempatan lebih ramai berminat dalam kerja-kerja perladangan atau pembinaan umpamanya, dengan menyediakan pelbagai kemudahan yang lebih baik bagi menarik minat mereka seterusnya dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja warga asing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Statistik 2022 sempena sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2022 dan Sedekad Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM), yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata DOSM mengeluarkan lebih 500 jenis statistik perangkaan setahun, dalam membantu negara mengurus tadbir di semua petingkat terutamanya dalam bidang ekonomi dan sosio ekonomi.
Beliau berkata statistik perangkaan itu digunakan pelbagai pihak seperti jabatan dan agensi kerajaan, Bank Negara Malaysia, para pelabur serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dalam membuat perancangan masing-masing.
“Jadi, saya berharap lebih 3,000 kakitangan DOSM lebih bermotivasi dan berintegriti dalam menjalankan tugas mereka, bagi memastikan statistik yang dikeluarkan adalah tepat dan mengikut masa yang telah ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapa berkata Sambutan HSN yang disambut kali keenam penganjurannya bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat supaya dapat merasai betapa pentingnya statistik sebagai ukuran penentuan hidup yang lebih baik dan sempurna.
Pelbagai program diadakan sepanjang karnival yang bermula hari ini sehingga Sabtu antaranya pelbagai pameran dan jualan diadakan serta Forum Perdana Ehwal Islam Diraja yang mana Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat untuk bersama-sama dengan masysrakat setempat pada malam ini. – BERNAMA
Mustapa Mohamed, warga asing, DOSM, statistik, ILSM, Karnival Statistik
KEMENTERIAN Dalam Negeri dan Keselamatan Palestin merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia yang telah menyelamatkan seorang warga Palestin yang diculik di Malaysia baru-baru ini.
Kementerian itu dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa turut mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia dan pihak keselamatan yang terlibat dalam usaha menyelamat itu.
Ucapan penghargaan Palestin kepada pihak berkuasa Malaysia
Media tempatan melaporkan pihak polis berjaya menyelamatkan seorang mangsa berusia 31 tahun sehari selepas diculik sekumpulan rakyat tempatan yang dipercayai direkrut agensi perisikan Israel, Mossad bagi membantu rejim itu memburu anggota Hamas di Malaysia.
“Selain itu, mereka (polis Malaysia) dapat mendedahkan operasi anggota Mossad dan memburu serta menjejaki rangkaiannya.
“Kami mengecam jenayah terang-terangan yang dilakukan Israel terhadap seorang daripada rakyat Palestin di Malaysia dan kami menyeru agar pelakunya dikenakan hukuman,” menurut kenyataan itu.
Mangsa berjaya diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka dari 29 Sept hingga 4 Okt lalu.
Seramai 11 individu berusia 21 hingga 40 tahun didakwa di Mahkamah Majistret pada 14 Okt berhubung penculikan itu.
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Mayang di sini, pada 10.40 malam, 28 Sept lepas mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat jika sabit kesalahan. – BERNAMA
AMERIKA Syarikat (AS) mengekstradisi seorang rakyat Malaysia, Teo Boon Ching yang didakwa terlibat dalam kegiatan penyeludupan hidupan liar dan pengubahan wang haram.
Teo (bergelar Datuk Seri) 57, didakwa terlibat dengan konspirasi menyeludup lebih 70 kilogram tanduk badak sumbu bernilai lebih US$725,000, menurut kenyataan Jabatan Kehakiman AS.
“Teo didakwa atas satu pertuduhan bersubahat melakukan penyeludupan hidupan liar yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan dua pertuduhan pengubahan wang haram yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun.
“Teo telah ditahan di Thailand pada 29 Jun atas permintaan AS menurut perjanjian ekstradisi dua hala,” menurut kenyataan itu.
Dia diekstradisi ke AS pada Jumaat (7 Okt) untuk didakwa.
Terdahulu, pada Jumaat Teo dan entitinya telah dikenakan sekatan oleh Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) Jabatan Perbendaharaan AS.
Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa Teo ialah peneraju perusahaan jenayah transnasional yang berpangkalan di Asia serta menjalankan operasi penyeludupan tanduk badak sumbu berskala besar di Malaysia dan Thailand.
“Ching (Teo) bertindak sebagai penyeludup khusus yang mengangkut tanduk badak sumbu dari pusat operasi pemburuan badak sumbu dari Afrika kepada pelanggan terutamanya di Asia.
“Dia juga mendakwa boleh membuat penghantaran tanduk badak sumbu ke AS,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA
PERJANJIAN Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang diratifikasi Malaysia pada Jumaat lalu dianggap selesai dan akan mula berkuatkuasa pada 29 November ini.
Lapor Harian Metro, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia adalah negara kesembilan yang meratifikasi perjanjian berkenaan.
“Hasil Kajian Analisis Kos-Faedah (CBA) menunjukkan bahawa manfaat yang bakal dinikmati Malaysia menerusi penguatkuasaan CPTPP jelas mengatasi sebarang kos yang mungkin timbul.
“Segala pindaan undang-undang berkaitan dengan Perjanjian CPTPP sudah selesai,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai status penyertaan Malaysia untuk CPTPP dan kemajuan untuk perjanjian perdagangan bebas lain.
Mengenai perdagangan bebas lain, Mohamed Azmin memaklumkan, Malaysia dan Turkiye memeterai Protokol Perluasan Skop bagi perjanjian perdagangan bebas (FTA) pada 29 September lalu, merangkumi tiga bab baharu, iaitu Perdagangan Sektor Perkhidmatan, Pelaburan dan e-Dagang.
Selain itu, pada Julai lalu, Malaysia dan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju untuk mengadakan satu mesyuarat ‘stocktaking’ pada pertengahan bulan ini bagi menentukan hala tuju rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) yang tertangguh sejak 2012, berikutan kegagalan kedua-dua pihak untuk mencapai kesepakatan bagi isu sensitif.
“Malaysia juga terbabit secara aktif dalam rundingan menaik taraf FTA serantau sedia ada bagi Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN atau ASEAN Trade in Goods Agreement (ATIGA).
“Nilai tambah yang dirunding dalam perjanjian ini dijangka akan memberi manfaat tambahan kepada komuniti perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Proses naik taraf ini juga bertujuan memastikan perjanjian ini kekal relevan dan mampu menangani cabaran persekitaran ekonomi global yang tidak menentu,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH- Bagan) mengenai sejauh mana CPTPP akan dilaksanakan kerana ia akan memerlukan mandat kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang semakin hampir, Mohamed Azmin berkata, beliau yakin kerajaan yang dibentuk kelak akan bertanggungjawab kepada negara dan rakyat.
“Saya yakin kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU ini adalah kerajaan PN, jadi kita teruskan usaha ini,” katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN).
Katanya, walaupun indikator ekonomi semakin baik, namun ia masih memerlukan sedikit masa supaya proses pemulihan benar-benar memberi kesan positif kepada rakyat.
“Disebabkan itu, saya minta supaya usaha membubarkan Parlimen ini tidak dijalankan sekarang.
“Bagaimanapun, jika pilihan raya diadakan dan Parlimen dibubarkan, saya percaya ini adalah perjanjian yang memberikan manfaat kepada negara dan rakyat,” katanya.
SERAMAI 261 orang mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja warganegara Malaysia telah berjaya diselamatkan sehingga kini.
Menurut kenyataan Kementerian Luar pada Sabtu, jumlah terbaharu itu melibatkan 171 orang mangsa yang telah dibawa balik ke Malaysia dan baki seramai 90 orang masih menunggu proses penghantaran pulang.
Penerbangan AirAsia AK535 pada 30 Sept adalah penerbangan terkini yang membawa pulang 13 lagi mangsa.
Pihak Kementerian Luar dan Perwakilan Malaysia di negara-negara yang terlibat terus komited dalam menjalinkan hubungan kerjasama erat dengan Kerajaan negara-negara yang berkenaan bagi menggiatkan usaha mengesan, menyelamat dan membawa pulang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket ini ke tanah air dengan selamat.
“Orang ramai sentiasa dinasihatkan supaya segera membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Luar sekiranya ada di antara ahli keluarga mereka menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
“Kementerian Luar sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara,” tambah kenyataan itu.
Untuk menangani isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara secara lebih bersepadu dan menyeluruh, mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah telah berlangsung secara dalam talian pada 27 Sept
Mesyuarat turut dianggotai oleh sembilan Kementerian atau Agensi lain iaitu Jabatan Perdana Menteri (JPM); Jabatan Peguam Negara (AGC); Kementerian Dalam Negeri (KDN); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM); Kementerian Sumber Manusia (KSM); Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Antara cadangan, tindakan yang telah dan akan dilaksanakan Mesyuarat Jawatankuasa Khas ini adalah, antaranya mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Perwakilan negara-negara yang terlibat pada 30 Sept.
Ketua-ketua Perwakilan asing yang berkenaan telah menyatakan komitmen Kerajaan masing-masing untuk memberikan kerjasama erat dalam menangani isu ini.
Ketua-ketua Perwakilan Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand juga telah diminta untuk terus berusaha menyelesaikan isu ini secara cepat dan tuntas.
Kementerian Luar bersama-sama PDRM juga kini menyelaraskan usaha bagi membolehkan kerjasama yang lebih erat di antara PDRM dengan pihak berkuasa negara-negara yang berkenaan melalui pertemuan khusus bagi menangani isu ini.
Kementerian Luar juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak K-KOM untuk menyediakan Pelan Komunikasi yang lebih komprehensif dalam memberikan pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai serta golongan sasaran supaya tidak mudah terpedaya dan terjebak dalam sindiket ini.- BERNAMA
MALAYSIA hari ini meminta kuasa veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dihapuskan selaras dengan prinsip satu negara satu undi.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya.
Segak memakai baju Melayu hitam dan berucap menyampaikan Kenyataan Negara dalam Bahasa Melayu di Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-77 di sini pada Jumaat, Ismail Sabri berkata konflik dan krisis yang berlaku di dunia seperti di Ukraine, Palestin dan Myanmar, tidak dapat diselesaikan kerana kepincangan sistem tadbir urus global dan PBB.
Menurut beliau, masalah yang paling besar di PBB adalah Majlis Keselamatan, yang menyaksikan kuasa veto sering kali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya.
“Ia tidak demokratik dan melanggar prinsip asas demokrasi. Ini menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap Majlis tersebut,” katanya pada penampilan kali kedua di UNGA, perhimpunan agung tahunan yang dihadiri lebih 150 pemimpin dunia.
Perdana Menteri berkata konflik akan hanya mengakibatkan kesan negatif kepada seluruh dunia dan memberi contoh pelbagai masalah yang wujud sekarang, antaranya kekurangan zat dan sumber makanan.
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata semua negara perlu memberi penekanan kepada isu sekuriti makanan bagi menjamin sumber makanan yang mencukupi untuk semua.
Beliau berkata tema sesi kali ini iaitu “Suatu Detik Perubahan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait” amat bersesuaian dengan situasi yang sedang dilalui dunia.
“Keamanan dan kestabilan adalah penting dalam mengharungi setiap cabaran besar masa kini, baik krisis perubahan iklim, kemiskinan global mahupun kesan pandemik berterusan.
“Sehebat manapun perancangan kita, ia tidak akan bertahan daripada kemusnahan dan pembaziran yang disusuli dengan peperangan moden. Inilah kebenaran yang tidak seharusnya kita lupa,” kata beliau. dalam ucapan selama 20 minit itu.
Dalam ucapan selama 20 minit itu, Perdana Menteri berkata apabila komitmen yang tinggi serta ikrar untuk bekerjasama disuarakan pada Perhimpunan Agung lepas, ia memberikan harapan kepada dunia.
“Banyak kenyataan telah dikeluarkan, yang memberi harapan termasuk kepada saya bahawa semangat sebuah Keluarga Dunia berupaya mengetepikan perbezaan yang wujud dalam kalangan kita,” katanya.
Malaysia, kata beliau, tidak bersetuju dengan tindakan pengasingan sesebuah negara daripada pertubuhan-pertubuhan antarabangsa kerana ia bertentangan dengan prinsip multilateralisme dan menghalang dialog yang tidak membantu orang awam.
Sementara itu, situasi di Ukraine, kata beliau, membuktikan peperangan menelan kos yang tinggi.
“Ini dibuktikan dengan situasi yang dialami oleh Ukraine. Kesannya bukan sahaja dideritai oleh rakyat dan negara itu, malah turut dirasai dunia. Konflik ini telah mengancam keamanan, keselamatan global, ekonomi dan menggugat sekuriti makanan,” kata beliau.
Sambil mengalu-alukan perwujudan koridor laluan laut yang membolehkan penghantaran bijirin dari Ukraine, Ismail Sabri mengulangi gesaan agar semua negara, terutamanya kuasa-kuasa besar, supaya mengelak dari mewujudkan blok pengasingan yang akan hanya mendorong dunia ke kancah Perang Dingin.
Pada sesi ke-76 tahun lepas, Perdana Menteri menyampaikan ucapan secara maya berikutan pandemik COVID-19.- BERNAMA
MALAYSIA berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai kanabis terutama dalam aspek aplikasi berasaskan penyelidikan dan produk farmaseutikal untuk kegunaan perubatan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau juga berharap Malaysia dan Thailand akan terus saling bertukar pengetahuan teknikal dan penyelidikan klinikal untuk memastikan keselamatan serta keberkesanan produk kanabis dalam perubatan.
“Pegawai kami (Malaysia dan Thailand) masih meneruskan pertukaran maklumat teknikal supaya kami lebih memahami bukti klinikal penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan serta kerangka kerja pengawalseliaan baharu,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatannya Anutin Charnvirakul, di sini, Selasa.
Khairy sedang mengadakan lawatan kerja empat hari atas undangan Anutin, yang juga Timbalan Perdana Menteri Thailand.
Terdahulu, Khairy melawat Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) dan diberi taklimat mengenai dasar perubatan kanabis di Thailand, termasuk amalan, kaedah penanaman dan penyelidikan serta penggunaan kanabis dan ketum untuk tujuan kesihatan.
Pada 9 Jun, Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk perubatan.
Khairy berkata beliau dan Anutin turut berbincang mengenai potensi dan peluang Thailand membekalkan Malaysia produk kanabis melalui GPO untuk tujuan penyelidikan klinikal bagi keselamatan dan keberkesanan penggunaan produk kanabis.
“Saya turut meminta Anutin untuk mengkaji kemungkinan Malaysia membekalkan Thailand dengan daun dan pokok ketum mentah,” katanya.
Khairy turut mengucapkan terima kasih kepada Anutin yang telah mempelawa untuk mengetahui potensi penggunaan kanabis dan ketum serta kerangka kerja undang-undang untuk kegunaan perubatan.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Anutin dan Kementerian Kesihatan Awam Thailand yang telah berjaya mengubah kanabis menjadi sesuatu yang membawa manfaat kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat Thailand,” katanya.
Beliau berkata penanaman kanabis menawarkan sumber pendapatan baharu untuk petani dan orang ramai.
Apabila ditanya sama ada Malaysia bercadang untuk membenarkan penggunaanya untuk tujuan perubatan, Khairy berkata “jika terdapat bukti klinikal yang membolehkannya”.
“Antara ilmu penting yang diperoleh daripada pengalaman di Thailand ialah mengenai data klinikal dan data yang dikumpul sejak penggunaan kanabis untuk perubatan.
“Sekiranya kami berpuas hati dengan data itu, pasti akan mempengaruhi kami untuk membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan,” katanya.
Beliau berkata langkah Thailand dalam menerajui usaha membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk tujuan perubatan ialah contoh yang baik di rantau ASEAN dengan negara anggota lain boleh menggunakan data yang ada bagi merangka dasar.
Sementara itu, Anutin berkata beliau berharap dapat berkongsi pengalaman Thailand dalam perubatan kanabis dengan Khairy dan Malaysia.
Anutin juga berbesar hati untuk berkongsi pengalamannya tentang proses membenarkan kanabis dalam perubatan.
Terdahulu, Khairy melawat Hospital Antarabangsa Bumrungrad, antara hospital swasta terbesar di Asia Tenggara, untuk mempelajari amalan terbaik dalam pelancongan perubatan. – BERNAMA
KELEWATAN pembinaan enam buah kapal tempur pesisir (LCS) yang masih belum siap hingga sekarang menunjukkan Malaysia tidak berada dalam kesiapsiagaan dari segi keselamatan maritim.
Ahmad Hassan
Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, kelewatan pembinaan kesemua kapal bernilai bernilai RM9 bilion itu adalah perkara malang bagi negara.
Ahmad yang juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mahu kerajaan Malaysia mencontohi negara-negara lain yang sudah mula mengukuhkan aspek ketenteraan termasuk keselamatan di perairan sempadan masing-masing.
Malaysia katanya, wajar melakukan tindakan sama dengan mempertingkat dan menaiktaraf aset ketenteraan khususnya aset Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM).
“Ini (kelewatan) menunjukkan negara kita tidak berada dalam kesiapsiagaan dari segi keselamatan maritim dengan kontroversi melibatkan aset ketenteraan kita (LCS) yang amat penting itu.
“Jika Malaysia terus kelihatan lemah dalam menjaga kedaulatan di sempadan perairan, kita bakal berhadapan banyak kerugian khususnya kepentingan dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) iaitu sektor perikanan.
“Sabah dan Sarawak dilihat sebagai pihak paling rugi dalam isu ini dan akan berterusan menjadi wilayah yang ketinggalan dalam pembangunan ekonomi,” katanya katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad menegaskan, Malaysia perlu mengukuhkan aspek keselamatan di perairan sempadan Sabah dan Sarawak khususnya melibatkan pertahanan ketenteraan strategik.
Katanya, ia bagi memastikan negara ini berada dalam situasi mampu bertahan jika berlaku sebarang konflik di Laut China Selatan.
Menurutnya, siri pencerobohan di perairan Sabah dan Sarawak oleh pihak berkuasa dan ketenteraan China kebelakangan ini membuktikan kedaulatan Malaysia tidak dihormati.
“Keselamatan kita di Laut China Selatan melibatkan perairan Sabah dan Sarawak kerap dicerobohi sesuka hati oleh China walaupun pelbagai usaha telah diambil Malaysia sama ada melalui rundingan mahu pun diplomatik.
“Namun, saya lihat usaha ini tidak cukup kerana masih tidak diendahkan China, jadi kita harus lebih tegas dalam isu ini kerana ia melibatkan kedaulatan serta keselamatan rakyat khususnya di kedua-dua wilayah ini (Sabah dan Sarawak),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Ahmad, situasi sama turut dialami negara Asean lain yang menunjukkan China tidak teragak-agak mengerahkan tenteranya bertindak terhadap negara lain sekiranya merasakan hak wilayah mereka terancam.
“Sudah tiba masanya Malaysia mengambil tindakan segera dengan mengukuhkan aspek ketenteraan di sempadan perairan kita sebelum Laut China Selatan menjadi medan perang dunia ketiga.”
China tambah Ahmad, tanpa segan silu mengukuhkan kehadiran mereka di Laut China Selatan dengan mendirikan kemudahan ketenteraan di atas pulau-pulau yang masih dalam pertikaian.
Malah China juga katanya, baru-baru ini menambah peruntukan ketenteraan mereka untuk kawasan itu yang sekaligus menimbulkan ketegangan di rantau Asean.
Menurutnya lagi, Filipina baru-baru ini buat pertama kalinya telah diberi amaran langsung oleh China apabila menjalankan aktiviti yang disifatkan sebagai provokasi ketenteraan walaupun di dalam kawasan perairan sendiri.
“Lihat apa berlaku di Taiwan ketika ini apabila tentera China melakukan latihan secara besar-besaran di sekitar perairan Taiwan sebagai bantahan susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi ke pulau itu, baru-baru ini.
“Jika berlaku konflik di Laut China Selatan, tentunya Sabah dan Sarawak akan menjadi barisan hadapan sekiranya Malaysia terus lemah dan tidak bertegas dalam menjaga kedaulatan serta keselamatan perairan kita,” tegasnya.
Sementara itu, Ahmad turut mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan yang didakwa hanya menumpukan keberadaan ketiga-tiga aset tentera di sempadan perairan Sarawak, tetapi tidak di Sabah.
Tindakan sama katanya harus dilaksanakan di Sabah yang turut berhadapan ancaman maritim malah kawasannya lebih meluas kerana berdekatan dengan negara jiran Filipina.
“Kenapa Sabah dianaktirikan dan kenapa Menteri Pertahanan hanya berjanji kepada Premier Sarawak untuk tingkat keberadaan tentera tetapi tidak kepada Ketua Menteri Sabah? atau kerana Sabah tidak sepenting Sarawak?.
“Atau keselamatan rakyat di Sabah tidak penting hingga tidak perlu tingkatkan keberadaan tentera di negeri ini sedangkan semua maklum sempadan perairan Sabah bukan saja berhadapan ancaman China tetapi juga isu tuntutan Sulu.
“Kementerian Pertahanan dan kerajaan persekutuan harus bertindak adil tanpa terus bersikap berat sebelah terhadap kepentingan rakyat Sabah kerana kami juga sebahagian daripada Malaysia,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ahmad turut meminta Malaysia supaya mengambil peluang kesediaan China yang baru-baru ini mahu bekerjasama dengan negara-negara Asean bagi menyelesaikan pertikaian kawasan di Laut China Selatan.
Malaysia katanya, harus bersuara lantang bagi memastikan rundingan itu tidak berat sebelah atau memihak China dan pada masa sama menunjukkan Malaysia adalah negara Asean yang kuat.
“China mesti melihat Malaysia sebagai sebuah negara Asean yang kuat serta tidak akan mengambil mudah terhadap tuntutan mereka di Laut China Selatan dan kekal tegas bahawa wilayah kita mesti kekal berdaulat.
“Sebarang tindakan mengganggu-gugat keselamatan perairan negara tidak akan diterima begitu sahaja, jika China mahu kekal mesra dengan negara-negara Asean yang lain, mereka harus setuju dengan syarat-syarat yang kita ada.
“China mesti hormat kedaulatan kita sebagaimana kita hormati kedaulatan wilayah mereka dan sebarang senario yang boleh mengakibatkan perang di rantau ini tidak akan beri manfaat kepada kita atau mana-mana negara Asean lain,” katanya.
Malaysia juga jelas beliau, perlu berdiri teguh bersama negara Asean lain untuk mempertahankan kedaulatan negara agar tidak mengalami nasib sama seperti Ukraine yang diceroboh Rusia sebagai sekutu kuat China.
Tindakan Rusia yang mendapat sokongan langsung China itu memberi bayangan bahawa mereka cenderung mengambil tindakan sama sekiranya menghadapi senario serupa di rantau Asean ini.
“Justeru, aspek keselamatan perairan kita harus diperkukuhkan termasuk meningkatkan aset ketenteraan bagi memastikan Malaysia tidak kelihatan lemah pada persepsi negara lain,” kata Ahmad.
MALAYSIA mencatat lebih 20,000 kes jenayah siber yang menyebabkan kerugian sebanyak RM560 juta pada tahun lepas, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Beliau berkata kes yang direkodkan itu antara lain membabitkan buli siber, pemalsuan, pencerobohan, memancing data dan penipuan e-mel yang dilihat semakin meningkat saban tahun.
Katanya untuk rekod kira-kira 13,000 kes jenayah siber dengan kerugian RM539 juta dicatatkan pada 2019, namun tidak memberikan angka untuk 2020.
“Menjelang 2025, ekonomi digital dijangka menyumbang kira-kira 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Oleh itu dalam usaha membangunkan diri sebagai sebuah negara yang dipacu ekonomi digital, kita perlu mengenal pasti ancaman yang berpotensi mendatangkan gangguan kepada sasaran penting dan sektor ekonomi secara amnya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Sasaran Penting Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di sini mewakili Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Sasaran penting merujuk kepada pemasangan yang hasil keluaran atau perkhidmatannya sangat penting dan sekiranya musnah atau rosak akan menyebabkan kerugian amat besar kepada ekonomi serta pertahanan negara atau menjejaskan fungsi kerajaan dan imej negara.
Abdul Halim berkata keperluan untuk memperoleh ruang siber yang selamat dan terjamin pada hari ini amat penting untuk meningkatkan agenda keselamatan siber bagi kepentingan sasaran penting di negara ini.
“Adalah penting bagi pemilik atau penghuni sasaran penting untuk sentiasa memberi tumpuan dan perhatian agar keselamatan maklumat sentiasa terjaga selain diberi kawalan keselamatan sewajarnya agar tidak berlaku sebarang kebocoran maklumat lebih-lebih dari dalam instalasi itu sendiri,” katanya.
Menurutnya keselamatan siber yang kukuh juga penting ketika Malaysia menuju Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) kerana era itu bergantung sepenuhnya kepada teknologi digital dan sebarang isu melibatkan keselamatannya bakal memberi kesan terhadap kerajaan, ekonomi, sosial dan masyarakat.
“Ketika kita bergerak ke hadapan serta hidup dengan teknologi dengan bandar pintar sedang dibina dan misi data kritikal dihantar ke pangkalan data menggunakan internet, isu keselamatan siber perlu diletakkan di barisan hadapan di keseluruhan ekosistem digital,” katanya.- BERNAMA