Tag: makmal proses dadah

  • Pasangan suami isteri dalang makmal proses heroin

    Pasangan suami isteri dalang makmal proses heroin

    SEPASANG suami isteri yang menjadi dalang memproses serta mengedar dadah jenis heroin ditahan polis dalam dua serbuan di Gelugor dan Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Selasa lalu.

    Dalam serbuan itu, polis turut membongkar makmal memproses heroin yang didalangi pasangan suami isteri berkenaan di sebuah rumah kampung yang disewa suspek di Kampung Bukit, Bayan Lepas.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam operasi itu polis turut merampas heroin seberat 4,530 gram; pil yaba (309.54 gram); kafein (14,880 gram) dan peralatan memproses dadah dianggarkan bernilai RM81,330.

    Menurut beliau, pasangan suami isteri warga tempatan dan warga asing berusia 43 dan 30 tahun itu di tepi jalan di Gelugor pukul 8.30 malam.

    Ketika ditahan katanya, polis menjumpai empat peket plastik berisi dadah seberat 1,810 gram bernilai RM24,250 bersama suspek.

    “Hasil soal siasat kemudiannya membongkar makmal memproses dadah di rumah yang disewa suspek yang mana pelbagai jenis dadah, bahan kimia dan peralatan untuk menghasilkan heroin dijumpai di rumah berkenaan.

    “Makmal itu sudah beroperasi sejak Januari lalu dan suspem juga disyaki menambah pil yaba di dalam heroin yang diproses ini untuk meningkatkan kekuatan heroin yang dihasilkan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya hari ini.

    Tambahnya, siasatan mendapati sindiket itu memasarkan heroin yang dihasilkan untuk pasaran tempatan dan pihaknya masih menyiasat bagaimana mereka boleh menghasilkan dadah tersebut.

    Ujar beliau, ujian awal air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau manakala isterinya negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah.

    “Kedua-dua tangkapan ditahan reman enam hari dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada formula dadah serta bahan mentah bagi menghasilkan heroin itu diperoleh daripada sindiket lain,” katanya.

    Tambah beliau, dalam operasi sama polis turut menyita sebuah kenderaan menjadikan nilai rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah RM108,330.

  • Polis bongkar makmal proses dadah, tahan tujuh lelaki

    Polis bongkar makmal proses dadah, tahan tujuh lelaki

    POLIS membongkar makmal memproses dadah di sebuah kondominium mewah di Bukit Tambun, Simpang Ampat dan menahan tujuh lelaki bersama dadah pelbagai jenis bernilai RM184,335 dalam siri serbuan sekitar Nibong Tebal, di sini Jumaat lepas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang ACP Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata pihaknya menyerbu kondominium itu pada pukul 7.30 malam sebelum menahan dua lelaki berusia 39 dan 51 tahun, hasil maklumat dan risikan dijalankan polis sejak dua minggu lepas.

    “Semasa serbuan itu, dua lelaki tersebut sedang leka memproses dadah dan tidak sempat melarikan diri. Polis kemudian merampas 13.6 kilogram (kg) heroin serta 7kg serbuk kafein yang kesemuanya bernilai RM184,335, turut dirampas peralatan memproses dadah serta cecair kimia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Katanya susulan penahanan dua lelaki itu, polis menyerbu tiga lagi lokasi di sekitar Seberang Perai Selatan (SPS) dan menahan lima lagi lelaki berusia lingkungan 21 hingga 50 tahun dipercayai ahli sindiket memproses dan mengedar dadah tersebut.

    Mustafa berkata polis turut menahan ketua sindiket iaitu lelaki berusia 34 tahun di sebuah kedai menjual gas memasak/gas petroleum cecair (LPG) dan dipercayai berselindung di sebalik perniagaan itu bagi mengaburi pihak berkuasa kehidupan mewahnya hasil kegiatan memproses dan mengedar dadah.

    Katanya siasatan awal mendapati sindiket itu aktif sejak tiga bulan lepas dengan menyewa kondominium mewah tersebut pada kadar RM1,800 sebulan hanya untuk dijadikan makmal memproses heroin.

    “Sindiket itu mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian mereka sebelum memprosesnya menjadikan heroin dan dipasarkan sekitar negeri-negeri di utara. Dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 67,900 penagih,” katanya.

    Beliau berkata polis turut menyita enam kereta mewah antaranya dua BMW, sebuah Mercedes Benz dan Nissan Sentra serta barang kemas dan wang dalam akaun mereka yang kesemuanya bernilai RM266,000.

    Menurutnya semua yang ditahan positif dadah dan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah, kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- BERNAMA