Tag: MAIWP

  • MAIWP umum bantuan Ramadan dan Aidilfitri RM800

    MAIWP umum bantuan Ramadan dan Aidilfitri RM800

    MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menyalurkan Bantuan Awal Ramadan dan Bantuan Aidilfitri berjumlah RM800 secara ‘one-off’ kepada 30,300 penerima Bantuan Kewangan Bulanan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, Bantuan Awal Ramadan sebanyak RM300 dibayar secara berperingkat bermula semalam manakala Bantuan Aidilfitri sebanyak RM500 pula akan mula dibayar pada minggu ketiga Ramadan.

    “(Bantuan) RM300 ini sebagai sumbangan tambahan dalam bulan Ramadan kepada mereka yang terima bantuan bulanan (MAIWP). Ini satu lagi nilai tambah kita beri kepada penerima atau asnaf sedia ada.

    “Gunalah bantuan ini sebaik mungkin. Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan beban dalam menyambut Ramadan dan persiapan Aidilfitri,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Watikah Pelantikan Ketua Amil dan Amil Zakat Fitrah Tahun 1443H di sini hari ini.

    Pada majlis itu, Idris turut menyampaikan bantuan Ihya’ Ramadan berjumlah RM9.46 juta bagi tujuan mengimarahkan 811 masjid, surau Jumaat dan surau di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; membabitkan penyaluran RM15,000 kepada 89 masjid; RM12,500 kepada 123 surau Jumaat dan RM11,000 kepada 599 surau.

    Idris berkata, dana tersebut disalurkan bagi masjid dan surau menggunakannya untuk program-program sepanjang bulan Ramadan dengan pengisian yang menjadi terapi jiwa dan penghayatan ilmu.

    Dalam pada itu, Idris turut menasihatkan pihak-pihak yang menyiarkan azan bagi tujuan berbuka puasa dan bersahur, lebih berhati-hati agar insiden berbuka sebelum waktunya, tidak berlaku lagi.

    “Mereka yang menjaga urusan sama ada azan atau siren penanda sahur ataupun buka puasa, kena amanah betul-betul.

    “Kalau sengaja buat macam itu, maka mereka menanggung dosa terhadap itu dan kepada individu yang berbuka puasa awal kerana mendengar azan maghrib di radio yang disiarkan lebih awal daripada waktunya, kena qada balik puasa,” katanya.

    Pada Ahad lepas, seorang penyampai stesen radio tempatan di Tawau, Sabah tampil memohon maaf selepas dilaporkan menyiarkan azan maghrib empat minit lebih awal di daerah itu.

    Pada majlis tersebut, Idris turut menyampaikan watikah pelantikan kepada lapan penerima yang mewakili 74 ketua amil dan 809 amil yang dilantik MAIWP bagi tujuan kutipan zakat fitrah tahun ini. – BERNAMA

  • Gas Malaysia, PPZ-MAIWP bantu peniaga kecil Pantai Dalam

    Gas Malaysia, PPZ-MAIWP bantu peniaga kecil Pantai Dalam

    Oleh ADAM RAZAK

    SERAMAI 500 peniaga kecil dan penjaja yang terkesan berikutan penularan wabak Covid-19 menerima bantuan keperluan asas yang disampaikan oleh Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini.

    Penjaja-penjaja di Pusat Penjaja Dataran Bukit Antarabangsa, Pantai Dalam, Kuala Lumpur menerima sumbangan seperti beras, minyak masak, gula, tepung, biskut dan sardin dengan nilai keseluruhan RM50,000.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap, sebagai sebuah entiti korporat yang bertanggungjawab, pihaknya berpegang pada pandangan bahawa perniagaan yang berjaya dibina atas asas yang kukuh yang menyumbang ke arah kebaikan kehidupan, terutamanya bagi mereka yang kurang bernasib baik.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Gas Malaysia, Ahmad Hashimi Abdul Manap dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman bergambar bersama sebahagian penerima-penerima sumbangan yang terdiri daripada peniaga kecil pada Majlis Penyampaian Sumbangan Keperluan Harian oleh Gas Malaysia dan PPZ-MAIWP di Dataran Sri Angkasa Jaya, Pantai Dalam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Pihak Gas Malaysia berharap dengan sedikit bantuan ini, dapat meringankan beban peniaga-peniaga yang terkesan ketika pandemik ini.

    “Kami menyasarkan kepada peniaga-peniaga kecil ini kerana mereka adalah golongan yang paling terkesan ketika wabak Covid 19 melanda negara kita,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian sumbangan tersebut.

    Dalam pada itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, inisiatif itu merupakan sumbangan tambahan daripada pihaknya kepada golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

    “Dengan ini, kami memohon kepada lebih ramai orang untuk membayar zakat di PPZ-MAIWP supaya kami dapat memberi bantuan kepada lebih ramai lagi orang yang memerlukan bantuan,” jelasnya.

    Seorang peniaga, Maimunah Man, 67, bersyukur kerana bantuan keperluan harian yang diterima dapat meringankan beban yang dihadapinya.

    Dia yang menjual nasi campur sejak 15 tahun lalu berdepan situasi sukar sejak pandemik melanda negara dua tahun lalu.

    Maimunah Man,67.

    “Saya jadi serba salah, kalau saya berniaga akan terus menanggung kerugian, tetapi bila tidak berniaga, sewaan kedai boleh dibatalkan.

    “Ketika pandemik ini, tiada pelanggan yang datang ke kedai. Kami mengharapkan pejabat-pejabat di sekitar kawasan ini, namun memandangkan semua bekerja dari rumah, susah kami untuk mendapatkan pelanggan,” katanya.

    Beginilah keadaan sekitar medan selera yang kurang mendapat sambutan dari orang ramai sehingga menjejaskan perniagaan kedai makan di Pusat Penjaja Dataran Bukit Antarabangsa, Pantai Dalam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Seorang lagi peniaga, Nor Halmi Abdul Halim, 49, berkata, sumbangan yang diterima hari ini boleh digunakan untuk menampung keperluan harian,

    “Saya berharap pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat membuat pembaharuan di kawasan penjaja ini, memandangkan jalan masuk kekawasan ini terlalu jauh dan tiada parkir yang mencukupi.

    NorHalmi Abdul Halim,49.

    “Itu belum lagi masalah lain yang kami perlu hadapi seperti ruang kedai yang sempit dan juga jumlah pelanggan yang semakin merosot,” jelasnya.

    Sementara itu, Ketua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan (Cawangan Bangsar), Abu Seman Lias berkata, hanya kira-kira 15 kedai dari jumlah keseluruhan 88 premis di kawasan itu yang masih beroperasi.

    “Masalah utama peniaga-peniaga di sini adalah kawasan medan selera ini dan kalan masuk agak susah dan jauh, orang ramai susah nak masuk ke kawasan ini, kami cuma mengharapkan penduduk-penduduk rumah pangsa di kawasan ini.

    Ketua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Wilayah Persekutuan (Cawangan Bangsar), Abu Seman Lias,62.

    “Kawasan parkir juga tidak mencukupi kerana terpaksa berkongsi dengan penduduk-penduduk rumah pangsa di kawasan sekitar,” ujarnya.

    Pada masa yang sama, beliau memuji usaha yang dilakukan oleh Gas Malaysia dan PPZ-MAIWP bagi membantu peniaga-peniaga kecil sambil berharap ada pihak yang membantu mereka dari segi kewangan agar dapat meringankan beban yang dihadapi.

    “Saya juga berharap pihak DBKL boleh membantu kami melupuskan sewa bulanan peniaga yang tertangguh sejak pandemik Covid-19 agar perniagaan kami tidak gulung tikar,” katanya.

    Beginilah keadaan sekitar medan selera yang kurang mendapat sambutan dari orang ramai sehingga menjejaskan perniagaan kedai makan di Pusat Penjaja Dataran Bukit Antarabangsa, Pantai Dalam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat