Tag: main dua kolam

  • ‘Biarkanlah… dia terdesak cari tempat’, kata Hamzah

    ‘Biarkanlah… dia terdesak cari tempat’, kata Hamzah

    TINDAKAN Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang cuba bermain dua kolam diselar Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menyifatkan langkah bekas pemimpin Bersatu itu sebagai terdesak.

    Beliau yang juga Setiausaha Agung Bersatu menegaskan, tindakan Mukhriz yang cuba meminta kerusi termasuk mahu bekerjasama dengan kedua belah pihak cuma mahu menjamin kelangsungan karier bekas Ahli Parlimen Jerlun sebagai ahli politik.

    Katanya, dalam keadaan terdesak sekarang, itu tindakan biasa yang akan dilakukan orang politik seperti Mukhriz agar dapat terus ‘hidup’ dalam kancah politik negara.

    “Maknanya dia desprate (terdesak) sekarang untuk mencari tempat. Biarkanlah.

    “Tak apalah, sebagai orang politik dia terpaksa supaya dia boleh bergantung hidup (dengan parti politik lain),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Dewan Rakyat hari ini, lapor Berita Harian.

    Ketua Pembangkang itu diminta mengulas cubaan Mukhriz bermain dua kolam dengan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin PN dan PH, untuk mengadakan kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

    BH semalam melaporkan kenyataan sumber PN Kedah yang rapat dengan bekas menteri besar Kedah itu mengenai permintaan berhubung peruntukan sejumlah kerusi dibuat Mukhriz sewaktu bertemu dengan kepemimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

    Ahad lalu, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan berlaku pertemuan antara Mukhriz bersama kepemimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

    Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar turut mengesahkan Mukhriz ada bertemunya di ibu negara kira-kira dua bulan lalu, bagi membincangkan mengenai ruang kerjasama antara Pejuang dan PH bagi menghadapi PRN Kedah.

    Namun, Mahfuz menyarankan Mukhriz bertemu secara terus dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana isu mengenai kerjasama dalam PRN hanya boleh diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

  • PRN: Mukhriz didakwa cuba main dua ‘kolam’, minta kerusi daripada PN, PH

    PRN: Mukhriz didakwa cuba main dua ‘kolam’, minta kerusi daripada PN, PH

    PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dikatakan meminta Perikatan Nasional (PN) memperuntukkan sejumlah kerusi kepada parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

    Berita Harian dalam laporannya memetik sumber PN Kedah yang rapat dengan Mukhriz menyatakan, ia antara intipati pertemuan antara bekas Menteri Kedah itu dengan lima kepimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

    Kata sumber itu, Mukhriz menyatakan hasrat untuk Pejuang menjalin kerjasama dengan PN dalam PRN Kedah, dengan harapan kerjasama itu menjadi talian hayat untuk Mukhriz mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra.

    Difahamkan, Mukhriz memohon sekurang-kurangnya dua kerusi diperuntukkan kepada Pejuang sekiranya kerjasama itu menjadi kenyataan, iaitu kerusi DUN Jitra yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dan DUN Anak Bukit yang disandang wakil Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah.

    “Ketika bertemu lima pemimpin tertinggi Pas baru-baru ini, Mukhriz menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan PN dan mahu diperuntukkan beberapa kerusi kepada Pejuang.

    “Dalam pertemuan itu, pimpinan Pas tidak memberi sebarang kata putus kerana perbincangan masih di peringkat permulaan.

    “Namun, tindakan Mukhriz yang turut mengadakan pertemuan dan menyatakan minat bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), memperlihatkan beliau cuba bermain dua kolam untuk pertahankan kerusinya,” kata sumber yang juga EXCO kerajaan negeri Kedah kepada BH, hari ini.

    Ahad lalu, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan berlaku pertemuan antara Mukhriz bersama kepemimpinan tertinggi Pas baru-baru ini.

    Menteri Besar Kedah itu dilaporkan berkata, intipati perbincangan antara dua pihak bagaimanapun belum didedahkan setakat ini memandangkan perbincangan itu hanya membabitkan lima kepemimpinan tertinggi parti bersama Mukhriz.

    BH hari ini melaporkan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar turut mengesahkan Mukhriz ada bertemunya di ibu negara kira-kira dua bulan lalu bagi membincangkan mengenai ruang kerjasama antara Pejuang dan PH bagi menghadapi PRN Kedah.

    Namun, Mahfuz menyarankan Mukhriz bertemu secara terus dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana isu mengenai kerjasama dalam PRN hanya boleh diputuskan oleh Majlis Presiden PH.