Tag: Mahkamah

  • Saksi penting tidak sihat, kes Shahrir Samad gagal isytihar RM1 juta ditangguh

    Saksi penting tidak sihat, kes Shahrir Samad gagal isytihar RM1 juta ditangguh

    PERBICARAAN kes bekas Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Ab Samad yang didakwa atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini ditangguhkan ke 22 Dis ini kerana saksi penting pendakwaan tidak sihat.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan penangguhan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Azmi memaklumkan kepada mahkamah bahawa saksi pendakwaan ke-22 (SP22), Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurzahidah Yacop telah diberikan sijil cuti sakit (MC) hari ini daripada Klinik Kesihatan Putrajaya.

    “Mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan pada 5 Jan depan,” kata hakim.

    Terdahulu, Rasyidah Murni berkata Nurzahidah telah memohon kepada mahkamah semalam untuk membenarkannya ke klinik bagi mendapatkan rawatan dan pihak pendakwaan telah menerima MC daripada saksi itu yang salinannya akan diberikan kepada peguam hari ini. 

    “Hari ini ditetapkan untuk sambung bicara bagi pihak peguam menyoal balas saksi berkenaan (Nurzahidah). Saksi ini penting untuk kes ini dan pihak pendakwaan tidak berniat untuk melengah-lengahkan masa mahkamah, memandangkan ini adalah soal kesihatan ia tidak seharusnya dipandang enteng oleh semua pihak. 

    “Oleh itu, kami mohon perbicaraan hari ini ditangguhkan manakala tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu 22 dan 23 Dis dikekalkan untuk kami memanggil saksi berkenaan dan Datuk Seri Najib,” katanya.

    Sementara itu, peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros mewakili Shahrir mengesahkan pihaknya telah menerima maklumat itu semalam melalui aplikasi WhatsApp dan mendoakan supaya saksi berkenaan cepat sembuh untuk hadir semula ke mahkamah bagi menyambung keterangannya.

    “Saya menghormati permohonan pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan hari ini dan pihak pembelaan tidak memandang ringan perkara ini. Bagaimanapun, kami mohon supaya kes ini dapat diselesaikan dengan segera memandangkan anak guam saya cuba untuk membersihkan namanya sebagai kluster mahkamah.

    “Pada Pilihan Raya Umum ke-15 beliau (Shahrir) tidak bertanding atas alasan ia tidak adil untuk pengundi di Johor Bharu kerana di minda rakyat beliau adalah kluster mahkamah,” katanya dan memohon supaya tarikh perbicaraan juga ditetapkan pada Januari depan.

    Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali kemudian berkata pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk menangguhkan dan melambatkan prosiding kes itu, malah sentiasa memberikan kerjasama sepenuhnya demi keadilan semua pihak.

    Shahrir, 72, didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Najib sendiri serah cek RM1 juta kepada Shahrir – Pegawai SPRM

    Najib sendiri serah cek RM1 juta kepada Shahrir – Pegawai SPRM

    SEORANG pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa hasil siasatannya mendapati Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan sendiri cek bernilai RM1 juta kepada Tan Sri Shahrir Ab Samad pada 2013.

    Penolong Penguasa SPRM Nurzahidah Yacop, 35, berkata bekas perdana menteri itu juga yang menulis dan menandatangani cek AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum menyerahkan kepada Shahrir di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya pada 27 Nov 2013.

    Nurzahidah berkata sehari kemudian, terdapat transaksi wang masuk sebanyak RM1 juta ke dalam akaun Public Bank Berhad milik Shahrir dan ada beberapa transaksi pengeluaran berjumlah RM997,285 selepas itu antara 2 Dis 2013 hingga 31 Mac 2014.

    “Daripada keseluruhan transaksi pengeluaran itu, sebanyak RM543,800 digunakan bagi melaksanakan Projek Pemulihan Perumahan Puri Langkasuka (Seri Anugerah) Larkin, Johor Bahru manakala RM10,000 untuk UMNO Cawangan Taman Kebuh Teh.

    “Selain itu, sebanyak RM443,485 dipercayai digunakan untuk tujuan peribadi beliau (Shahrir) antaranya RM200,000 dimasukkan ke akaun simpanan tetap Public Bank milik isterinya Shahrizan Abdullah dan anaknya Marisa Diyana, sebanyak RM115,000 dimasukkan ke akaun simpanan tetap Maybank Tan Sri Shahrir dan RM118,485 ke akaun Sutera Auto Sdn Bhd (syarikat kereta),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Pada 8 Ogos lepas, saksi pendakwaan ketujuh, Eksekutif Akaun Sutera Auto Sdn Bhd Rozana Khalid memberitahu mahkamah bahawa Shahrir telah membuat pembayaran penuh bagi pembelian sebuah kereta jenis Honda Civic Hibrid bernilai RM118,485 menggunakan sekeping cek.

    Nurzahidah yang bekerja di Cawangan Sasaran Operasi (OTC) Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya berkata hasil siasatan juga mendapati Shahrir tidak pernah membuat pengisytiharan berkenaan penerimaan dana tersebut, walaupun ia dikira sebagai pendapatan beliau (Shahrir).

    Katanya, ini disahkan melalui maklumat percukaian milik Shahrir bagi 2013 hingga 2018 yang tiada sebarang pengisytiharan pendapatan melebihi RM1 juta dalam Borang BE yang menyatakan bekas Pengerusi Felda itu mengisytiharkan pendapatan pada 2013 (RM87,834), 2014 (RM128,104), 2015 (RM213,394), 2016 (RM189,545), 2017 (RM267,090) dan 2018 (RM193,191).

    Mengenai taklimat operasi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Fasa 2, Nurzahidah berkata beliau menghadiri taklimat itu yang dipengerusikan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Ibu Pejabat SPRM pada 23 Sept 2019 dan beliau (Nurzahidah) menerima arahan untuk menjadi pegawai penyiasat kes.

    “Pada keesokannya (24 Sept) saya menerima kertas siasatan daripada pegawai rekod cawangan sasaran operasi mengenai kes tersebut.

    “Berdasarkan fakta dan keterangan yang diperoleh serta dokumen yang dirampas dalam tempoh siasatan, saya telah mengemukakan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya SPRM dengan cadangan menuduh Shahrir kerana tidak mengisytiharkan dana yang diterima sebanyak RM1 juta,” katanya.

    Saksi pendakwaan ke-22 itu berkata Shahrir ditangkap pada 20 Jan 2020 dan didakwa dengan satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini, pada 21 Jan 2020.

    Shahrir, 72, didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, pada 25 April 2014 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. – BERNAMA

  • Haqiem Stopa didakwa simpan gambar, video lucah bekas kekasih

    Haqiem Stopa didakwa simpan gambar, video lucah bekas kekasih

    SEORANG pencipta kandungan yang mempunyai sejuta pengikut dalam aplikasi TikTok, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan gambar dan video lucah bekas kekasihnya dalam dua telefon bimbit.

    Haqiem Stopa atau nama sebenarnya Muhammad Sadzri Hakim Jaafar, 22, didakwa menyimpan gambar dan video lucah wanita berumur 21 tahun itu di dalam galeri telefon bimbit jenama Iphone 13 Pro Max dan Iphone 7 Plus miliknya di sebuah rumah di Rawang pada 4.30 petang, 9 Dis lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 292 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Anis Farhah Ahmad Hilmi mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mohd Faiz Fahmy Abdul Razak mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibu bapa yang uzur.

    Majistret Nur Hafizah Rajuni membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 23 Feb tahun depan.

    Pada 10 Dis lepas, media melaporkan lelaki itu ditahan polis pada Jumaat lepas kerana disyaki mengugut untuk menyebarkan gambar lucah bekas kekasihnya. – BERNAMA

  • Sanusi sedia ke mahkamah berdepan Anwar

    Sanusi sedia ke mahkamah berdepan Anwar

    Oleh BADLISHAH MAT

    DATUK Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sedia berdepan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah berhubung saman yang dikemukakan terhadapnya.

    Menteri Besar Kedah yang menyatakan ucapannya itu hanya berkisar sejarah turut memuat naik surat peguamnya dari firma Yusfarizal Aziz & Zaid Advocates & Solicitors kepada Tetuan SN Nair & Partners yang mewakili Anwar bertarikh 7 Disember lalu.

    Surat peguam Sanusi kepada peguam Anwar

    Firma itu memaklumkan pihaknya diarahkan oleh Muhammad Sanusi sebagai anak guam untuk menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak menafikan membuat ucapan pada 13 November lalu yang disiarkan dalam akaun Facebook ‘Faizal Azumu’.

    “Artikel berita diterbitkan portal MalaysiaKini bertajuk ‘Kes liwat Anwar: Dulu kesian sungguh, sekarang Pas kata kena pikiaq’ bertarikh 14 November dan video dimuat naik dalam aplikasi akaun Youtube MalaysiaKini pula tidak berada dalam kawalan atau milikan anak guam kami.

    “Oleh yang demikian sekiranya terdapat apa-apa olahan atau penambahan fakta, ulasan atau komen yang membawa kepada apa-apa unsur fitnah, ia dibuat oleh portal MalaysiaKini dan di luar kawalan anak guam kami,” katanya.

    Firma itu menyatakan, surat tuntutan bertarikh 16 November kepada Muhammad Sanusi juga tidak menyatakan dengan jelas kata-kata fitnah terkandung dalam ucapan berkenaan sebaliknya hanya menyatakan petikan secara umum.

    “Dalam apa jua keadaan, anak guam kami menafikan bahawa ucapan tersebut adalah terjumlah kepada suatu ucapan berunsur fitnah. Sekiranya kata-kata fitnah merujuk kepada ucapan anak guam kami berkenaan salah laku dan kes-kes jenayah melibatkan anak guam pihak tuan, anak guam kami menafikan tuduhan tersebut,” katanya.

    Tambahnya, ucapan Muhammad Sanusi dibuat berdasarkan fakta-fakta yang sememangnya berlaku iaitu sekitar 1998, Anwar sememangnya dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO atas dakwaan salah guna kuasa dan isu moral.  

    Selain itu surat tersebut turut menyatakan beberapa lagi kes melibatkan Anwar di mahkamah selain pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong.

    “Oleh demikian, anak guam kami melalui ucapan tersebut telah memaklumkan kepada orang ramai tentang fakta-fakta yang sememangnya berlaku pada tahun-tahun lepas, yang telah diketahui umum.

    “Hanya kerana anak guam pihak tuan telah diberikan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong, ia tidak menghalang mana-mana pihak daripada menyebut atau menyatakan fakta-fakta dan sejarah yang berlaku berkaitan anak guam pihak tuan,” katanya.

    Surat itu turut menyatakan bahawa Muhammad Sanusi menegaskan yang dirinya mempunyai pembelaan bermerit di bawah undang-undang.

    “Dalam keadaan ini, kami mempunyai arahan anak guam untuk menerima tuntutan bagi pihaknya dan anak guam kami dengan ini merizabkan kesemua haknya yang diperuntukkan undang-undang,” katanya.

  • Mahkamah ketepi perintah larangan hantar pulang 114 pelarian Myanmar

    Mahkamah ketepi perintah larangan hantar pulang 114 pelarian Myanmar

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengetepikan perintah penggantungan yang melarang kerajaan Malaysia menghantar pulang 114 pelarian warga Myanmar ke negara asal.

    Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia, Ketua Pengarah Imigresen dan Menteri Dalam Negeri selaku responden untuk mengetepikan perintah larangan yang diputuskan sebelum ini.

    Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly, yang mewakili kesemua responden, dan peguam Lim Wei Jeit, yang mewakili dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Asylum Access Berhad serta Aimal Sdn Bhd selaku pemohon, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

    Ketiga-tiga responden memfailkan permohonan itu pada 12 Mei lepas atas alasan tahanan Myanmar telah berulang kali merayu dan meluahkan hasrat kepada pegawai yang bertugas di depot tahanan Imigresen supaya membenarkan mereka pulang ke negara asal.

    Perintah sementara sebelum ini dikeluarkan oleh Hakim Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan) pada 24 Feb 2021, yang melarang Kerajaan Malaysia menghantar pulang pendatang Myanmar ke negara asal berkuat kuasa sehingga 9 Mac 2021.

    Pada 9 Mac, NGO terbabit memperoleh kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan penghantaran pulang 1,200 pelarian warga Myanmar ke negara asal.

    Kedua-dua NGO memfailkan permohonan pada 22 Feb 2021 bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan kerajaan menghantar pulang kesemua pelarian termasuk kanak-kanak yang ditahan di pusat tahanan Imigresen ke Myanmar melalui kapal.

    Dalam permohonan itu, NGO terbabit mendakwa jika kesemua pelarian dihantar pulang ke Myanmar, kehidupan mereka akan terancam dan dalam bahaya.

    Dalam kenyataan media pada 23 Feb 2021, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata seramai 1,086 pendatang tanpa izin warga Myanmar yang ditahan di depot Imigresen di seluruh negara sejak tahun lepas dihantar pulang melalui Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

    Program penghantaran pulang itu dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia khususnya TLDM, Pasukan Petugas Kebangsaan dan Kedutaan Myanmar. – BERNAMA

  • Jho Low ‘jual diri’ sebagai lepasan Wharton, jumpa pelbagai personaliti

    Jho Low ‘jual diri’ sebagai lepasan Wharton, jumpa pelbagai personaliti

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, telah dibuang daripada Wharton School, University of Pennsylvania yang merupakan fakulti perniagaan tertua di dunia.

    Perkara itu didedahkan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika beliau menyoal bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping pada perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Muhammad Shafee: Adakah anda tahu apa kelayakan yang dimiliki Jho Low?

    Yu: Ya, ada kaitan dengan Wharton.

    Muhammad Shafee: Baru-Baru ini saya mendapati beliau dibuang daripada Wharton. Malah beliau tidak pernah menamatkan pengajian di Wharton. Adakah anda menyedarinya?

    Yu: Oh! Saya tidak tahu perkara itu.

    Muhammad Shafee: Namun beliau meyakinkan anda bahawa beliau adalah lepasan Wharton?

    Yu: Ya.

    Muhammad Shafee: Anda setuju dengan saya secara amnya Jho Low akan menjual dirinya sebagai seorang ahli perniagaan yang baik untuk bank menjalinkan hubungan perniagaan?

    Yu: Saya percaya begitulah.

    Saksi pendakwaan ke-41 itu juga berkata beliau pernah mendengar Jho Low menyebut mengenai Gabenor Bank Negara Malaysia, Perdana Menteri Malaysia, kerabat diraja dari Jordan iaitu Putera Turki Al-Saud dan Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI) Tarek Obaid.

    “Beliau akan kata beliau akan bertemu seseorang dari Kuwait. Saya hanya mendengarnya dan membiarkan ia begitu sahaja kerana perkara itu tidak penting buat saya,” kata saksi berusia 51 tahun itu.

    Peguam itu kemudian beralih kepada isu membabitkan akaun Najib dan menyoal Yu mengenai usaha bank tersebut untuk menghubungi tertuduh secara langsung bagi sebarang kebenaran atau penjelasan mengenai akaun beliau dan siapa yang dipertanggungjawab untuk menanganinya.

    Saksi itu berkata beliau tidak pernah menghubungi Najib secara langsung kerana tidak mempunyai akses untuk berbuat demikian.

    Najib, 69, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BERNAMA

  • Anwar saman MB Kedah berhubung ucapan berbaur fitnah

    Anwar saman MB Kedah berhubung ucapan berbaur fitnah

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memfailkan saman terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’.

    Anwar, 75, selaku plaintif, memfailkan saman itu menerusi Tetuan S. N. Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar dengan menamakan Muhammad Sanusi, 48, sebagai defendan tunggal.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa pada 13 Nov lalu, Muhammad Sanusi, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, telah memberi ucapan pilihan raya pada ceramah tersebut sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.

    Anwar berkata ucapan dalam ceramah itu telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama “Faizal Azumu” yang mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.

    Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendakwa pada 14 Nov lalu, kenyataan fitnah daripada video tersebut telah dipetik oleh MalaysiaKini dan portal itu menerbitkan satu artikel dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris.

    Menurut Anwar, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

    Plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu adalah tidak benar, keji serta berniat jahat dengan tujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov lalu.

    Anwar berkata akibat daripada kenyataan fitnah itu menyebabkannya dihina, mendapat cemuhan daripada masyarakat selain memudaratkan imej dan reputasi baiknya sebagai Presiden PKR, Pengerusi PH, Ahli Parlimen Tambun, Perdana Menteri ke-10 dan Menteri Kewangan.

    Anwar berkata pada 16 Nov lalu, plaintif melalui peguamnya menuntut defendan menarik balik, memohon maaf, mengaku janji untuk tidak mengulangi dan membayar ganti rugi kepada plaintif, namun defendan melalui surat peguamnya bertarikh 7 Dis lalu, membalas surat dan menyatakan pengakuan tidak berbelah bahagi mengenai fakta dalam ucapan tersebut.

    Sehubungan itu, plaintif memohon ganti rugi am, teruk serta teladan selain perintah untuk menghalang defendan daripada terus mengungkap, mengarang, menerbitkan atau menerbitkan kenyataan serupa terhadap plaintif serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

    Peguam Datuk S.N. Nair, yang mewakili Anwar, ketika dihubungi Bernama, berkata saman itu difailkan pada jam 4.30 petang tadi. – BERNAMA

  • Penghantar makanan didakwa tumbuk, tendang isteri

    Penghantar makanan didakwa tumbuk, tendang isteri

    SEORANG penghantar makanan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh di Melaka hari ini atas pertuduhan menumbuk muka dan menendang isterinya, Khamis lalu.

    Lapor Harian Metro, mangsa mendakwa dikasari kerana enggan menemani tertuduh menghadiri majlis tamat latihan adiknya minggu lalu.

    Tertuduh, Kamal Ariffin Sehat, 40, mengaku bersalah, namun ditolak Majistret Mazana Sinin kerana pengakuan ‘bersyarat’ tertuduh membabitkan pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Fadilah Hussin, 39, dengan menumbuk muka dan menendang bahagian belakang badan mangsa di sebuah premis di Taman Tanjung Minyak Perdana, kira-kira pukul 9 malam, 8 Disember lalu.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

    Kejadian dikatakan berlaku selepas tertuduh mengajak isteri bersama lima anak pergi ke majlis tamat latihan adiknya di Port Dickson, Negeri Sembilan, namun ditolak membuatkan tertuduh berang dan mencederakannya.

    Bagaimanapun tertuduh dalam pengakuannya mengaku menarik rambut dan menampar muka isterinya selepas wanita itu dikatakan memanggil ibunya sebagai anjing.

    Mahkamah kemudian menolak pengakuan bersalah tertuduh kerana pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha ingin mengekalkan pertuduhan seperti dibacakan kepada lelaki itu.

    Justeru, mahkamah menolak pengakuan bersalah yang dibuat Kamal Ariffin selepas pihak pendakwaan turut ingin mengekalkan pertuduhan seperti dinyatakan kepada tertuduh.

    Pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa.

  • Hanya mahkamah boleh menakrifkan undang-undang lompat parti

    Hanya mahkamah boleh menakrifkan undang-undang lompat parti

    PEGUAM kanan, Haniff Khatri Abdulla berkata, hanya mahkamah yang boleh menakrifkan undang-undang lompat parti, Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan yang sedang hangat dibincangkan ketika ini.

    Beliau menyifatkan, tiada siapa yang 100 peratus betul atau salah dalam isu empat Ahli Parlimen mengumumkan keluar parti di Sabah, namun mengisytiharkan kekal dalam gabungan disertai parti sama.

    “Masalah ini terjadi seperti yang saya selalu katakan sebelum ini, tidak ada keseragaman atau penelitian dibuat sebelum undang-undang itu diluluskan.

    “Perkara ini sudah disebut pada 19 dan 20 November selepas Parlimen tergantung, bolehkah Ahli Parlimen memilih atau menyokong calon Perdana Menteri tanpa terikat dengan parti, adakah itu dianggap lompat parti?” katanya, lapor Berita Harian.

    Haniff Khatri selain itu berkata, isu kedua yang berbangkit dalam urusan Akta Lompat Parti adalah ketidakseragaman undang-undang berkaitan.

    “Dalam undang-undang yang sama telah ditulis definisi apa itu parti politik dan gabungan parti politik, jadi dalam kes yang berlaku baru ini, hanya mahkamah yang layak mentafsirkan undang-undang tersebut untuk situasi itu,” katanya.

    Pada masa sama Haniff menempelak ahli politik negara ini yang dianggapnya terlalu gopoh mewujudkan undang-undang ibarat menampal lubang di dinding.

    “Sepatutnya, mereka buat jawatankuasa kajian kerana undang-undang ini berkait dengan akta pertubuhan dan berkait pula dengan masalah gabungan parti atau individu,” katanya.

    Haniff menambah, definisi ‘parti politik’ mengikut Perkara 160 yang termasuk ‘gabungan parti’ akan menjadi sia-sia, seandainya menjadi ahli GRS adalah tertakluk kepada keahlian sah dalam Bersatu.

    “Bagaimana pula, jika mana-mana parti lain dalam GRS, sanggup ambil empat orang Ahli Parlimen itu menjadi ahli parti mereka. Bukankah parti itu (atau parti baru yang mahu ditubuhkan mereka dan diterima GRS) adalah anggota GRS?,” tegasnya.

    Selain itu Haniff menyifatkan, masalah berbangkit ketika ini berlaku kerana undang-undang tertinggi, yakni Perlembagaan dipinda tanpa pembabitan pakar bidang berkenaan, apatah lagi dilakukan dalam tergopoh-gapah oleh mereka dalam Parlimen yang mempunyai ‘konflik kepentingan’.

  • Buruh pukul anjing guna kayu hingga cedera didenda RM23,000

    Buruh pukul anjing guna kayu hingga cedera didenda RM23,000

    SEORANG buruh yang memukul seekor anjing betina dengan sebatang kayu sehingga cedera, didenda RM23,000 oleh Mahkamah Sesyen Ampang dekat Ampang hari ini.

    Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob menjatuhkan hukuman itu ke atas Yong Kay Sang, 62, selepas dia mengaku bersalah memukul haiwan milik Yee Chan Fai, 35, di sebuah rumah di Taman Saga di sini, pada 9 pagi, 24 Mei lepas.

    Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda minimum RM20,000 hingga maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. 

    Mahkamah memerintahkan Yong sebagai orang kena saman (OKS) menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut. Dia membayar denda itu.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Wan Mohd Norisham berkata OKS tidak sepatutnya bertindak memukul anjing itu menggunakan kayu sehingga cedera kerana binatang juga mempunyai perasaan.

    Berdasarkan fakta kes, Yong diserang anjing berkenaan semasa berada berdekatan keretanya sebelum bertindak melarikan diri apabila dikejar haiwan itu sehingga terjatuh dan mengalami luka di lutut kanan, siku kanan selain lebam di muka.

    Dia kemudian mengejar anjing itu sehingga masuk ke rumah Yee dan memukul haiwan tersebut menggunakan sebatang kayu menyebabkan bahagian ekornya berdarah.

    Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor Mohd Sharif Sabran memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan masyarakat manakala peguam Hajinder Singh mewakili Yong memohon denda paling minimum kerana anak guamnya penanggung utama keluarga dan mempunyai penyakit darah tinggi serta diabetes.

    “OKS bertindak sedemikian (memukul) kerana diserang anjing tersebut. OKS menyesal dengan tindakan itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” kata peguam.

    Sementara itu di mahkamah sama, Yee mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal dalam kewajipannya untuk mengambil langkah-langkah munasabah memastikan keperluan haiwan dipenuhi hingga menyebabkan kecederaan, pada 8.30 pagi, pada tarikh dan lokasi sama.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 24 (1)(a)(v) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(3) akta sama, yang membawa hukuman denda minimum RM15,000 dan maksimum RM75,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 19 Jan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA