Tag: Mahkamah

  • Penolong jurutera MPKS didakwa terima suapan bagi projek kecil kampung

    SEORANG penolong jurutera Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM5,000 sebagai balasan berkaitan projek pihak berkuasa tempatan (PBT), tahun lalu.

    Nurul Azmunir Ahmad, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

    Menurut pertuduhan, Nurul Azmunir yang ketika itu berkhidmat di Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) sebagai penolong jurutera, didakwa menerima wang tunai RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 46 tahun yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya di Jabatan Kejuruteraan MDKS, dengan memberikan nilai anggaran jabatan untuk sebut harga bagi Projek-Projek Kecil Kampung Baru/Bagan/Tersusun Negeri Selangor.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Kuala Selangor Utama, Kuala Selangor dekat sini antara pukul 5 petang dan 7 malam pada 15 Jan 2020, yang mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

    Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Hamdan Hamzah, diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta menetapkan 13 Sept sebagai sebutan semula kes.

    Sementara itu, di mahkamah sama tiga anggota polis berpangkat lans koperal dan konstabel masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah.

    Ketiga-tiga tertuduh, Lans Koperal Mohamad Taufik Abdul Aziz, 31, dan dua lagi Konstabel iaitu Mohamad Fazli Nordin, 28, dan Shahrul Norhan Sirhan, 26, didakwa dengan niat bersama memperoleh suapan wang tunai RM2,000 daripada seorang lelaki berusia 37 tahun sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kesalahan yang dilakukan iaitu aktiviti tidak dibenarkan semasa Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Lorong Haji Mughni, Kampung Jalan Kebun, Seksyen 30, dekat sini, pada 25 Jun lepas.

    Pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Tertuduh juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu atas dakwaan kesalahan sama yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi sebagai anggota polis mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

    Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan mereka perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 Sept.

    Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Tham Weng Kin, Faizah Khalilah Zaberi dan ‘Azi ‘Azlin Zulkifli. Pendakwaan bagi kesemua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM Fadhli Ab Wahab.- BERNAMA

  • Penjual daging didakwa edar dadah terlepas hukuman gantung

    Penjual daging didakwa edar dadah terlepas hukuman gantung

    SEORANG penjual daging di pasar awam terselamat daripada hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi Georgetown hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 59.7 kilogram (kg) tiga tahun lalu.

    Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Sahul Hamid Mohd, 44, di akhir kes pendakwaan.

    Dalam penghakimannya beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai milikan terhadap dadah itu.

    “Setelah menilai kes pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh memiliki dadah yang dirampas dan kereta yang mengandungi dadah berkenaan, maka tidak timbul isu pengedaran dadah,” katanya.

    Menurutnya sembilan saksi dipanggil oleh pihak pendakwaan, namun terdapat percanggahan daripada dua keterangan saksi mengenai tarikh gambar barang rampasan yang diambil sehingga menimbulkan keraguan.

    “Mengikut keterangan saksi juga, tiada cap jari tertuduh yang ditemui dalam kereta mahupun di guni daun kanabis yang dirampas,” katanya.

    Mengikut pertuduhan, Sahul Hamid didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 59,708.4 gram di kawasan parkir kereta Pasa Raya Tesco Extra Sembilang, di Seberang Jaya, Seberang Perai Tengah pada pukul 3.15 petang, 8 Januari 2018.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari, manakala tertuduh diwakili peguam S. Rethinakumar dan T. Tamilsalvan.

    Sahul Hamid yang berbaju T putih dan seluar jeans kelihatan sebak dan memeluk ahli keluarganya selepas keputusan mahkamah.

  • Pemandu bas tak mengaku salah cabul kanak-kanak perempuan

    Pemandu bas tak mengaku salah cabul kanak-kanak perempuan

    SEORANG pemandu bas sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini atas pertuduhan melakukan kesalahan seksual ke atas seorang murid perempuan berusia 10 tahun, dua tahun lalu.

    Tertuduh K.Ravichandran, 53, selain itu minta kesnya agar dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

    Dia didakwa menyentuh kemaluan kanak-kanak itu di atas motosikalnya yang dinaiki budak perempuan tersebut ketika dalam perjalanan dari sekolah ke rumah mangsa di sini, antara pukul 1 hingga 1.25 petang, 6 Ogos 2019.

    Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

    Tertuduh juga hendaklah diletakkan di bawah pengawasan polis bagi tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih tiga tahun sepertimana di bawah Seksyen 295 (1A) Kanun Prosedur Jenayah, jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Shamini Karunananthan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Sept depan untuk sebutan semula kes.