Tag: Mahkamah

  • Bicara kes gangguan seksual Ebit Lew esok

    Bicara kes gangguan seksual Ebit Lew esok

    PERBICARAAN kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew melibatkan gangguan seksual akan bermula esok hingga 30 Sept di Mahkamah Majistret Tenom.

    Lew, 37, menghadapi 11 pertuduhan, antaranya didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Majistret Nur Asyraf Zolhani akan mendengar kes itu manakala pendakwaan akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohammad Ramli dan Adibah Saiful Bahari.

    Barisan peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye akan mewakili Lew.

    Pada Februari lepas, Lew mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual dan dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.

    Tenom merupakan sebuah daerah di pedalaman Sabah terletak kira-kira 145 kilometer arah selatan dari Kota Kinabalu.- BERNAMA

  • Rasuah VLN: Ahmad Zahid lepas bebas 40 pertuduhan

    Rasuah VLN: Ahmad Zahid lepas bebas 40 pertuduhan

    MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

    Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 69, di akhir kes pendakwaan.

    Ahmad Zahid, menghadapi 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi menyambung kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta untuk mengekalkan perjanjian kontrak untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat yang sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

    Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa memperoleh untuk dirinya SG$1,150,000; RM3.125 juta; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan rasmi dengan tugas rasminya.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.- BERNAMA

  • Mahkamah beri menteri 14 hari putuskan pendaftaran parti veteran

    Mahkamah beri menteri 14 hari putuskan pendaftaran parti veteran

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memberi tempoh 14 hari kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk memutuskan rayuan sebuah parti politik berasaskan veteran supaya didaftarkan secara rasmi.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Peguam Lim Wei Jiet berkata, Parti Kemakmuran Negara berjaya dalam permohonan semakan kehakiman terhadap Hamzah semalam.

    Lim berkata, pengasas parti itu memohon Jabatan Pendaftaran Pertubuhan untuk mendaftarkan parti itu pada 9 Mac 2021, tetapi permohonan itu ditolak pada 16 Mac.

    Katanya, pengasas itu kemudiannya merayu kepada menteri dalam negeri pada 25 Mac lalu, tetapi tiada keputusan dibuat selepas hampir enam bulan.

    “Dalam saman itu, pengasas terbabit mendakwa penangguhan sedemikian tidak munasabah, menyalahi undang-undang dan melanggar hak untuk menubuhkan persatuan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    “Mahkamah mengarahkan menteri itu membuat keputusan berhubung rayuan itu dalam tempoh 14 hari,” kata Lim dalam kenyataan.

    Dalam pada itu, Lim memberitahu FMT, menangguhkan rayuan yang dibuat pihak benar-benar berminat menubuhkan parti politik adalah “tidak demokratik, tidak adil dan tidak munasabah”.

    Beliau berharap Hamzah akan mempercepatkan rayuan oleh pihak yang mahu menubuhkan parti politik kerana ia akan memberi mereka masa untuk bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya.

    “Anak guam saya adalah veteran yang sudah berkorban dan menghabiskan kebanyakan masa dalam hidup mereka untuk mempertahankan keselamatan negara ini, dengan sebahagian daripada mereka berkhidmat sejak pemberontakan komunis.

    “Untuk memaksa mereka menunggu dan naik turun mahkamah pada usia mereka menunjukkan rasa tidak hormat terhadap pahlawan ini yang sudah berkhidmat kepada negara selama 30, 40 tahun.”

    Parti itu diketuai Brig-Gen (B) Abdullah Mohamed yang terbabit dalam operasi menentang komunis pada 1970-an dan 1980-an.

    Pengasas lain ialah veteran dari tentera darat, laut dan udara.

  • Wanita dipenjara 80 bulan tipu jual barangan elektrik tidak wujud

    Wanita dipenjara 80 bulan tipu jual barangan elektrik tidak wujud

    SEORANG wanita yang sedang menjalani hukuman penjara kerana menipu, hari ini dihukum penjara berjumlah 80 bulan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan menipu berhubung penjualan barangan elektrik yang tidak wujud.

    Majistret R.Salini menjatuhkan hukuman penjara 12, 14, 16, 18, dan 20 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Nurul Yasmin Rosli, 33, dan memerintahkan kesemua hukuman berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 7 Sept 2021.

    Ini bermakna wanita itu yang merupakan ibu kepada bayi berusia tujuh bulan itu, hanya perlu menjalani hukuman penjara 20 bulan.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, Nurul Yasmin didakwa dengan curang menipu lima individu, sehingga mendorong mereka membuat bayaran bagi pembelian barangan elektrik pelbagai jenama ke akaun Hong Leong Bank atas nama Melati Zainol, iaitu ibu tertuduh berjumlah RM5,235 namun tertuduh gagal menyerahkan barang tersebut.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar daerah Johor Bahru dari 16 Feb 2021 hingga 25 Jun 2021, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

    Berdasarkan fakta kes, kesemua mangsa diperdaya selepas menghubungi nombor WhatsApp yang tertera di laman Instagram ‘Beauty Saranghae’ sebelum membuat tempahan dan pembayaran, namun mereka tidak menerima sebarang barangan seperti ditawarkan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Pada 13 Sept tahun lepas, tertuduh dan ibunya, Melati, 55, didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor atas beberapa pertuduhan menipu berhubung penjualan barang elektrik dan perkakas dapur yang tidak wujud melibatkan kerugian berjumlah RM41,645.

    Pada 13 Ogos 2019 pula, Nurul Yasmin didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah, atas empat pertuduhan menipu pakej umrah membabitkan kerugian sebanyak RM12,000 pada 2012 dan 2013.

    Tertuduh kini menjalani hukuman penjara di Penjara Wanita Kajang, Selangor bagi pertuduhan menipu di Mahkamah Majistret Shah Alam.- BERNAMA

  • Mahkamah benar Muhammad Shafee pinda tarikh pelepasan sementara pasport ke Australia

    Mahkamah benar Muhammad Shafee pinda tarikh pelepasan sementara pasport ke Australia

    MAHKAMAH Tinggi Kuala lumpur hari ini membenarkan permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk meminda tarikh pelepasan pasport bagi membolehkannya menghadiri mesyuarat perundangan di Australia dengan peguam kanan dari United Kingdom.

    Muhammad Shafee memohon untuk meminda tarikh pelepasan sementara pasportnya itu kepada 15 Sept hingga 19 Sept 2022. Tarikh sebelum ini ialah 6 Sept hingga 12 Sept 2022.

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Muhammad Shafee itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut.

    Terdahulu, peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Muhammad Shafee berkata pihaknya memohon untuk meminda tarikh pelepasan sementara pasport anak guamnya dari 6-12 Sept 2022 kepada 15-19 Sept 2022 dan dipulangkan semula kepada mahkamah pada 22 Sept.

    “Tan Sri Muhammad Shafee perlu menangguhkan penerbangannya ke Australia kerana peguam kanan Geoffrey Robertson memerlukan sedikit masa untuk memahami dan menghalusi dokumen sebelum beliau bersedia untuk memberi nasihat serta cadangan kepada Tan Sri,” katanya.

    Muhammad Shafee, 70, peguam utama kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyerahkan pasportnya kepada mahkamah pada September 2018 selepas beliau sendiri didakwa di mahkamah.

    Permohonan bagi pelepasan sementara pasportnya untuk ke luar negara beberapa kali sebelum ini juga dibenarkan mahkamah.

    Muhammad Shafee didakwa atas dua pertuduhan menerima RM9.5 juta yang merupakan hasil aktiviti haram melalui dua cek yang dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

    Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kes berkenaan selepas memanggil lapan saksi pada perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021 dan hujahan lisan ditetapkan pada 15 Sept.- BERNAMA

  • Edar dadah: Peniaga alat ganti kenderaan terlepas hukuman gantung

    Edar dadah: Peniaga alat ganti kenderaan terlepas hukuman gantung

    SEORANG peniaga alat ganti kenderaan terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di Kota Bharu, hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar 342.3 gram methamphetamine empat tahun lepas.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh Wan Muhammad Azlan Wan Mahamod, 34.

    Mohamad Abazafree dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah menerusi isu berkaitan akses bilik tertuduh, kehadiran orang lain di kediaman tertuduh dan kewujudan sebuah kereta jenis Proton Satria di lokasi serbuan milik orang lain.

    “Tertuduh telah membuat pembelaan dengan keterangan bersumpah. Dalam keterangannya dari peringkat awal pendakwaan, seorang lelaki bernama Mohd Harif Mohd Azmi telah datang tidur di bilik tertuduh sebelum kediaman itu diserbu polis,” katanya.

    Wan Muhammad Azlan didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di dalam bilik di sebuah rumah di Kampung Kepas, Jalan Banggol Jering, Pasir Mas lebih kurang 4.10 pagi pada 2 Sept 2018.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Norazlinawati Mohd Arshad manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed.- BERNAMA

  • Ahli perniagaan didakwa cuba tipu, menyamar setiausaha sulit Tengku Mahkota Pahang

    Ahli perniagaan didakwa cuba tipu, menyamar setiausaha sulit Tengku Mahkota Pahang

    SEORANG ahli perniagaan berpangkat Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan cuba menipu dengan menyamar sebagai Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, dua tahun lepas.

    Datuk Redzuan Zainuddin, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nadia Othman.

    Redzuan didakwa cuba menipu pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) anak syarikat sebuah bank, Abd Samad Khalid, 58, dengan menyamar dan mempercayai bahawa tertuduh sebagai Setiausaha Sulit  kepada (SUS) Tengku Mahkota Pahang/Pemangku Raja Pahang sehingga mendorong mangsa supaya melantik tertuduh sebagai Ahli Pemegang Amanah Yayasan Bank Rakyat.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara 1, Menara Kembar Bank Rakyat, Brickfields di sini pada 2.14 petang, 27 Mac 2020, mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit menawarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh manakala peguam Ramalinggam yang mewakili Redzuan memohon jaminan paling minimum dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai lapan anak.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Okt untuk sebutan semula kes.- BERNAMA

  • Saman guru: ‘Cikgu JJ’ kerap ponteng kelas dan bocorkan soalan – Saksi

    Saman guru: ‘Cikgu JJ’ kerap ponteng kelas dan bocorkan soalan – Saksi

    SEORANG bekas pelajar memberitahu Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam bahawa guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, di Kota Belud yang didakwa tidak masuk ke kelas untuk mengajar selama tujuh bulan, turut membocorkan soalan peperiksaan.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Suriana Mohammad Salleh, 21, yang memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Leonard David Shim berkata, perkara itu berlaku pada 2017 ketika beliau berada di kelas Tingkatan 4 Sains Sukan sekolah berkenaan, selepas cikgu terbabit Mohd Jainal Jamran (defendan pertama) sering tidak masuk ke kelas mereka untuk mengajar.

    Katanya, beliau dan rakannya Nur Natasha telah menemui seorang guru, Cikgu Norhana, untuk membuat aduan selepas Jainal begitu lama gagal masuk ke kelas untuk mengajar mereka, namun tiada tindakan diambil.

    “Saya letakkan buku kawalan kelas di meja Cikgu Norhana supaya dia boleh melihat bukti Cikgu JJ (defendan pertama) tidak masuk mengajar kelas kami dan telah membocorkan soalan peperiksaan mata pelajaran bahasa Inggeris,” katanya menerusi kenyataan saksi.

    Suriana adalah bekas rakan sekelas kepada tiga plaintif, Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali, dan Calvina Angayung yang memfailkan saman kerana mendakwa Jainal gagal mengajar mereka dalam kelas bahasa Inggeris antara Mac hingga November 2017.

    Turut dinamakan sebagai defendan, pengetua SMK Taun Gusi ketika itu Suid Hanapi, ketua pengarah pendidikan, menteri pendidikan dan kerajaan.

    Terdahulu, saksi pertama Nurul Afirah Zainal Abidin, 20, yang juga bekas pelajar kelas sama memberitahu mahkamah bahawa “Mr JJ” merupakan guru yang mengajar subjek bahasa Inggeris.

    “Saya ingat, pada masa-masa dia masuk kelas kami, Mr JJ tidak mesra dan selalu marah-marah. Saya dapat bandingkan kelakuan dia (dalam kelas 4 Sains Sukan) dan dengan kelas lain, contohnya kelas 4 Prinsip Akaun yang bersebelahan dengan kelas kami. Dengan kelas lain dia lebih mesra.

    “Saya ingat ada sekali saya dan rakan sekelas pergi panggil dia untuk masuk kelas mengajar, tapi pada masa itu dia cakap dengan kami dia ada hal dan… tidak masuk kelas kami,” katanya menerusi kenyataan saksi.

    Nurul Afirah berkata, beliau dan rakannya pernah mengadu kepada dua guru lain berhubung perkara itu, namun dinasihatkan supaya membiarkannya saja kerana guru terbabit tidak mahu masuk campur dalam hal “Mr JJ”.

    Perbicaraan ditangguhkan sehingga 23 September depan dengan beberapa lagi saksi dijangka memberi keterangan bagi pihak plaintif.

    Ketiga-tiga plantif diwakili peguam Roxana Jamaludin, Shiren Sikayun, Jubili Anilik dan Dominic J Omok manakala defendan diwakil Peguam Kanan Persekutuan Mohd Hafizi Abdul Halim dan Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir.

  • Shahrir Samad tidak tahu sumber wang RM1 juta diterima daripada Najib

    Shahrir Samad tidak tahu sumber wang RM1 juta diterima daripada Najib

    SEORANG pengurus bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Tan Sri Shahrir Ab Samad, tidak mengetahui daripada mana bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperoleh wang RM1 juta, yang diberikan kepada bekas pengerusi Felda itu.

    Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 43, yang mengesahkan perkara itu berkata beliau yang berpengalaman dalam bidang perbankan selama 12 tahun, juga tidak mengetahui sumber wang tersebut.

    Beliau berkata demikian ketika disoal balas peguam yang mewakili Shahrir Tan Sri Dzulkifli Ahmad, pada perbicaraan Shahrir yang berhadapan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib, kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Dzulkifli: Sebagai pegawai bank yang berpengalaman, jika cek bank tersebut (RM1 juta) ditunaikan bermakna tiada apa-apa isu berkenaan sumber wang tersebut.

    Uma Devi: Ya, pada ketika itu tiada (isu).

    Dzulkifli: Cik Uma boleh mengesahkan cek ini tiada masalah, apatah lagi Tan Sri Shahrir juga boleh beranggapan bahawa cek tersebut tiada masalah ketika menerima dan memasukkan (wang) ke dalam akaunnya.

    Uma Devi: Ya.

    Selain itu, Uma Devi bersetuju dengan Dzulkifli bahawa pihak LHDN tidak merakam percakapannya, memandangkan kes itu berkaitan dengan pengubahan wang haram yang mana Shahrir didakwa tidak melaporkan pendapatan sebenar kepada LHDN, bukan melibatkan rasuah.

    Kata saksi itu, hanya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang merakam percakapannya.

    Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan, yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967,  iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek, yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

    Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok.-  BERNAMA

  • Bekas isteri SM Faisal gagal cabar prosiding komital di Mahkamah Syariah

    Bekas isteri SM Faisal gagal cabar prosiding komital di Mahkamah Syariah

    BEKAS isteri ahli perniagaan Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal gagal memperoleh kebenaran bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Syariah Kuala Lumpur yang memulakan prosiding komital terhadapnya.

    Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Emilia Hanafi.

    Peguam Persekutuan Mohammad Sallehuddin Md Ali, yang mewakili AGC, berkata hakim itu memutuskan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai  bidang kuasa untuk memulakan prosiding komital sebagaimana termaktub dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998.

    “Prosiding dan keputusan Mahkamah Syariah tidak boleh disemak oleh Mahkamah Sivil berdasarkan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Keputusan permohonan itu disampaikan melalui e-mel.

    Mohammad Sallehuddin berkata Ahmad Kamal juga mendapati semakan kehakiman itu difailkan di luar tempoh yang ditetapkan kerana keputusan Mahkamah Syariah berhubung perintah komital dibuat pada 9 Feb lepas namun Emilia memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran pada 8 Jun.

    Prosiding komital terhadap Emilia, 43, adalah berhubung tindakan beliau melanggar perintah mahkamah mengenai hak lawatan SM Faisal antaranya membabitkan hak bermalam dan lokasi untuk ahli perniagaan itu mengambil tiga anak mereka.

    Menurut permohonan semakan kehakiman itu, Emilia tidak tinggal atau bermastautin di Wilayah Persekutuan dan semasa prosiding hadhanah difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 23 Julai 2018, beliau tinggal atau bermastautin di Kajang.

    Permohonan itu mendakwa Seksyen 4 Akta Undang-Undang Keluarga (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 adalah terpakai untuk semua orang Islam yang tinggal dalam Wilayah Persekutuan dan yang bermastautin dalam Wilayah Persekutuan tetapi Emilia tinggal di luar Wilayah Persekutuan.

    Emilia memohon deklarasi bahawa Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar serta menghukum mana-mana individu yang menghina mahkamah sebaliknya bidang kuasa itu adalah hak eksklusif mahkamah sivil di peringkat Mahkamah Persekutuan, Rayuan dan Tinggi berdasarkan Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan.- BERNAMA