Tag: Mahkamah

  • Sanusi enggan mohon maaf, mahu jumpa Anwar di mahkamah

    Sanusi enggan mohon maaf, mahu jumpa Anwar di mahkamah

    PENGARAH Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau tidak akan memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa membayangkan presiden PKR itu berperwatakan tidak bermoral.

    “Saya tidak mahu (meminta maaf), saya ingin jumpa (beliau) di mahkamah.

    “Saya tidak menuduhnya. Saya cuma komen mengenai apa yang berlaku (kes mahkamah). Semua orang tahu (mengenainya),” katanya yang merujuk sabitan kes liwat pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

    Anwar menerima pengampunan diraja penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Jun 2018 bagi tiga sabitan terhadapnya iaitu satu tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan liwat atas alasan berlakunya “salah laksana keadilan”.

    Semalam, Anwar menghantar surat tuntutan kepada pemimpin Pas itu supaya segera menarik balik ucapan yang disifatkannya berunsur fitnah.

    Sanusi dikatakan telah membuat kenyataan itu pada satu ceramah menyokong calon Perikatan Nasional (PN) yang juga bekas Ahli Parlimen Tambun Ahmad Faizal Azumu, menurut surat tuntutan itu.

    Bagaimanapun, di ceramah untuk calon PN Ahmad Tarmizi Sulaiman di Sik malam tadi, Sanusi berkata beliau belum menerima surat tuntutan daripada peguam Anwar, SN Nair.

    Menteri Besar Kedah itu mengulangi kenyataannya bahawa hanya lelaki boleh menjadi Ahli Parlimen Sik.

    “Kedua-dua calon wanita (dari BN dan PH) tidak boleh (jadi Ahli Parlimen Sik). Sik memerlukan calon lelaki. Anda ada Ustaz Tarmizi di sini, pilih dia,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Sanusi baru-baru ini dikritik oleh pelbagai pemimpin berhubung kenyataannya mengenai calon wanita terutamanya daripada calon PH di Sik, Latipah Md Yatim, dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

  • PRU-15: Semua calon PN bebas rasuah – Azmin

    PRU-15: Semua calon PN bebas rasuah – Azmin

    Semua calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya umum ke-15 (PRU15) adalah bebas daripada amalan rasuah, kata Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Penyandang kerusi Parlimen Gombak itu berkata rakyat harus bijak memilih calon  supaya PN dapat membentuk kerajaan yang bersih, stabil dan bebas rasuah.

    “Calon-calon PN bersih daripada amalan rasuah dan tiada kes mahkamah melibatkan rasuah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Ceramah Rakyat PN di Teluk Kumbar, di sini, hari ini.

    Hadir sama Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff dan calon PN kerusi Parlimen Balik Pulau,  Mohd Harris Idaham Mohd Rashid.

    Sebaliknya, Azmin berkata beberapa calon daripada parti lain masih mempunyai kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.

    Menurutnya, mereka sepatutnya memberi laluan kepada tokoh-tokoh baharu sementara kes dibicarakan di mahkamah.

    Pada PRU15, 19 Nov ini, PN meletakkan wakil di kesemua 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang. – BERNAMA

  • Perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid ditangguh tahun depan

    Perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid ditangguh tahun depan

    PERBICARAAN kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) ditangguhkan ke Januari tahun depan sementara menunggu rayuan berhubung keputusan kenyataan saksi.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah melapangkan tarikh pendengaran itu hari ini dan esok serta 9 dan 10 Nov selepas peguam utama Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon untuk menangguhkan perbicaraan itu.

    Hakim menetapkan 21 hari untuk perbicaraan iaitu 16-19 Jan, 30-31 Jan, 7-9 Feb, 27-30 Mac, 10-13 April dan 15-18 Mei.

    Terdahulu, Hisyam berkata pihak pembelaan memohon untuk menangguhkan perbicaraan itu sementara menunggu keputusan rayuan Ahmad Zahid terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mendapatkan keterangan rekod 15 saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Beliau berkata rayuan itu dijadual didengar pada 14 Nov di Mahkamah Rayuan.

    “Apa sahaja keputusan Mahkamah Rayuan, ini akan membantu pihak pembelaan menentukan saksi-saksi yang kami panggil di hadapan Yang Arif.

    “Terdapat beberapa saksi yang ditawarkan oleh pihak pembelaan yang akan kami tumpukan tetapi kami memerlukan panduan daripada Mahkamah Rayuan sama ada kami boleh mendapatkan kenyataan mereka atau sebaliknya, jadi kami dalam dilema. Atas nama keadilan, kami meminta mahkamah menunggu keputusan pada 14 Nov,” kata peguam itu.

    Beliau juga berkata seorang saksi dari Bagan Datuk yang sepatutnya memberi keterangan hari ini tidak sihat dan pihak pembelaan tidak mempunyai saksi lain untuk dipanggil buat masa ini.

    Setakat ini pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid pada perbicaraan kes bela dirinya.

    Ahmad Zahid, 69, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB. – BERNAMA

  • Pengubahan wang haram RM9.5 juta: Shafee bebas atau bela diri esok

    Pengubahan wang haram RM9.5 juta: Shafee bebas atau bela diri esok

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan esok, kes Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak dan membuat penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dijangka menyampaikan keputusan sama ada memanggil Muhammad Shafee, 70,  membela diri atau dibebaskan atas empat pertuduhan itu pada 9 pagi.

    Pada 12 Mei lepas, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil  lapan saksi pada perbicaraan yang bermula 21 Mei 2021.

    Antara saksi  itu ialah Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan R.Uma Devi, Pengurus Cawangan CIMB Bank Bukit Tunku Rosnita Ahmad, bekas pegawai LHDN Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad dan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Farid Jabar.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz manakala Muhammad Shafee diwakili peguam Harvinderjit Singh, Farhan Read dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

    Pada 13 Sept 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib yang telah dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

    Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 Sept 2013 dan 17 Feb 2014.

    Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Peguam itu juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata tidak betul yang  bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

    Bagi pertuduhan itu, dia didakwa meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 13 Sept 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan yang diterima pada 17 Feb 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Najib yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh, yang mana tertuduh dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

    Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Bela diri atau bebas, keputusan kes mahkamah Syed Saddiq esok

    Bela diri atau bebas, keputusan kes mahkamah Syed Saddiq esok

    KEPUTUSAN sama ada penyandang kerusi Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram akan diketahui esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid dijadualkan membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan pada 9.30 pagi.

    Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Syed Saddiq, 29, maka beliau akan dipanggil membela diri, manakala jika sebaliknya presiden MUDA itu akan dilepas dan dibebaskan.

    Pada 27 Sept lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 21 Jun manakala pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 6 Okt.

    Antara saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah ibu dan bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta Rafiq Hakim Razali iaitu bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada)  serta Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Hidayah Kamarudin, Syahmeizy Sulong dan Asbi Munip.

    Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali manakala peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

    Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

    Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Tiga bekas anggota TLDM kekal dipenjara 25 tahun sebabkan kematian rakan

    Tiga bekas anggota TLDM kekal dipenjara 25 tahun sebabkan kematian rakan

    MAHKAMAH Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 25 tahun terhadap tiga bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang didapati bersalah menyebabkan kematian seorang rakan mereka, sembilan tahun lepas.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Hanipah Farikullah, dalam keputusan sebulat suara, menolak rayuan akhir Muhammad Zahirudin Nordin, 33, Mohd Hood Mah Hasib, 33, dan Muhammad Faidhi Zani, 32, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    “Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat tiada percanggahan material di antara keterangan saksi pendakwaan… yang boleh menjejaskan kes pendakwaan.

    “Mahkamah juga mendapati keterangan dikemukakan oleh pihak pendakwaan mencukupi untuk menunjukkan niat bersama perayu-perayu. Oleh itu, sabitan terhadap ketiga-tiga perayu adalah selamat. Rayuan perayu-perayu ditolak dan hukuman (Mahkamah Tinggi) dikekalkan. 

    “Mahkamah dengan ini mengeluarkan waran pengkomitan terhadap ketiga-tiga perayu berkuat kuasa serta-merta,” kata Hanipah yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan. 

    Pada 29 Sept 2016, Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun ke atas ketiga-tiga tertuduh selepas didapati mereka bersalah menyebabkan kematian Asrup Raidin, 27.

    Mereka kemudian merayu di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang mengurangkan hukuman terhadap mereka daripada 30 tahun kepada 25 tahun.

    Kesemua tertuduh didakwa menyebabkan kematian mangsa di kawasan lagun Stesen Uniform TLDM di Pulau Terumbu Ubi, Labuan pada 7.36 malam 3 Dis 2013 mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

    Pada prosiding hari ini, peguam Aqeeb Lizalman Nordin Zamery dan Noor Akhza Ahmad Khairuddin mewakili Muhammad Zahirudin dan Mohd Hood manakala peguam Shahrul Nizam Azwir dan Muhammad Amin Abdullah mewakili Muhammad Faidhi.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ku Hayati Ku Haron. – BERNAMA

  • Cek tendang: Penceramah bebas mengaku tidak bersalah menipu

    Cek tendang: Penceramah bebas mengaku tidak bersalah menipu

    SEORANG penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban hari ini terhadap pertuduhan melakukan penipuan dengan menyerahkan cek tendang bagi urusan perkhidmatan fotostat kertas soalan peperiksaan melibatkan RM4,287.70, empat tahun lepas.

    Muzzamil Soliheen Musa, 45, juga penulis buku, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Melati Square, Putra Nilai, Nilai kira-kira 4 petang pada 14 Mei 2018.

    Dia dituduh memperdaya Ling Shin Hin bagi perkhidmatan fotostat kertas soalan peperiksaan sebuah sekolah rendah dengan menyerahkan sekeping cek bernilai RM4,287.70, tetapi cek itu dibatalkan.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dengan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Mustafha.

    Majistret Mohd Firdaus Saleh membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes.- BERNAMA

  • Penerima VSS Utusan berhak dapat bayaran penyelesaian – Mahkamah

    Penerima VSS Utusan berhak dapat bayaran penyelesaian – Mahkamah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengisytiharkan 29 harta milik Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) termasuk empat harta tambahan iaitu bangunan-bangunan di Jalan Chan Sow Lin, di Kuala Lumpur, dan kilang percetakan di Bangi, Selangor, dikategorikan sebagai harta-harta amanah.

    Keempat-empat harta itu terletak di Lot 187 dan 268, 46M, Sec 92, Jalan 5 Off Jalan Chan Sow Lin, No. 44, Jalan Utusan Off Jalan Chan Sow Lin, Lot 285, Jalan 5, Seksyen 92 Jalan Chan Sow Lin dan Lot 6, 3 Jalan P/10 Kawasan Perusahaan S/S10, Bangi.

    Sehubungan itu, mahkamah mencapai keputusan bekas kakitangan syarikat berkenaan yang terlibat dalam Skim Pemisahan Sementara (VSS) empat tahun lalu, berhak mendapat baki bayaran penyelesaian hasil penjualan hartanah milik syarikat tersebut.

    Hakim Nadzarin Wok Nordin dalam penghakimannya berpuas hati bahawa penerima VSS dikategorikan sebagai penerima manfaat (beneficiaries), bukan pemiutang.

    UMMB turut mempunyai empat anak syarikat iaitu Utusan Publications & Distributor Sdn. Bhd., U Print Sdn. Bhd., Utusan Land Sdn. Bhd., Juasa Holdings Sdn. Bhd. dan Mediamony Sdn. Bhd.

    “Oleh kerana mahkamah berpendapat penerima VSS adalah penerima manfaat harta-harta amanah, mereka tidak terlibat dalam proses likuidasi, jadi mereka berhak mendapat manfaat daripada harta tersebut,” kata Hakim Nadzarin, lapor Astro Awani.

    Keputusan itu dicapai dalam saman pemula yang difailkan oleh UHY Advisory iaitu pelikuidasi bagi pihak UMMB (dalam penggulungan sukarela pemiutang) bagi mendapat arahan mahkamah sama ada hartanah milik syarikat itu terhadap penyelesai untuk membayar wang penyelesaian VSS, diiktiraf sebagai harta-harta amanah.

    Dalam saman pemula tersebut, Rosmanizam Abdullah dan 159 pemegang VSS dinamakan sebagai defendan-defendan.

    Dalam keputusannya, Hakim Nadzarin turut berpendapat, UMMB dan anak-anak syarikatnya boleh diklasifikasikan sebagai entiti ekonomi perseorangan.

    Beliau berpuas hati, surat bertarikh 8 Oktober 2019 daripada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan (ketika itu), Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menyatakan, persetujuan kedua pihak dicapai bahawa pembayaran VSS akan dibuat menggunakan dana hasil penjualan hartanah milik Kumpulan Utusan.

    “Latar belakang ini menunjukkan bukti komitmen plaintif untuk menyelesaikan bayaran VSS.

    “Bukti di hadapan mahkamah apabila dibaca bersama menunjukkan hartanah lain milik plaintif dan/atau Kumpulan Utusan termasuk dalam definisi atau senarai harta amanah,” ujar hakim berkenaan.

    Beliau bagaimanapun menjelaskan, sebarang hartanah yang dicagarkan kepada bank atau institusi kewangan tertakluk kepada kedua-dua pihak tersebut.

    Hakim Nadzarin menambah, penerima VSS selaku penerima faedah harta amanah (selepas ditolak perkara-perkara seperti cukai keuntungan harta tanah, penilaian, yuran pelikuidasi, yuran guaman dan pelbagai bayaran) akan menerima bayaran penyelesaian yang akan dimasukkan ke dalam akaun firma guaman yang dilantik sebagai pemegang amanah VSS.

    Penghakiman itu menyatakan, seramai 709 kakitangan UMMB ditawarkan dan menerima VSS manakala Jawatankuasa Pemegang Amanah ditubuhkan pada 24 Disember 2018 bagi memastikan hasil jualan harta dimasukkan ke dalam akaun sebuah syarikat guaman selaku pemegang amanah.

    Menurut penghakiman tersebut, sebanyak lapan kali pembayaran dibuat oleh UMMB kepada bekas kakitangan manakala masih terdapat baki tunggakan sebanyak lebih RM59 juta perlu dijelaskan kepada penerima VSS.

  • Rasuah: Bekas Hakim Mahkamah Sesyen dipenjara, denda

    Rasuah: Bekas Hakim Mahkamah Sesyen dipenjara, denda

    SEORANG bekas Hakim Mahkamah Sesyen hari ini dihukum penjara enam bulan dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan rasuah berhubung prosiding mahkamah.

    Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Azmil Muntapha Abas, 48, iaitu bekas Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Mahkamah juga memerintahkan Azmil Muntapha dipenjara enam bulan lagi sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.

    Bagaimanapun, mahkamah turut membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menaikkan jumlah jaminan terhadap tertuduh daripada RM6,000 kepada RM12,000 selain memerintahkan notis rayuan difailkan selewat-lewatnya 21 Okt ini.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai Hakim Mahkamah Sesyen telah memperoleh untuk dirinya suatu barang berharga iaitu wang tunai sebanyak RM5,000, tanpa suatu balasan pada 8.22 malam, yang mana tertuduh mengetahui mempunyai hubungan dalam suatu prosiding yang berkaitan dengannya iaitu mengendalikan kes-kes jenayah bagi enam Orang Kena Tuduh (OKT).

    Enam OKT tersebut adalah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong yang masing-masing telah melakukan kesalahan di bawah subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan di mana Azmil Muntapha telah menjatuhkan hukuman denda terhadap kesemua mereka.

    Azmil Muntapha didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maybank Setia Alam 2, dekat sini pada 10 Mei 2018 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya  Allan Suman Pillai, Maziah Mohaide dan Mohd Shahrom Idris manakala tertuduh diwakili peguam Asmadi Hussin serta Azrul Zulkifli Stork.

    Seramai 24 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh sendiri dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada September 2021 dan berakhir pada Ogos lepas. – BERNAMA

  • Juruteknik mengaku bersalah tumbuk adik

    Juruteknik mengaku bersalah tumbuk adik

    SEORANG juruteknik mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kajang hari ini atas pertuduhan menumbuk muka dan lengan adik perempuannya minggu lepas.

    Majistret Syahrul Sazly Md Sain membenarkan Muhamad Farhan Mat Sahid, 31, diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Nov ini untuk menjatuhkan hukuman dan penyediaan fakta kes.

    Muhamad Farhan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nadiah Husna, 24, dengan menumbuk di muka dan kedua-dua lengan wanita itu di sebuah rumah di Taman Rakan di sini, 11 malam 13 Okt lepas.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran mencadangkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana bapanya mengalami strok dan ibunya baru dibenarkan keluar hospital. – BERNAMA