Tag: mahkamah rayuan

  • Liwat murid: Bekas guru pelatih dipenjara enam tahun, dua sebatan

    Liwat murid: Bekas guru pelatih dipenjara enam tahun, dua sebatan

    SEORANG bekas guru pelatih terpaksa menjalani hukuman penjara enam tahun selepas gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya untuk mengetepikan sabitan atas kesalahan meliwat seorang murid tahun enam pada 2016.

    Mohamad Harman Faiz Hassin, 30, yang dibebaskan dengan ikat jamin RM22,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya selesai, turut diperintah disebat dua kali.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara menolak rayuan Mohamad Harman terhadap sabitan kesalahan liwat yang dilakukan di sebuah bilik di asrama institut perguruan di Besut, Terengganu pada kira-kira 1 tengah hari, 17 Sept 2016.

    Hakim berkata Mahkamah Sesyen telah membuat dapatan yang betul berdasarkan bukti dan sabitan Mohamad Harman bagi kesalahan itu adalah selamat.

    Bagaimanapun mahkamah membenarkan rayuan Mohamad Harman supaya hukuman penjaranya dikurangkan daripada 10 tahun kepada enam tahun.

    Dalam keputusan mahkamah, hakim itu berkata mahkamah bersetuju untuk mengurangkan hukuman penjara terhadap Mohamad Harman memandangkan perayu (Mohamad Harman) masih muda ketika melakukan kesalahan itu dan juga adalah pesalah pertama.

    Kamaludin berkata penjara enam tahun itu juga akan mengambil kira tempoh Mohamad Harman menjalani hukumam penjara sebelum dia diberi jaminan oleh Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuannya diselesaikan.

    Panel hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan, turut mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen supaya Mohamad Harman menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas dia selesai menjalani hukuman penjara.

    Pada 5 Mac 2019, Mahkamah Sesyen mendapati Mohamad Harman bersalah atas tuduhan meliwat murid lelaki berusia 12 tahun ketika itu dan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan.

    Dia gagal dalam rayuannya terhadap sabitan di Mahkamah Tinggi namun hukumannya dikurangkan kepada 10 tahun penjara dan dua sebatan. Dia kemudiannya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

    Peguam Datuk Jasbeer Singh Kaura yang mewakili Mohamad Harman memberitahu media bahawa anak guamnya pernah menjalani hukuman penjara kira-kira tiga setengah bulan sebelum ini.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud.- BERNAMA

  • Bekas tentera dipenjara 24 tahun rogol,liwat anak perempuan

    Bekas tentera dipenjara 24 tahun rogol,liwat anak perempuan

    MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini memerintahkan seorang bekas tentera yang didapati bersalah merogol dan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap anak kandungnya lima tahun lepas menjalani hukuman penjara selama 24 tahun berkuat kuasa hari ini.

    Ini bermakna lelaki berusia 45 tahun itu terpaksa merengkok lebih lama dalam penjara selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, sebulat suara memerintahkan hukuman penjara 18 tahun dan enam tahun yang diputuskan berjalan secara serentak oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru sebelum ini, berjalan secara berasingan.

    Perayu yang menghadapi dua pertuduhan, perlu menjalani hukuman penjara 18 tahun terlebih dahulu dan apabila selesai hukuman itu, dia akan menjalani hukuman penjara enam tahun lagi, menjadikan jumlah penjara adalah 24 tahun. 

    Sebelum ini bekas tentera berpangkat sarjan itu dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan serta enam tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 27 Nov 2018 selepas didapati bersalah merogol anak perempuannya yang ketika itu berusia 17 tahun.

    Mahkamah Sesyen bagaimanapun memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak iaitu 18 tahun dengan 15 sebatan dan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 21 Jun 2020 mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

    Hakim Abdul Karim dalam penghakimannya berkata Hakim Mahkamah Sesyen dan Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan hukuman penjara terhadap lelaki itu berjalan secara serentak.

    “Kes rogol dan liwat adalah berbeza dan hukuman sepatutnya berjalan secara berturutan. Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman penjara secara serentak yang diputuskan oleh kedua-dua mahkamah berkenaan,” kata Hakim Abdul Karim selepas membenarkan rayuan silang oleh pihak pendakwaan terhadap hukuman penjara 18 tahun ke atas lelaki tersebut.

    Bagaimanapun, Hakim Abdul Karim, yang bersidang bersama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Lee Heng Cheong menolak rayuan lelaki itu terhadap sabitan dan hukuman selepas mendapati rayuan perayu tidak mempunyai merit.

    “Kedua-dua hakim Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi tidak melakukan apa-apa kesilapan dari segi undang-undang dan fakta untuk mewajarkan mahkamah ini campur tangan terhadap dapatan kedua-dua mahkamah itu. Oleh itu, rayuan perayu ditolak dan dapatan Hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Hakim Abdul Karim.

    Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru pada 2.30 pagi, pada 15 Mac 2016.

    Bagi kesalahan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan manakala bagi pendakwaan bagi kesalahan persetubuhan di luar tabii dikemukakan mengikut Seksyen 377 (B) Kanun Keseksaan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee manakala peguam Noordin Hussin mewakili lelaki berkenaan.- BERNAMA

  • Mahkamah Rayuan kekal denda RM20,000 kes guru cabul kehormatan murid

    Mahkamah Rayuan kekal denda RM20,000 kes guru cabul kehormatan murid

    MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini mengekalkan hukuman denda RM20,000 terhadap guru matematik yang didapati bersalah atas dua pertuduhan mencabul kehormatan seorang murid lelakinya berumur 11 tahun.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Suraya Othman membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Kamarul Azamin Mohamad terhadap sabitan dan hukuman dalam kes itu.

    Panel itu, yang juga terdiri daripada Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk M. Gunalan, turut menolak rayuan pendakwaan agar hukuman penjara dikenakan ke atas Kamarul Azamin.

    Dalam penghakimannya, Suraya berkata hukuman denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan yang dijatuhkan ke atas tertuduh adalah memadai.

    Beliau berkata Kamarul Azamin adalah pesalah pertama dan dia juga berdepan kemungkinan kehilangan pekerjaan serta pencen.

    Bagaimanapun, Suraya berkata sabitan terhadap Kamarul Azamin bagi kedua-dua pertuduhan adalah selamat kerana mangsa adalah saksi yang boleh dipercayai dan keterangan berhubung insiden yang berlaku di dalam bilik guru itu telah disokong oleh rakannya.

    Kamarul Azamin, 43, pada asalnya didakwa atas dua pertuduhan merangsang mangsa untuk melakukan kelucahan melampau di dalam bilik guru pada 4 Mei 2016 dan sekali lagi pada 6 Mei tahun sama di dalam bilik komputer di sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

    Pada 26 Dis 2018, Mahkamah Sesyen mendapati Kamarul Azamin bersalah atas kedua-dua pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dengan satu sebatan bagi setiap kesalahan serta memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu secara serentak.

    Kamarul Azamin kemudian merayu ke Mahkamah Tinggi yang menggantikan pertuduhan itu dengan mencabul kehormatan dan menjatuhkan hukuman denda RM10,000 ke atas Kamarul Azamin bagi setiap kesalahan atau penjara 10 bulan.

    Tertuduh diwakili peguam Taqiyuddin Yahya manakala Timbalan Pendakwa Raya How May Ling hadir bagi pihak pendakwaan.- BERNAMA