Tag: Mahkamah Pilihan Raya

  • Petisyen dibatalkan, Radzi Jidin kekal Ahli Parlimen Putrajaya

    Petisyen dibatalkan, Radzi Jidin kekal Ahli Parlimen Putrajaya

    DATUK Dr Radzi Jidin daripada Perikatan Nasional (PN) kekal sebagai Ahli Parlimen Putrajaya selepas Mahkamah Pilihan Raya membenarkan pemimpin Bersatu itu membatalkan petisyen difailkan pengundi kawasan itu.

    Hakim Faizah Jamaludin ketika membenarkan bantahan awal itu berkata, petisyen pilihan raya difailkan Naib Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim tidak mempunyai fakta, khususnya menyokong dakwaan rasuah bagi memastikan Radzi memenangi kerusi itu.

    “Saya mendapati pempetisyen tidak boleh meneruskan terhadap kausa tindakannya di bawah Seksyen 32 (c) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” kata hakim dalam keputusan disampaikan secara dalam talian, lapor Free Malaysia Today.

    Pada PRU15 Radzi memenangi Parlimen Putrajaya dengan majoriti 2,310 undi.

    Faizah berkata, dakwaan itu tidak mengandungi fakta dan butiran berkaitan rasuah, menjadikannya mustahil untuk Faisal membuktikan kesnya di luar keraguan munasabah jika perbicaraan diadakan.

    “Oleh itu, saya dapati petisyen itu tidak mematuhi Peraturan 4(1)(b), Peraturan Petisyen Pilihan raya dan oleh itu ia didapati cacat,” katanya.

    Beliau berkata, sebagai hakim pilihan raya, beliau terkekang oleh kuasa secara nyata terletak padanya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    “Kegagalan pempetisyen untuk mematuhi rayuan dan prosedur telah mengakibatkan kecacatan bidang kuasa menyebabkan saya tidak dapat mendengar petisyen itu,” tambahnya.

    Mahkamah kemudian menganugerahkan kos sebanyak RM20,000 kepada Radzi, yang diwakili Yusfarizal Yussoff.

    Dalam samannya yang difailkan pada 26 Jan, Faisal mendakwa pengundi disogok RM150 setiap seorang untuk memastikan Radzi memenangi kerusi itu.

    Pada PRU, Radzi, bekas menteri pendidikan, menewaskan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, lebih dikenali sebagai Ku Nan, dengan majoriti 2,310 undi dalam pertembungan enam penjuru.

    Radzi memperoleh 16,002 undi manakala Tengku Adnan, yang cuba mempertahankan kerusi disandang sejak 2004, memperoleh 13,692 undi.

    Faisal mahu keputusan pilihan raya itu dibatalkan dan pilihan raya kecil diadakan.

    Bagaimanapun, Radzi memfailkan bantahan awal pada 12 Feb untuk membatalkan petisyen itu atas alasan ia tidak mempunyai butiran mengenai dakwaan rasuah.

    Peguam Hafarizam Harun, Norhazira Abu Hayan dan Amin Othman mewakili Faisal.

  • Mahkamah tolak petisyen BN, Che Alias kekal MP Kemaman

    Mahkamah tolak petisyen BN, Che Alias kekal MP Kemaman

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Terengganu hari ini menolak petisyen pilihan raya yang difailkan calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan kemenangan Che Alias Abd Hamid daripada Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu.

    Hakim Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas menolak petisyen yang difailkan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said dan memerintahkannya membayar kos perundangan RM30,000 kepada Che Alias selaku responden.

    Setiausaha Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Pas Pusat, Ahmad Lutfi Awang berkata, hakim bersetuju fakta-fakta yang diplidkan untuk menyokong dakwaan sogokan dan rasuah pilihan raya yang terkandung dalam petisyen sebagai cacat, defektif dan tidak sah.

    “Ini kerana daripada tujuh program rasmi yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu iaitu Bantuan i-Belia, i-Siswa dan Sumbangan kepada OKU dan Asnaf tidak mengandungi butiran rasuah atau sogokan.

    “Tiada butiran berkenaan ejen responden, tiada maklumat penerima, tiada fakta yang menunjukkan penerima adalah juga pengundi berdaftar, tiada butiran ucapan YB Exco yang boleh dianggap menyumbang kepada perlakuan rasuah atau sogokan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Harakahdaily.

    Ahmad Lutfi menjelaskan, menurut mahkamah, memandangkan dakwaan sogokan atau rasuah adalah bersifat ‘quasi-criminal’ (separa jenayah), maka adalah penting bagi pempetisyen memplidkan butiran fakta yang lengkap, terperinci dan sempurna agar responden diberikan keadilan yang seluas-luasnya.

    “Kecacatan petisyen pempetisyen dalam membekalkan fakta-fakta berkenaan, tidak boleh dikompromikan dan memastikan keadilan dalam perbicaraan. Justeru petisyen tidak wajar dibenarkan melalui proses perbicaraan dalam keadaan pempetisyen sendiri samar dengan dakwaan sogokon atau rasuah pilihan raya.

    “Atas asas itu mahkamah memutuskan bahawa petisyen ini adalah cacat, defektif dan tidak sah.

    “Sehubungan dengan itu mahkamah menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi mengistiharkan bahawa pemilihan responden selaku Ahli Parlimen bagi P.040 Kemaman adalah sah,” kata Ahmad Lutfi.

    Walau bagaimanapun, pempetisyen mempunyai peluang dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan itu untuk merayu terus ke Mahkamah Persekutuan.

    Che Alias Abd Hamid selaku responden diwakili peguam Saifuddin Othman, Wan Rohimi Wan Daud dan Mohd Nasir Embong.

    Untuk rekod, pada PRU-15 lalu, Che Alias yang bertanding atas tiket Pas, menang dengan majoriti 27,179 undi dalam pertandingan empat penjuru.

    Che Alias mendapat undi sebanyak 65,714 menewaskan Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535, dua lagi calon yang bertanding di parlimen berkenaan, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi. 

  • Petisyen calon BN ditolak, Mas Ermieyati sah Ahli Parlimen Masjid Tanah

    Petisyen calon BN ditolak, Mas Ermieyati sah Ahli Parlimen Masjid Tanah

    MAHKAMAH Pilihan Raya hari ini, mengisytiharkan pemilihan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu adalah sah.

    Memetik laporan Berita Harian, Hakim, Datuk Anselm Charles Fernandis, membuat keputusan itu selepas membatalkan dengan kos terhadap petisyen pilihan raya yang difailkan bekas calon Barisan Nasional (BN) kerusi itu, Abdul Hakim Abdul Wahid, bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati (responden).

    Dalam keputusannya yang berpandukan Seksyen 36 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, hakim berkata, mahkamah menerima dua daripada empat isu dibangkitkan peguam responden iaitu petisyen difailkan di luar waktu ditetapkan mengikut seksyen 38 akta sama.

    Anselm berkata, mahkamah juga mendapati pempetisyen gagal memperincikan dakwaan rasuah, termasuk fakta bagaimana beberapa individu dinamakan dalam petisyen itu mempunyai hubungan dengan responden atau dilantik sebagai ejennya.

    Pada 3 Januari lalu, Abdul Hakim memfailkan petisyen itu di Mahkamah Pilihan Raya Melaka bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) atas dakwaan berlaku sogokan berbentuk wang dan jamuan bagi meraih undi pada PRU15 lalu.