Tag: Mahathir mohd Rais

  • Semak semula harga pakej langganan internet

    Semak semula harga pakej langganan internet

    KEMENTERIAN Komunikasi dan Digital (KKD) perlu melakukan semakan semula terhadap harga pakej langganan internet yang ditawarkan oleh semua syarikat telekomunikasi agar berbaloi dengan harga yang dibayar.

    Menurut Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais, langkah itu perlu bagi memastikan pelanggan membayar dengan harga yang sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan.

    “Kemudahan internet sudah menjadi keperluan seisi rumah dan bukan ditakrifkan lagi sebagai kehendak tetapi keperluan.

    “Negara sudah mencapai era di mana semua perkara dilakukan menerusi kemudahan internet dari segi pendidikan anak-anak kita, pengajaran guru malah bidang pekerjaan juga memerlukan internet sebagai medium utama pelaksanaannya, “ katanya dalam satu kenyataan, semalam, lapor BeritaBersatu.

    Mahathir berkata, ketika ini harga pakej internet yang ditawarkan agak mahal dan tidak berbaloi dengan servis yang diberikan.

    “Kena ada penyelarasan semula harga dan pakej internet, ada syarikat telekomunikasi yang tawar 30 megabait sesaat (Mbps) dengan harga agak mahal tapi ada yang bagi lebih daripada 30 mbps harga murah, jadi apa bezanya mahal dan murah ini sedangkan perkhidmatan yang diberikan sama,” katanya.

    Menurutnya, keadaan itu jauh berbeza dengan negara jiran apabila mereka menawarkan internet liputan 5G yang jauh lebih rendah berbanding negara ini.

    “Kita liputan 4G pun masih tersangkut-sangkut, sudahlah mahal, 5G pula masih belum menyeluruh jadi Menteri KKD, Fahmi Fadzil kena lihat semua demi kemudahan untuk rakyat,” kata Mahathir.

    Mengulas lanjut mengenai Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga lebih murah iaitu RM5 sebulan yang akan berada di pasaran Februari tahun depan, beliau berkata, ia adalah perkembangan yang baik.

    “Cuma kena pastikan tiada lagi cas-cas tersembunyi yang selama ini membebani pengguna kerana banyak yang tertipu dan akhirnya mereka terpaksa mengeluarkan belanja besar membayar bil yang tidak sepatutnya setiap bulan,” katanya.

    Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Rabu mengumumkan Pakej Perpaduan Prabayar Internet Mudah Alih pada harga lebih murah iaitu RM5.

    Beliau berkata, pelaksanaan pakej itu melibatkan lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu CelcomDigi, Maxis, UMobile, Telekom Malaysia (TM) dan YTL Communications.

    Katanya, golongan yang disasarkan ialah belia berumur hingga 30 tahun, B40, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan veteran pasukan beruniform.

    Difahamkan pengguna bakal menikmati penjimatan harga sebanyak 50 peratus berbanding pakej sedia ada iaitu dari RM10 sebulan kepada hanya RM5 sebulan.

  • Tak perlu cari salah, fokus bela nasib rakyat

    Tak perlu cari salah, fokus bela nasib rakyat

    PARTI politik di negara ini tidak perlu mencari salah antara satu sama lain sebaliknya perlu fokus membela nasib rakyat sejurus Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) berakhir.

    Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais berkata, sama ada yang menang atau kalah, mereka perlu berhenti menuding jari mencari kelemahan mana-mana pihak.

    Beliau menjelaskan, dendam politik hanya akan membinasakan dan menyebabkan perpaduan yang baharu hendak dibentuk akan musnah.

    “Saya berpandangan bahawa apa sahaja parti politik sekalipun sama ada yang menguasai kerajaan ataupun tidak perlu bersama -sama mencambah idea membantu menghasilkan dasar yang membela nasib rakyat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Mahathir mengulas lanjut memberitahu, ketika kempen PRU-15, janji menerusi manifesto diwujudkan oleh semua parti politik untuk meyakinkan pengundi mereka adalah pilihan terbaik.

    “Sekarang adalah waktu untuk masing-masing mengotakan janji itu demi menghargai pengundi yang menyokong dan memilih kita sebagai wadah perjuangan agar masalah dan rintihan mereka didengari dan dibantu,” katanya.

    Menurutnya, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Bajet 2023 disemak semula oleh kerajaan, ia sebenarnya menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat.

    “Rakyat sebenarnya tidak perlu diseksa lagi dengan pemanjangan perbincangan Bajet 2023,” jelasnya, lapor BeritaBersatu.

    Dalam pada itu Mahathir berkata, kerajaan harus merangka semula sistem pendidikan semasa kepada sistem yang lebih baharu dan efisien bagi memastikan mutu pendidikan negara pada tahap terbaik.

    “Sebenarnya mereka (pelajar) perlukan sokongan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, dari sekolah berasrama penuh hinggalah ke peringkat universiti,” ujarnya.

  • PRU-15: Kempen secara sihat, jangan ikut emosi

    PRU-15: Kempen secara sihat, jangan ikut emosi

    AHLI serta penyokong Perikatan Nasional (PN) diminta berkempen secara sihat dan tidak mengikut emosi, kata Ketua Penerangan PN Wilayah Persekutuan, Mahathir Mohd Rais.

    Beliau berkata, laporan kes bahan kempen calon dirosakkan di beberapa lokasi di ibu negara tidak akan berlaku jika penyokong calon bertanding bertenang dan berkempen dengan aman.

    “Saya sering mengingatkan ahli-ahli parti termasuk penyokong PN sendiri supaya tidak melakukan provokasi ataupun apa sahaja yang boleh merencatkan suasana berkempen,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai insiden merosakkan bahan kempen yang berlaku di beberapa lokasi di ibu negara sejak bermulanya kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Setakat ini saya tidak menerima apa-apa aduan berkenaan bahan kempen PN yang dirosakkan di Wilayah Persekutuan,” ujarnya.

    Beliau yang juga Ketua Pengarah Bilik Gerakan PN Wilayah Persekutuan berkata, insiden merosakkan bahan kempen hanya akan menggagalkan negara meraikan demokrasi terpimpin.

    “Jangan lakukan sesuatu yang bukan budaya kita, berlainan ideologi bukan bermaksud bermusuh buat selama-selamanya, kita ada agama dan setiap tindakan itu akan memberi contoh kepada generasi akan datang,” jelas beliau, lapor portal BeritaBersatu.

    Pada Selasa, polis membuka kertas siasatan dan sedang mengesan pelaku yang merosakkan bendera serta poster BN di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian berlaku di persimpangan Jalan Athinahpan dan jambatan Jalan Burhanuddin Helmi 1.

    Selain itu, tiga poster dan gegantung calon PH Parlimen Segambut, Hannah Yeoh telah dirosakkan individu tidak bertanggungjawab. Dalam kejadian itu, bahan kempen yang digantung di tepi jalan telah dikoyak dan digunting.