Tag: Mah Hang Soon

  • Rusuhan: Tokong minta maaf, tarik balik tuntutan tanah

    Rusuhan: Tokong minta maaf, tarik balik tuntutan tanah

    SUSULAN insiden rusuhan pada 28 September lalu, Tokong Chee How di Salak Selatan, Kuala Lumpur meminta maaf kepada pihak berkuasa dan orang ramai.

    Memetik laporan Malaysiakini, pihak tokong berkenaan berkata, mereka akan menarik semula tuntutan terhadap tanah tersebut dan akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pendidikan.

    “Kami dengan rasa amat kesal dan memohon maaf berhubung kekeliruan dan kontroversi yang timbul dari insiden itu.

    “Kami akan menyerahkan kunci pagar yang berdekatan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Kementerian Pendidikan agar mereka dapat melakukan kerja-kerja pembinaan yang sewajarnya,” kata pengurusan tokong itu dalam satu kenyataan hari ini.

    Setakat ini, seramai 24 individu telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan di depan tokong berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari kejadian berkata, kira-kira pukul 11.45 pagi hingga 4 petang, satu operasi telah dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur untuk membina pagar penghadang ‘hoarding’ bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah.

    Menurut beliau, dalam operasi tersebut pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan.

    “Semasa operasi sedang dijalankan terdapat lebih kurang 30 orang lelaki dan perempuan membawa kayu dan besi.

    “Kumpulan ini telah bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian.

    “Kes disiasat dibawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Polis menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut.

    Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, beliau menghargai usaha presiden Tokong Chee How, Yap Chee Fong yang memohon maaf dan menjelaskan situasi itu kepadanya.

    Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pertemuan diadakan antara kementeriannya, Pejabat Tanah dan Galian, pihak berkuasa tempatan, serta pihak-pihak yang terlibat untuk menjelaskan pembinaan sekolah menengah baharu di sebelah tokong tersebut.

    Hang Soon berkata, sekolah itu akan memberi manfaat kepada keperluan penduduk setempat kerana 7,000 unit rumah program perumahan rakyat (PPR) akan dibina berdekatan lokasi tersebut.

    Beliau menambah bahawa rancangan projek tersebut bermula pada tahun 2017 dan kementerian mendapati bahawa tanah rizab sekolah itu adalah lokasi paling strategik untuk membina sekolah menengah baru.

    “Kejadian yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu telah menimbulkan polemik dan provokasi, diputar belit dengan fakta sebenar.

    “Oleh itu, berdasarkan kenyataan dari Yap sebagai presiden tokong, saya menggesa supaya semua pihak untuk melihat kejadian ini secara menyeluruh dan rasional untuk kesejahteraan semua.

    “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada tokong yang berjanji untuk menyerahkan kunci pagar dan tanah itu kepada Pejabat Tanah dan Galian dan Kementerian Pendidikan kerana meneruskan kerja-kerja,” jelasnya.

  • Kurangkan penggunaan penyaman udara elak penularan Covid-19 di sekolah

    Kurangkan penggunaan penyaman udara elak penularan Covid-19 di sekolah

    PIHAK pengurusan sekolah dinasihatkan supaya mengurangkan penggunaan penyaman udara bagi memastikan sistem pengudaraan dan kualiti udara yang baik sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan penularan COVID-19 apabila sesi persekolahan kembali dibuka kelak.

    Timbalan Menteri Pendidikan 1 Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kadar suhu yang dinasihatkan adalah antara 23 hingga 26 darjah Celsius sekiranya penyaman udara masih digunakan di bangunan sekolah.

    “Kita nasihatkan supaya mengurangkan penggunaan penyaman udara dan suhu jangan sejuk sangat (jika guna), yang paling penting adalah pengudaraan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di pusat pemberian vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City di sini, hari ini.

    Dr Mah berkata pihaknya sedang melakukan pemantauan bagi memastikan setiap sekolah dan institusi pendidikan mempunyai sistem pengudaraan yang baik bagi mengelakkan penularan COVID-19 sebagai antara persediaan pembukaan semula sesi persekolahan.

    Sementara itu, ditanya sama ada terdapat pelajar sekolah atau ibu bapa yang enggan membenarkan anak-anak menerima vaksin COVID-19, beliau berkata kementerian masih berada di peringkat awal pelaksanaan PICK Remaja untuk membuat penilaian berkenaan.

    “Yang kita nampak pada keseluruhan pelajar dan ibu bapa sangat bersedia dan teruja untuk menerima vaksin.

    “Setahu saya tiada bantahan diterima oleh mereka yang tidak mahu menerima vaksin,” katanya.

    Sehubungan itu, Dr Mah berkata maklumat yang betul dan hebahan berhubung vaksinasi perlu dipergiatkan bagi menggalakkan pelajar dan ibu bapa membawa anak-anak mendapatkan suntikan vaksin demi keselamatan ketika mengikuti pembelajaran di sekolah.

    Pembukaan sekolah akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 3 Okt ini khususnya pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.

    Rabu lepas, Kementerian Kesihatan memberi penekanan dan panduan kepada orang ramai berhubung kepentingan sistem pengudaraan dan kualiti udara dalaman yang baik bagi membendung penularan COVID-19.

    Terdahulu, seramai 127 pelajar daripada 570 orang di sekolah berkenaan menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada program bermula pukul 9 pagi tadi yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia Perak Ahmad Saidi Mohamad Daud.-BERNAMA