Tag: Madinah

  • 2,700 jemaah Malaysia tiba di Madinah sejak 4 Jun

    2,700 jemaah Malaysia tiba di Madinah sejak 4 Jun

    Daripada ZALINA MAIZAN NGAH
    haramain

    SERAMAI 2,700 jemaah haji Malaysia telah tiba di Madinah menerusi 10 penerbangan sejak 4 Jun lepas.

    Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, kesemua mereka sudah mula bergerak ke Makkah secara berperingkat menerusi pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).

    Beliau berkata, setakat malam tadi seramai 295 jemaah telah selamat tiba di Makkah dan mereka merupakan jemaah haji pertama menerusi penerbangan KT01 dari Malaysia ke Madinah.

    Difahamkan, kesemua jemaah akan ditempatkan di tiga lokasi penginapan iaitu di bangunan Abraj Al Janadriyah, Qasr Al Janadriyah dan Land Premium.

    Sementara itu, rata-rata jemaah haji yang ditemui pemberita meluahkan rasa syukur setelah menunggu dua tahun untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah.

    Muhammad Haziq Azri, 17, berkata dia berpeluang menjejakkan kaki buat pertama kali ke Makkah bersama bapa, ibu dan kakaknya.

    “Alhamdulillah dapat sampai ke Makkah, timbul perasaan tak sabar nak melihat Kaabah. Tak terungkap rasa gembira bila sampai ke sini,” katanya.

    Nazarudin Komari, 40-an pula berkata keletihan perjalanan selama enam jam bagaikan tidak terasa setelah sampai ke Makkah, apatah lagi apabila pergerakan jemaah disusun dengan baik oleh petugas TH.

    Menurut Nazarudin, beliau bukan sahaja terharu dengan usaha dilakukan pihak TH malah bersyukur kerana semua jemaah selamat tiba untuk meneruskan ibadah umrah pertama. – BERNAMA

  • Amalan harian, ibadah kembali normal di Masjidilharam, Masjid Nabawi

    Amalan harian, ibadah kembali normal di Masjidilharam, Masjid Nabawi

    JABATAN Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi memaklumkan amalan harian dan ibadah secara normal sudah mula dibenarkan secara beransur-ansur di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

    Perkongsian video di Twitter oleh jabatan berkenaan melalui Bahagian Pengurusan Masjid Nabawi menyatakan keputusan turut diambil untuk menyediakan semula tong air Zamzam bermula Selasa.

    Langkah itu diambil selepas Ketua Pengarah Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, Sheikh Dr. Abdul Rahman Al-Sudais berpuas hati dengan tahap vaksinasi penduduk Mekah dan Madinah serta pematuhan jemaah terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    Dalam video berkenaan, pekerja dilihat mengedarkan sebanyak 600 tong dengan kapasti keseluruhan 30 ribu tan air zamzam di seluruh Masjid Nabawi, Madinah.

    Penyediaan tong air zamzam sebelum ini dihentikan berikutan kebimbangan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan jemaah haji dan umrah di Masjidil Haram serta Masjid Nabawi dan digantikan dengan penggunaan robot pintar untuk mengedarkan air zamzam tanpa melibatkan sebarang sentuhan.

    Kementerian Kesihatan Arab Saudi pada Selasa mengumumkan kes jangkitan harian COVID-19 di negara berkenaan mencatatkan dua angka selama tiga hari berturut-turut.

    Jabatan itu turut menempatkan semula mushaf al-Quran, membenarkan pengajian dan majlis ilmu diadakan secara bersemuka, mengurangkan penjarakan fizikal untuk menambah kapasiti solat berjemaah dan membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas hadir ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

    Minggu lalu jabatan itu mengumumkan kapasiti jemaah umrah dinaikkan kepada 70,000 orang sehari.

    Jabatan itu menegaskan akan sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik daripada segi kebersihan dan sanitasi demi memastikan kebajikan serta keselamatan jemaah terpelihara.

    Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi baru-baru ini mengumumkan pemberian 6,000 visa umrah kepada warga asing setakat bulan Muharram 1443 Hijrah (Ogos 2021) dan menjangkakan kedatangan lebih ramai jemaah umrah dari luar Arab Saudi bermula Rabiul Awwal 1443 Hijrah (Oktober 2021).- BERNAMA