Tag: M Saravanan

  • Saravanan akui ke India, tapi bukan ikut Mat Sabu cari telur

    Saravanan akui ke India, tapi bukan ikut Mat Sabu cari telur

    TIMBALAN Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menafikan beliau sebahagian rombongan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ke India baru-baru ini untuk bertemu pembekal telur ayam.

    Bagaimanapun Saravanan mengesahkan beliau berada dalam penerbangan yang sama ke India dengan Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu dan ia adalah hanya satu kebetulan sahaja.

    “Ini (perjalanan) berlaku pada bulan Januari. Saya pergi ke India untuk upacara sembahyang dan kebetulan saya terserempak dengan menteri dan lelaki yang berkenaan,” kata Saravanan kepada Malaysiakini.

    Beliau merujuk kepada gambar tular yang diterbitkan oleh sebuah blog dan telah diedarkan semula oleh portal MalaysiaNow Jumaat, lalu yang turut menunjukkan ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan.

    Mengulas lanjut Saravanan berkata, mereka terpaksa berkongsi kenderaan sama kerana laluan pejalan kaki agak jauh.

    “Mereka mempunyai kereta buggy yang terhad. Jadi di lapangan terbang (Chennai) selepas mendarat, kami semua perlu berkongsi kenderaan yang sama kerana laluan pejalan kaki agak jauh.

    “Saya pergi (ke India) untuk ikuti upacara, saya tidak tahu mereka pergi untuk beberapa urusan rasmi. Ia hanya kebetulan, itu sahaja,” jelas bekas menteri itu ketika dihubungi hari ini.

    Perjalanan Mohamad ke India mendapat perhatian berikutan dakwaan mengenai kontrak rundingan terus kerajaan kepada sebuah syarikat tunggal untuk bekalan telur dari negara itu.

    Pada Sabtu, pemimpin Bersatu Azmin Ali mendakwa kerajaan persekutuan pimpinan Anwar Ibrahim telah menganugerahkan projek mengimport telur dari India kepada Deepak, seorang ahli perniagaan yang menjadi pengkritik terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

    Ketika menyampaikan ucapan pada majlis ceramah Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur, bekas menteri kanan itu juga mendakwa kontrak berkenaan diberikan melalui rundingan terus, bertentangan dengan ikrar kerajaan baru untuk menamatkan amalan sedemikian bagi projek kerajaan.

    Azmin juga mendakwa telur yang diimport Deepak dari India diberi pengecualian oleh kerajaan daripada menjalani pemeriksaan keselamatan makanan.

    Sebagai tindak balas, J&E Advance Tech Sdn Bhd, pengimport tunggal telur dari India hari ini menafikan kedua-dua dakwaan berhubung rundingan langsung dan pengecualian keselamatan makanan.

    Sebaliknya, syarikat itu berkata ia telah meminta kebenaran daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India bagi menangani kekurangan teruk dalam pasaran dan diberi kelulusan sementara berkuat kuasa sehingga Jun 2023.

    Syarikat itu dalam kenyataannya tidak menyebut tentang hubungan Deepak yang dikatakan dan semakan dengan Suruhanjaya Syarikat mendapati nama saudagar permaidani itu tidak disenaraikan sebagai pemegang saham atau pengarah dalam firma itu.

  • Blog muat naik gambar Mat Sabu bersama ahli perniagaan Deepak – Laporan

    Blog muat naik gambar Mat Sabu bersama ahli perniagaan Deepak – Laporan

    SEBUAH blog memuat naik beberapa keping gambar yang didakwanya menunjukkan ahli perniagaan kontroversi Deepak Jaikishan ketika dalam penerbangan ke India bersama-sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

    Memetik laporan MalaysiaNow, gambar tersebut tersebar ketika persoalan berhubung pemberian kontrak kerajaan kepada sebuah syarikat tunggal untuk membekalkan telur ayam dari India.

    Beberapa gambar yang disiarkan di blog “Checkmatebro” turut menunjukkan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan duduk bersama pemimpin Amanah itu.

    Gambar itu didakwa diambil semasa penerbangan mereka ke Chennai, India Januari lalu untuk bertemu pembekal bagi menangani masalah kekurangan telur ayam di Malaysia.

    “Betul ke Mat Sabu ke India tengok ladang ayam bawa Deepak dan Saravanan? Kalau betul, kenapa? Apa peranan dia orang?” soal blog tersebut.

    MalaysiaNow cuba mendapatkan maklum balas daripada Mat Sabu dan Deepak namun tidak berjaya.

    MalaysiaNow juga telah menghubungi Saravanan untuk mendapatkan maklum balas.

    Awal bulan ini, Mohamad memberitahu Dewan Rakyat hanya sebuah syarikat dianugerahkan permit khas untuk mengimport telur dari India sehingga Jun tahun ini.

    Langkah itu mendapat kritikan daripada Presiden MCA Wee Ka Siong yang mempersoalkan kualiti telur import.

    Kenyataan Wee yang dibuat di Dewan Rakyat atas kapasitinya sebagai ahli Parlimen Ayer Hitam.

    Kenyataan itu menyebabkan Wee menerima surat tuntutan saman daripada firma undang-undang yang mewakili pengimport telur J&E Advance Tech Sdn Bhd.

    Semakan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan dua pemegang saham dalam syarikat itu iaitu Jeena Giri dan Shahrizal Ahmad, kedua-duanya adalah pemegang saham berjumlah RM850,000.

    Nama Deepak menjadi perhatian selepas mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor terlibat dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

    Beliau juga menyaman Najib dan Rosmah atas dakwaan konspirasi yang didakwanya menyebabkan beliau mengalami kerugian.

  • MIC sedia hadapi PRU-15 meskipun ketika Deepavali – Saravanan

    MIC sedia hadapi PRU-15 meskipun ketika Deepavali – Saravanan

    MIC sentiasa bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sekalipun diadakan ketika musim perayaan Deepavali.

    Memetik laporan Astro Awani, Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan berkata, MIC sudah lama bersedia untuk menghadapi PRU15 sekiranya diadakan hujung tahun ini.

    “MIC sudah lama sedia, kita bukan tak pernah adakan (PRU) masa Deepavali, dulu pernah ada Deepavali masa pilihan raya, kita serahkan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) untuk putuskan,” katanya, hari ini.

    Mengulas mengenai pembahagian kerusi pula, Saravanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, perkara itu terpulang pada keputusan yang akan dibuat dalam pertemuan presiden parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) kelak.

    “Biasa isu kerusi di antara presiden-presiden parti komponen (BN), jadi Timbalan Presiden tiada kuasalah saya.

    “Apabila Presiden (Tan Sri S Vigneswaran) sudah putuskan, dia akan bagitau saya,” jelasnya.

    Ditanya sama ada MIC akan meminta kerusi tambahan pada PRU-15, tambah Saravanan, parti itu terbuka untuk membincangkan perkara itu bersama Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    “Itu kalau Presiden BN bermurah hati bolehlah, tapi Presiden BN sebelum ini sudah mengumumkan MIC akan diberikan kerusi sebelum ini untuk bertanding.

    “(Kerusi) tambahan boleh berbincang, masih ada ruang berbincang,” katanya lagi.

  • PSU selamatkan 2.9 juta pekerja, 300,000 majikan

    PSU selamatkan 2.9 juta pekerja, 300,000 majikan

    KIRA-KIRA 2.9 juta pekerja dan lebih 300,000 majikan dapat diselamatkan menerusi Program Subsidi Upah (PSU) dengan peruntukan berjumlah RM18 bilion yang disalurkan menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga kini.

    Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, pelaksanaan PSU merupakan satu pendekatan yang amat baik bagi membantu majikan dan pekerja yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan amat disambut baik oleh golongan berkenaan.

    “Kita lihat sejak PKP pertama sehingga kini, PSU jadi program cukup popular dalam kalangan warga kerja dan industri sehingga permintaan cukup tinggi daripada industri untuk memastikan kerajaan membekalkan peruntukan cukup bagi ketiga-tiga PKP,” katanya.

    PSU M Saravanan
    M SARAVANAN

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) di Dewan Rakyat berhubung impak peruntukan besar RM18 bilion untuk PSU bagi pekerjaan yang dapat diselamatkan.

    Sebelum ini, media melaporkan Perkeso membayar lebih RM18 bilion dalam bentuk subsidi upah, elaun pencarian pekerjaan melalui insentif yang disediakan di bawah tujuh pakej rangsangan, setakat 6 Sept lepas.

    Menjawab soalan asal Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) berhubung jumlah penganggur, Saravanan berkata Laporan Survei Tenaga Buruh dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pada suku kedua tahun ini, kadar pengangguran adalah sebanyak 4.8 peratus iaitu seramai 768,700 orang.

    Bagaimanapun Saravanan berkata, pada Julai tahun ini, terdapat peningkatan bilangan penganggur seramai 9,500 orang menjadikan jumlah penganggur bersamaan dengan 778,200 orang. – BERNAMA