Tag: lulus

  • PAU2022: Usul jawatan ‘top 2’ UMNO tak dipertanding lulus

    PAU2022: Usul jawatan ‘top 2’ UMNO tak dipertanding lulus

    PERHIMPUNAN Agung UMNO (PAU) meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan menerusi pungutan suara dilakukan sebentar tadi.

    Ini bermakna jawatan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden dan timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan tidak akan dipertandingkan pada pemilihan Mei ini.

    Lapor Free Malaysia Today, pemilihan presiden dan timbalan presiden UMNO menimbulkan polemik apabila pemimpin parti mempunyai pandangan berbeza sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak.

    Dalam kalangan perwakilan, beberapa negeri mencadangkan jawatan “top 2” parti dipertandingkan, manakala beberapa negeri menolak cadangan itu.

    Sumber memberitahu FMT, 3/4 dewan menyokong usul itu manakala baki yang tidak menyokong dikehendaki bangun.

    Kata sumber yang enggan dinamakan itu, sejurus proses pengundian selesai, separuh dewan kembali kosong.

    “Mungkin mereka malas nak dengar Zahid berucap atau mereka dah ‘fed up’,” katanya.

    Terdahulu, media melaporkan Khairy Jamaluddin mendakwa beberapa tanda nama dikhaskan untuk perwakilan Umno pada kerusi dalam Dewan Merdeka ditanggalkan untuk undian usul sempena PAU.

    Menerusi satu video di TikTok, beliau berkata tindakan itu dipercayai bagi membolehkan “perwakilan import” dibawa masuk untuk sorak dan “bulldoze” usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.

    Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Ketua Penerangan Umno Isham Jalil.

    Beliau menganggap dakwaan Khairy sebagai fitnah dan meminta bekas menteri kesihatan itu memohon maaf kepada semua perwakilan Umno dan petugas yang hadir.

    Sementara itu, Isham dalam catatan di Facebook mengesahkan semua usul termasuk usul tambahan supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dicabar, diterima dan disokong majoriti perwakilan.

  • DUN Sabah luluskan Belanjawan 2023

    DUN Sabah luluskan Belanjawan 2023

    DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Belanjawan Sabah 2023 berjumlah RM5.138 bilion, setelah dibahas dan digulung bermula Isnin lepas.

    Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya berkata usul Rang Undang-Undang Perbekalan (2023) atau Belanjawan Sabah 2023 itu diluluskan dengan suara terbanyak.

    Pada Jumaat lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Menteri Kewangan negeri  membentangkan Belanjawan Sabah 2023 dengan anggaran hasil RM5.268 bilion, menjadikan ia belanjawan lebihan berjumlah RM130.47 juta.

    Sementara itu, Hajiji ketika menggulung perbahasan belanjawan itu hari ini berkata kerajaan Sabah menegaskan tidak akan berganjak dengan tuntutan hak 40 peratus daripada hasil bersih kerajaan Persekutuan di Sabah seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

    “Saya telah menyuara dan menegaskan pendirian kerajaan negeri ini dalam Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963…saya berharap perkara ini tidak lagi diputarbelitkan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan kepada rakyat,” katanya.

    Hajiji berkata sejak 1969, kerajaan negeri menerima amaun pemberian khas yang statik tanpa sebarang peningkatan iaitu RM26.7 juta setahun dan susulan beberapa perbincangan dengan kerajaan Persekutuan, amaun itu telah berjaya ditingkatkan pada April lepas.

    “Saya amat sedar dan tahu bahawa peningkatan pembayaran kepada RM125.6 juta yang telah kita terima pada tahun ini adalah jauh lebih rendah berbanding apa yang sepatutnya diterima kerajaan negeri berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

    “Justeru, saya tekankan peningkatan bayaran itu diterima tanpa prejudis atas dasar ia adalah pengaturan secara interim,” katanya.

    Beliau turut menegaskan adalah hak kerajaan negeri untuk bergantung kepada formula asal pemberian itu seperti dinyatakan Perlembagaan Persekutuan, serta mendapatkan sebarang bayaran tunggakan atas ketiadaan semakan semula pemberian khas itu semenjak 1973.

    Sementara itu, beliau berkata sebanyak RM4.2 bilion perbelanjaan pembangunan untuk Sabah diperuntukkan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 untuk tempoh lima tahun rancangan itu antara 2021 hingga 2025.

    Hajiji berkata bagi tujuan pembangunan negeri tahun depan, RM788.94 juta diperuntukkan daripada Kumpulan Wang Negeri Sabah, dan kerajaan negeri menggangarkan RM607.67 juta diperuntukkan dalam bentuk pembiayaan pinjaman dan imbuhan balik daripada kerajaan Persekutuan.

    “Bagaimanapun agihan peruntukan (pembangunan) sebenar Persekutuan hanya diketahui selepas pembentangan Belanjawan Negara 2023 oleh kerajaan baharu,” katanya. – BERNAMA

  • DUN Kelantan lulus Enakmen Antilompat Parti

    DUN Kelantan lulus Enakmen Antilompat Parti

    PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri (Pindaan) 2022 bagi membolehkan Enakmen Anti-Lompat Parti dilaksanakan di negeri ini.

    Usul pindaan itu dibawa oleh Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan mendapat sokongan sebulat suara tanpa dibahaskan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima DUN Kelantan ke-14 di sini.

    “Tujuan pindaan dilaksanakan adalah bagi memastikan Enakmen Anti-Lompat Parti sekata dan selaras dengan apa yang telah diputuskan di Parlimen sebelum ini,” katanya ketika menggulung rang undang-undang itu. 

    Speaker Datuk Abdullah Ya’kub pula berkata pindaan itu dilaksana selaras dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang berkuat kuasa 5 Okt lepas.

    Akta itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 31 Ogos dan diwartakan sebagai Akta A1663 pada 6 Sept lepas.

    Persidangan bersambung 29 Nov ini. – BERNAMA