Tag: luar tabii

  • Rogol kambing sampai mati, lelaki tua dipenjara 6 tahun

    Rogol kambing sampai mati, lelaki tua dipenjara 6 tahun

    SEORANG warga emas yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes cabul, hari ini dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu kerana melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina di belakang rumah jirannya, Julai lalu.

    Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu ke atas Shaari Hasan, 60, selepas beliau menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes hari ini.

    Mahkamah juga mengarahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas keluar dari penjara, selain mendapatkan khidmat kaunseling.

    Sebelum menjatuhkan hukuman itu, hakim berkenaan menyoal punca kematian kambing berkenaan dan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Noor Harun menyatakan ia adalah disebabkan kegagalan paru-paru.

    Dalam prosiding itu, tertuduh juga mengesahkan barang kes termasuk gambar kambing, pakaian miliknya yang dirampas semasa kejadian iaitu sehelai baju T berwarna hijau dan seluar panjang berwarna coklat, yang ditunjukkan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

    Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Buaya, Rawang di sini pada 1.33 tengah hari, 27 Julai lalu, mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu peguam Muizzudin Schanni Feizal Maurice Feizal memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dari tarikh tangkap, dengan alasan tertuduh menyesal dengan perbuatannya selain hukuman berpatutan terhadap tertuduh.

    “Tertuduh merupakan warga emas dan tinggal sebatang kara, memandangkan seksyen ini memperuntukkan hukuman sebat, mohon hukuman itu (sebat) tidak dikenakan berikutan tertuduh merupakan seorang warga emas,” kata peguam itu.

    Sementara itu Khairunnisa memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

    Menurut fakta kes, kejadian itu disedari seorang wanita berusia 45 tahun yang terdengar bunyi mengembek dari kandang kambing yang terletak di belakang rumahnya.

    Wanita berkenaan yang pergi ke kandang kambing itu mendapati, seorang lelaki yang dikenalinya berada dalam keadaan separuh bogel, bangun dari sebelah kambing milik wanita tersebut.

    Selepas menyedari kehadiran wanita terbabit, suspek telah melarikan diri dan hasil pemeriksaan mendapati, kambing betina yang menjadi mangsa lelaki itu telah mati. – BERNAMA

  • Insaflah, minta ampun dengan Allah, kata hakim kepada lelaki perogol, peliwat

    Insaflah, minta ampun dengan Allah, kata hakim kepada lelaki perogol, peliwat

    HAKIM Mahkamah Rayuan hari ini menasihati seorang lelaki yang dihukum penjara 20 tahun dan 12 sebatan kerana merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap seorang wanita, supaya meminta ampun dengan Allah atas perbuatannya itu.

    Hakim Datuk Ghazali Cha turut menasihati Mohamad Nurhadi Othman, 31, agar tidak mengulangi kesalahan sama apabila keluar dari penjara.

    “Kamu orang Islam, maka bersungguh-sungguhlah minta ampun dengan Allah sepanjang tempoh kamu di penjara dan solat lima waktu. Saya harap apabila kamu keluar dari penjara nanti, kamu benar-benar insaf,” kata Hakim Ghazali.

    Terdahulu panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said menolak rayuan Mohamad Nurhadi, selaku perayu untuk mengetepikan hukuman penjara dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, pada 14 Mei 2019.

    “Kamu memang bernasib baik kerana hukuman terhadap kamu diperintahkan berjalan secara serentak. Ada (tertuduh) yang dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun…ada yang menjalani hukuman penjara 15 tahun dahulu, selepas habis, sambung lagi 15 tahun…mati pun dalam penjara.

    “Hukuman yang dijatuhkan sebelum ini adalah munasabah dan tiada alasan untuk mahkamah ini mengganggu dapatan mahkamah sebelum ini yang menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan. Oleh itu, rayuan perayu ditolak dan hukuman sebelum ini dikekalkan,” kata Hakim Kamaludin yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Ghazali.

    Mohamad Nurhadi sebelum ini dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan enam sebatan bagi tiga pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap wanita berusia 21 tahun itu di sebuah kedai pakaian di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu, Terengganu antara 10.10 hingga 10.55 malam, 1 Ogos 2018, mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

    Lelaki itu juga dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan enam sebatan atas tuduhan merogol wanita itu yang bekerja di kedai tersebut di lokasi, tarikh dan masa sama, mengikut Sesyen 376 kanun sama.

    Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara serentak menjadikan hukuman yang perlu dijalani lelaki itu ialah penjara 20 tahun dan 12 sebatan. Dia juga sedang menjalani hukuman penjara 10 tahun dan 12 sebatan, kerana merompak mangsa sama namun tidak merayu bagi hukuman kesalahan itu.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim@Husaini berhujah, perayu telah merancang untuk melakukan perbuatan itu kerana sehari sebelum kejadian, dia berada di sebuah kedai serbaneka bersebelahan dengan tempat kerja mangsa.

    Atiqah berkata berdasarkan fakta kes semasa mangsa berada di tempat kerjanya, perayu telah datang dan memintanya untuk mencuba pakaian yang ingin dibelikan untuk teman wanitanya.

    “Ketika mangsa mencuba pakaian, perayu telah mengacukan pisau ke leher wanita itu sebelum merogol, meliwat dan memaksa mangsa melakukan seks oral terhadapnya. Perayu juga telah merompak dua utas gelang emas mangsa,” katanya yang turut memaklumkan kejadian itu memberi kesan trauma terhadap mangsa.

    Peguam Mohamad Nor Hisam Hussain, yang mewakili perayu berhujah anak guamnya telah mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan dan dia tidak mempunyai rekod kesalahan lampau selain memohon hukuman penjara minimum. – BERNAMA

  • Guru didakwa 32 pertuduhan seks luar tabii, amang seksual

    Guru didakwa 32 pertuduhan seks luar tabii, amang seksual

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini atas 32 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar lelaki pada tahun lalu.

    Tertuduh, Mohd Faizal Amir, 32, yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Tapah mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

    Dia didakwa atas 10 pertuduhan dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii kepada tujuh pelajar lelaki berusia 14 hingga 16 tahun.

    Perbuatan itu dilakukan di rumah warden sekolah berkenaan antara 28 Julai hingga 29 September 2020.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat.

    Bapa kepada seorang anak itu juga didakwa dengan 22 pertuduhan amang seksual fizikal mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.

    Kesalahan yang dilakukan di lokasi, tarikh dan masa yang sama itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Cheah Shuh Yuan tidak menawarkan sebarang jaminan namun tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Farid Wajdi Hanif memohon agar jaminan RM3,000 dikenakan ke atas anak guamnya bagi setiap kes.

    Hakim Intan Nurul Farena kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap 11 kes dengan jumlah keseluruhan jaminan sebanyak RM55,000 sebelum menetapkan 15 November ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

    Mahkamah juga menetapkan tertuduh untuk melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran dan dilarang mendekati mangsa.