Tag: luar negara

  • Sindiket edar dadah RM3.8j ke luar negara tumpas

    Sindiket edar dadah RM3.8j ke luar negara tumpas

    POLIS menumpaskan sindiket pengedaran dadah disyaki syabu dan pil ekstasi ke luar negara membabitkan rampasan lebih RM3.8 juta dalam serbuan di sekitar Melaka dan Selangor pada Rabu lepas.

    Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata turut ditahan lapan suspek tempatan berumur antara 25 hingga 48 tahun iaitu enam lelaki dan dua wanita termasuk dua pasangan suami isteri dalam empat serbuan berasingan.

    “Serbuan pertama pukul 3 petang di Serkam, Jasin ke atas suspek dua lelaki dan seorang wanita di dalam kereta di hadapan rumah dan pemeriksaan lanjut di rumah itu polis turut menahan seorang lelaki dan wanita.

    “Hasil pemeriksaan di rumah itu juga menemukan dadah disyaki jenis syabu anggaran berat 82.64 kilogram (kg) bernilai RM2.975 juta dan 16.62 kg pil ekstasi (RM831,000),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini hari ini.

    Mengulas lanjut, Zainol berkata kesemua dadah syabu itu ditemukan di dalam karung guni dan peket bungkusan teh seberat satu kilogram manakala pil ekstasi berwarna ungu keperangan di dalam plastik lutsinar dengan setiap satu bungkusan dianggarkan mempunyai 5,000 pil.

    Beliau berkata sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka dan Bukit Aman membuat tiga lagi serbuan pada hari yang sama dan menahan tiga lagi suspek masing-masing di Permatang Serai dan Kampung Pulai di Merlimau serta Kota Damansara, Petaling Jaya di Selangor.

    “Hasil risikan juga mendapati sindiket ini dipercayai aktif sejak awal 2022 dan ada antara mereka yang ditahan bekerja sebagai nelayan dan suri rumah.

    “Ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek juga didapati negatif, namun dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kesalahan yang sama,” katanya.

    Beliau berkata pada serbuan itu juga polis turut merampas tiga motosikal, empat kereta, barangan kemas, wang tunai dan beberapa keping wang kertas mata wang asing milik sindiket dengan jumlah keseluruhan anggaran RM283,770.

    Katanya, kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula semalam hingga Rabu depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

    polis, dadah, sindiket, pengedaran, syabu, ekstasi

  • Syarikat swasta dilarang taja lawatan penjawat awam ke luar negara

    Syarikat swasta dilarang taja lawatan penjawat awam ke luar negara

    PERBENDAHARAAN menetapkan, pembiayaan kos lawatan ke luar negara oleh penjawat awam berkaitan perolehan kerajaan, bukan lagi dibiayai syarikat swasta.

    Perkara itu dinyatakan menerusi pekeliling baharu Tugasan Ke Luar Negara berkaitan Perolehan Kerajaan PK 2.14 yang berkuat kuasa Selasa lalu, menetapkan kos itu dibiayai sepenuhnya melalui obligasi kontrak.

    Lapor Berita Harian, pekeliling itu menetapkan, pembiayaan terhad kepada tugasan pemeriksaan sebelum penerimaan (PDI), Ujian Penilaian Kilang (UPK), Laporan Pemantauan Projek (PMR), Mesyuarat Pelapiran Eksekutif (ERM), Ujian Akhir Penerimaan (FAT),Transfer of Title (TOT); dan latihan.

    Keperluan dan kos pembiayaan tugasan ke luar negara dinyatakan dengan jelas di dalam tawaran serta kontrak perolehan berkenaan.

    Kos itu hendaklah berdasarkan kelayakan rasmi mengikut gred pegawai merangkumi bilangan pegawai terbabit, elaun makan minum, kos pengangkutan, penginapan, lain-lain elaun, tempoh lawatan atau latihan, tarikh tentatif dan kekerapan lawatan atau latihan.

    Bilangan pegawai terbabit dengan tugasan, hendaklah dihadkan kepada yang perlu sahaja serta berkaitan dengan kepakaran teknikal perolehan berkenaan.

    Bilangan wakil kerajaan hendaklah tidak lebih daripada tiga orang pegawai sahaja, terdiri daripada seorang pegawai yang terbabit dengan perolehan dan sekurang-kurangnya seorang pegawai teknikal.

    Nilai perolehan bagi tugas ke luar negara selepas pelawaan tender, hendaklah melebihi RM10 juta kecuali perolehan haiwan.

    Keperluan dan bilangan wakil kerajaan untuk mengadakan tugasan ke luar negara telah dinyatakan dengan jelas di dalam dokumen kontrak dan kos pembiayaan tugasan ditanggung oleh kerajaan.

    Agensi hendaklah memastikan bahawa harga tawaran syarikat, termasuk kos tugasan untuk wakil kerajaan.

    Tempoh tugasan yang dibenarkan adalah tidak melebihi tujuh hari (tidak termasuk hari perjalanan) kecuali bagi program latihan yang perlu ditentukan berdasarkan syarat kontrak.

    Jika perolehan itu akan membabitkan lawatan atau latihan ke luar negara, agensi hendaklah menyatakan sedemikian di dalam dokumen pelawaan tender bahawa pembekal atau kontraktor hendaklah menyatakan anggaran kos berkaitan secara berasingan dan jelas dalam tawaran tender.

    Jika tender telah dipelawa tanpa menyatakan kos lawatan atau latihan yang terbabit, maka agensi tidak dibenarkan untuk membuat sebarang lawatan atau latihan berkaitan perolehan itu.

    Amalan menerima lawatan atau latihan yang dibiayai pembekal atau kontraktor adalah dilarang sama sekali dan pegawai kerajaan boleh dikenakan tindakan tatatertib.

    Pembekal atau kontraktor yang menawarkan lawatan atau latihan keluar negara boleh diambil tindakan termasuk disenarai hitam dan tidak dipertimbangkan untuk perolehan lain.

    Menerusi pekeliling sebelum ini, pembiayaan kos lawatan ke luar negara berkaitan perolehan kerajaan hendaklah dibiayai sepenuhnya menggunakan peruntukan tahunan Belanja Mengurus di bawah agensi masing-masing.

    Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim, berkata langkah terbaharu diambil oleh Perbendaharaan itu adalah untuk mewujudkan lebih ketelusan dan akauntabiliti dalam urusan perolehan kerajaan.

    “Keperluan perjalanan untuk kerja-kerja pemeriksaan, antara lainnya, mesti ditetapkan terdahulu dalam kontrak dan kos yang disenaraikan.

    “Syarikat yang terbabit dalam kontrak tidak dibenarkan membiayai perjalanan sedemikian kerana hanya dengan cara itu, penilaian oleh wakil kerajaan boleh menjadi bebas,” katanya.

  • Tahap keselamatan negara terjamin – Ismail Sabri

    Tahap keselamatan negara terjamin – Ismail Sabri

    TAHAP keselamatan negara adalah terjamin, dan rakyat tidak perlu bimbang walaupun ada dakwaan wujudnya agensi perisikan luar yang aktif di negara ini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi jaminan itu berkata beliau masih menunggu laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung dakwaan agensi perisikan luar yang ada kaitan dalam kes penculikan warga Palestin di Malaysia.

    “Isu ejen Mossad saya belum dapat laporan terperinci daripada MKN dan polis. Begitu juga warga Israel (yang masuk ke Malaysia menggunakan passport lain) saya tunggu laporan.

    “Saya akan jumpa Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani) dan MKN serta semua agensi berkaitan untuk saya dapatkan laporan,” katanya kepada media selepas perasmian Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil di Dataran Merdeka di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris yang melaporkan agensi perisikan Israel, Mossad merupakan dalang yang mengupah warga tempatan untuk menculik seorang warga Palestin, Omar Z. M. Albelbaisy Raeda.

    Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata pihaknya juga belum dapat mengesahkan penglibatan agensi luar dalam kes penculikan itu seperti yang didakwa akhbar berkenaan.

    Pada 5 Okt lepas, media melaporkan polis menyelamatkan mangsa berumur 31 tahun itu sehari selepas dia diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire.

    Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang dan Beranang di Selangor serta di Melaka bermula 29 Sept hingga 4 Okt.

    Jumaat lepas, 11 individu termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik Omar bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

    Ditanya mengenai pembahagian kerusi UMNO bagi Pilihan Raya Umum ke-15, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata ia masih dalam perbincangan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN).

    “Perbincangan masih diteruskan untuk memilih calon-calon daripada UMNO. Pengerusi Perhubungan Negeri dah pun bentangkan pandangan mereka pada minggu lepas jadi kita akan buat penilaian,” katanya. – BERNAMA

  • Warga Bangladesh kerugian RM28,200 ditipu ejen kiriman wang

    Warga Bangladesh kerugian RM28,200 ditipu ejen kiriman wang

    SEORANG pekerja am warga Bangladesh terpaksa berputih mata selepas kerugian RM28,200 akibat ditipu ejen kiriman wang ke luar negara menerusi laman Facebook, pada akhir Jun lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 31 tahun itu mendakwa dia melihat sebuah iklan perkhidmatan kiriman wang ke luar negara menerusi pemilik akaun Facebook bernama ‘Anika Topup’.

    Katanya, pengadu yang tinggal di Ladang Bahau itu berminat dengan tawaran berkenaan kemudian berurusan dengan individu tersebut menerusi aplikasi WhatsApp.

    “Lelaki berkenaan mahu menghantar wang kepada keluarganya di Bangladesh, telah melakukan sebanyak lima kali transaksi ke beberapa akaun bank berjumlah RM28,200 bermula 7 hingga 11 Ogos lepas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Hoo berkata mangsa menghubungi keluarganya di Bangladesh pada 14 Ogos dan dimaklumkan tidak menerima sebarang wang daripada ejen berkenaan.

    Beliau berkata pengadu terus menghubungi ejen tersebut namun dimaklumkan perlu membuat pembayaran sebanyak RM5,000 bagi urusan insurans dan sekiranya gagal membuat pembayaran tersebut wang milik mangsa tidak dipulangkan kepada keluarganya.

    Katanya, mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan polis semalam dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- BERNAMA