Tag: LTAT

  • RM6 bilion dibelanja beli peralatan bina LCS

    RM6 bilion dibelanja beli peralatan bina LCS

    DANA pencen angkatan tentera (LTAT) mendedahkan jumlah RM6 bilion yang hangat diperkatakan berkait projek kapal tempur pesisir pantai (LCS) dibelanjakan untuk “tempahan pukal” peralatan bagi membina kapal-kapal tersebut.

    Memetik Free Malaysia Today, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman berkata, membuat “tempahan pukal” bagi enam kapal adalah lebih murah berbanding dengan membeli peralatan secara individu.

    Beliau juga berkata, sebahagian besar daripada RM9 bilion dalam kontrak itu dibelanjakan untuk “reka bentuk asas dan terperinci” yang dijalankan oleh Naval Group, penggerak utama dalam sektor tentera laut Perancis.

    “RM9 bilion untuk enam kapal bawah kontrak asal bermakna harga satu kapal lebih kurang RM1.5 bilion,” katanya di Facebook semalam.

    Nazim menyebut bahawa Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) membelanjakan hampir RM1.9 bilion untuk satu kapal LCS mereka yang dibuat di Perancis, manakala AS membina kapal mereka dengan kos RM2.4 bilion setiap satu kerana ia “lebih canggih”.

    Beliau turut mengesahkan bahawa kapal-kapal berkenaan sedang dibina di limbungan Lumut.

    Katanya, beliau terlibat secara langsung dalam merangka pelan pemulihan projek LCS bersama Kementerian Pertahanan dan tentera laut.

    “Bawah kontrak sekarang, pembinaan keenam-enam kapal ini perlu dibuat dalam masa yang sama,” tambahnya.

    Pada Isnin, Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, LCS yang dibina oleh BNS akan siap dalam masa “sekurang-kurangnya satu atau dua tahun”.

    Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen minggu lepas mendedahkan bahawa tiada satu kapal pun siap walaupun Putrajaya membelanjakan RM6 bilion untuk projek yang diberikan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) melalui rundingan terus itu.

    LTAT mempunyai 61% saham dalam BNS.

    PAC berkata, BNS tidak mengendahkan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.

    Nazim juga berkata, projek LCS telah mewujudkan peluang pekerjaan bagi hampir 3,000 jurutera dan 400 vendor tempatan dalam pelbagai bidang.

    Katanya, sebahagian daripada wang yang dimaksudkan untuk kapal itu digunakan untuk melunaskan hutang syarikat terdahulu yang perlu ditampung oleh Boustead Holdings dan BNS selepas mengambil alih projek itu.

    Nazim berkata, Jemaah Menteri memutuskan untuk meneruskan projek itu pada April selepas mempertimbangkan tiga opsyen.

    “(Salah satu opsyen) pelan penstrukturan semula BNS ini diteliti oleh pihak kerajaan di pelbagai peringkat, termasuk jawatankuasa Jemaah Menteri, yang mengambil masa selama lapan bulan,” katanya.

  • LTAT benarkan pencarum keluar wang untuk haji, pendidikan

    LTAT benarkan pencarum keluar wang untuk haji, pendidikan

    PENCARUM Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kini boleh mengeluarkan caruman bagi tujuan mengerjakan ibadah haji dan melanjutkan pengajian di universiti awam tempatan mulai esok (15 April).

    Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bagi pencarum yang ingin membuat pengeluaran haji, mereka perlu mengemukakan surat pengesahan tawaran mengerjakan haji daripada Lembaga Tabung Haji dan telah mencarum sekurang-kurangnya 15 tahun dengan LTAT serta jumlah maksimum yang boleh dikeluarkan ialah RM10,000.

    “Pengeluaran untuk tujuan pendidikan pula, pencarum yang mengikuti dan melanjutkan pengajian peringkat Diploma, Ijazah, Ijazah Sarjana atau Doktor Falsafah di universiti awam tempatan boleh mengeluarkan jumlah maksimum RM3,200 bagi pembayaran yuran pendaftaran pengajian untuk semester pertama.

    “Kedua-dua kemudahan ini hanya dibenarkan sekali sahaja sepanjang perkhidmatan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, hari ini.

    Selain itu, beliau berkata, kementerian turut bersetuju untuk menaikkan kadar Elaun Persinggahan Pelabuhan Luar Negara kepada anak kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari RM20 kepada RM50 sehari.

    LTAT

    Sementara itu, Hishammuddin memaklumkan, Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengesahkan inisiatif terbaharu Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR) yang diberikan kepada penjawat awam akan turut dinikmati anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    Beliau berkata, dengan kemudahan itu, anggota ATM yang berumur 45 tahun yang akan menamatkan perkhidmatan bakal menikmati FGCR yang dinaikkan daripada maksimum 150 hari kepada 160 hari.

    “Anggota terlibat juga dibenarkan menikmati bayaran pendahuluan yang bersamaan dengan 80 hari cuti tanpa perlu menunggu sehingga benar-benar tamat perkhidmatan,” katanya.

    Menurut Hishammuddin, beliau juga mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Veteran agar mempercepatkan pengagihan Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM350 kepada veteran ATM yang belum menerimanya.

    “Ini kerana terdapat ramai veteran ATM yang memberi komen di laman sosial mengadu mereka belum menerima bantuan BKK seperti yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 tahun lepas,” katanya.

    Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 pada tahun lepas mengumumkan, seramai satu juta pesara kerajaan akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM350.

    Terdahulu pada majlis itu, Kementerian Pertahanan menerima sumbangan wang tunai dan barangan berjumlah RM1,881,180 daripada 77 penyumbang.

    Sebanyak 15,000 beg hari raya akan diagihkan kepada anggota ATM yang bertugas di perbatasan di dalam dan luar negara di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu termasuk di Mindanao, Selatan Filipina di bawah International Monitoring Team.

    Turut hadir, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan. – BERNAMA