Tag: LPT

  • Kematian isteri dan anak akibat nahas, lelaki gagal saman LPT

    Kematian isteri dan anak akibat nahas, lelaki gagal saman LPT

    MAHKAMAH Sesyen Temerloh menolak saman sivil difailkan seorang lelaki terhadap syarikat konsesi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) susulan kematian anak dan isterinya di Pahang, dua tahun lalu.

    Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim memutuskan Redza Hassan gagal membuktikan tuntutannya terhadap Anih Bhd berdasarkan imbangan kebarangkalian, selepas mendengar keterangan lima saksi.

    Menurutnya, tindakan Redza bergantung kepada laporan media untuk membuktikan kewujudan lopak air di KM119 lebuh raya berkenaan adalah tidak mencukupi.

    Isteri Redza, Norhadiyatul Akma Jaafar maut dalam kemalangan bersama seorang anak mereka, Amer Asyraf, ketika memandu sebuah pikap dari Temerloh ke Kuala Lumpur pada kira-kira 6 petang 2 Februari 2020.

    Tiga lagi anak mereka, Ammar Wafiy, Rania Zulfa dan Adeeb Rayyan yang juga berada dalam kenderaan itu, bagaimanapun terselamat.

    “Berdasarkan keterangan lima saksi ini, mahkamah mendapati plaintif gagal membuktikan kecuaian di pihak pemilik konsesi lebuh raya dalam menyenggara lebuh raya berkenaan,” kata Che Wan Zaidi dalam penghakiman yang dibacakan secara dalam talian, lapor Free Malaysia Today.

    Katanya, dua saksi iaitu seorang anggota polis dan pegawai penyiasat, telah memberi keterangan bahawa tiada bukti menunjukkan kehadiran lopak di tempat kejadian seperti didakwa, yang bertentangan dengan laporan media.

    Sebaliknya, katanya, berdasarkan keterangan pegawai penyiasat, Norhadiyatul lebih berkemungkinan hilang kawalan terhadap kenderaannya akibat cara pemanduannya ketika hujan.

    Che Wan Zaidi turut tidak mengambil kira lima laporan media mengenai kemalangan di bahagian lain lebuh raya berkenaan kerana tidak relevan dengan kes ini.

    Susulan itu, Redza berkata beliau akan memfailkan rayuan dengan menuntut ganti rugi sebanyak RM1.8 juta.

    KS Naicker dan Rosmaria Daud mewakili Anih Berhad, manakala Ranizan Mokhtar dan Amirul Faliq mewakili Redza.

  • 3 beradik maut, seorang lagi parah kereta terbabas di LPT

    3 beradik maut, seorang lagi parah kereta terbabas di LPT

    TIGA beradik maut manakala seorang lagi parah apabila kereta jenis Perodua Kancil dinaiki terbabas ke sisi jalan di kilometer 165.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala Kuala Lumpur, pagi ini.

    Mangsa yang terkorban disahkan sebagai Ahmad Basyir Yusry, 26; Siti Fatimah Yusry, 20 dan Saiedah Yusry, 15 manakala mangsa yang parah adalah Adawiah Yusry, 11 tahun.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Maran, Penolong Penguasa Shamsul Affendy Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.10 pagi dan seramai lapan anggota termasuk beliau bergegas ke lokasi.

    Katanya, sejurus tiba di lokasi, beliau mengesahkan kejadian terbabit melibatkan empat orang individu yang mana tiga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian setelah disahkan pegawai perubatan.

    “Seorang lagi mangsa pula mengalami kecederaan parah dan dihantar ke hospital untuk diberi rawatan. Kesemua mangsa merupakan adik beradik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Shamsul Affendy berkata, Operasi mengeluarkan mangsa dijalankan oleh pasukan seramai lapan orang anggota menggunakan peralatan Rescue Tool.

    Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya.

  • Tiga maut, seorang kanak-kanak cedera kereta terbabas di LPT

    Tiga maut, seorang kanak-kanak cedera kereta terbabas di LPT

    TIGA individu maut manakala seorang kanak-kanak cedera apabila kereta dinaiki mereka terbabas di kilometer 165.8 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala Kuala Lumpur, pagi ini.

    Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.10 pagi mengenai nahas membabitkan sebuah Perodua Kancil di lokasi.

    Katanya, seramai lapan anggota kemudian dikerah ke lokasi kejadian.

    “Pemeriksaan mendapati dua wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa maut di lokasi kejadian. Selain itu, seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan.

    “Bomba mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di bahagian hadapan kereta menggunakan peralatan khas,” katanya.

    Ismail berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala kanak-kanak yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk rawatan susulan.

    Tambah beliau, identiti mangsa masih belum diketahui setakat ini.

  • Empat maut, 12 cedera kemalangan empat kenderaan di LPT

    Empat maut, 12 cedera kemalangan empat kenderaan di LPT

    EMPAT maut manakala 12 cedera dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 135.7 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Kuantan pada awal pagi tadi. 

    Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang Zulfadli Zakaria berkata kemalangan melibatkan sebuah lori kontena, Proton Exora, Proton Waja dan trak tunda. 

    Mereka yang maut ialah sepasang warga emas dan seorang remaja lelaki menaiki Proton Exora serta pemandu trak tunda. 

    “Bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.26 pagi. Kejadian dipercayai berlaku apabila lori kontena terbabas sebelum merempuh trak tunda yang sedang mengangkat Proton Exora rosak di tepi lebuh raya. 

    “Proton Waja itu pula difahamkan berada di tepi jalan yang sama. Kemalangan menyebabkan Proton Exora jatuh ke gaung dianggarkan sedalam 40 kaki (12.19 meter),” katanya dalam kenyataan. 

    Zulfadli berkata mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – BERNAMA