Tag: love scam

  • Kakitangan IPT rugi setengah juta diperdaya ‘love scam’

    Kakitangan IPT rugi setengah juta diperdaya ‘love scam’

    SEORANG kakitangan wanita sebuah institusi pengajian tinggi di Terengganu mendakwa kerugian RM500,000 akibat terpedaya dengan sindiket ‘love scam’ atau penipuan cinta.

    Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din berkata kejadian bermula pada Julai 2020 selepas mangsa berkenalan dengan seorang lelaki warga asing menerusi laman sesawang mencari jodoh.

    Beliau berkata sejak itu, suspek sering kali meminta wang daripada mangsa atas pelbagai alasan termasuk untuk meminjam dan sebagai tanda kasih sayang.

    “Sepanjang perkenalan mereka dari 2020 hingga 2023, mangsa telah melakukan 22 pindahan wang ke akaun yang berbeza-beza sehingga mencapai jumlah RM500,000.

    “Suspek juga mengarahkan mangsa supaya membuang segala bukti seperti resit pindahan wang ke akaun yang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abdul Rahim berkata disebabkan rasa sayang dan percaya, mangsa menurut semua arahan suspek tanpa curiga dan memikirkan akibatnya di kemudian hari.

    Menurut beliau, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas dimaklumkan rakannya bahawa lelaki yang juga buah hatinya itu bukanlah individu yang sering berhubung dengannya selama ini.

    “Mangsa membuat laporan polis pada Ahad lepas selepas kehilangan wang simpanan dan wang pinjaman peribadi berjumlah setengah juta,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan segala taktik penipuan oleh penjenayah yang telah memperdaya ramai mangsa. – BERNAMA

  • Love Scam: Doktor wanita rugi lebih RM90,000

    Love Scam: Doktor wanita rugi lebih RM90,000

    SEORANG doktor wanita kerugian RM94,001 dipercayai akibat diperdaya sindiket ‘Love Scam’ selepas berkenalan dengan seorang lelaki melalui Facebook sejak Januari lalu.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, perkenalan antara mangsa berusia 31 tahun dengan lelaki terbabit yang mendakwa bekerja di luar negara, berterusan menerusi WhatsApp menggunakan nombor telefon antarabangsa.

    Beliau berkata, mangsa bagaimanapun dikatakan tidak pernah berjumpa individu terbabit sepanjang tempoh perkenalan mereka.

    “Selepas dua minggu berkenalan, suspek didakwa meminta mangsa melakukan transaksi dalam talian bagi urusan pembelian barang melalui laman sesawang. Justeru ketika berada di rumah, mangsa dikata memasukkan maklumat diberi suspek, iaitu data pengenalan dan kata laluan.

    “Mangsa yang menggunakan akaun peribadi, melakukan beberapa transaksi pembelian barang berjumlah ASD18,640 (RM79,369) dan ASD33,990 (RM144,729). Namun, akaun mangsa dikata dibekukan tanpa sebab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa kemudian diminta membuat pembayaran deposit bagi membolehkan akaun diaktifkan semula.

    “Mangsa mengikut arahan diberikan laman sesawang itu dan melakukan pembayaran deposit secara beberapa kali ke dalam satu akaun tempatan berjumlah RM23,701.

    “Mangsa diberitahu jumlah berkenaan tidak mencukupi dan perlu menambah lagi, sebelum diarah menggunakan aplikasi khusus bagi tujuan penukaran mata wang asing.

    “Wanita itu masih mempercayai arahan berkenaan dan melakukan empat transaksi. Bagaimanapun, mangsa kemudian diminta melakukan transaksi kepada rakan suspek,” katanya, lapor Berita Harian.

    Susulan itu, beliau berkata, mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu dan tidak melakukan transaksi kepada rakan suspek sebagaimana diminta suspek.

    “Mangsa mengalami kerugian berjumlah RM94,001. Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dalam setiap perkenalan dalam talian,” katanya.

  • Wanita rugi lebih RM150,000 diperdaya kekasih alam maya

    Wanita rugi lebih RM150,000 diperdaya kekasih alam maya

    SEORANG wanita berusia 44 tahun mengalami kerugian sebanyak RM152,050 selepas terpedaya dengan cinta maya (love scam) seorang individu dikenalinya menerusi Facebook sejak awal Sept lepas.

    Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata suspek menghubungi wanita terbabit menggunakan aplikasi WhatsApp pada 8 Okt lepas, memaklumkan dia telah ditahan pihak Imigresen kerana membawa mata wang Britain dalam kuantiti yang banyak.

    “Atas dasar percaya dan kasihan, mangsa telah membuat 27 transaksi pindahan wang dari 10 Okt hingga 5 Dis ke dua akaun berbeza yang diberikan suspek bagi tujuan bayaran untuk menolong ‘kekasihnya’ itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Zulkipli berkata mangsa yang menyedari telah ditipu selepas meragui bayaran tersebut kemudiannya menghubungi rakannya sebelum membuat laporan polis pada 8 malam, semalam.

    Sementara itu, Zulkipli menasihati orang awam agar berhati-hati dengan sindiket penipuan ‘love scam’ serta mengingatkan mereka agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu daripada seseorang yang hanya dikenali di laman sosial. – BERNAMA

  • Pesara kerugian RM199,550 dua kali diperdaya ‘Love Scam’

    Pesara kerugian RM199,550 dua kali diperdaya ‘Love Scam’

    PESARA wanita kehilangan RM199,550 selepas diperdaya sindiket Love Scam melalui perkenalan menerusi media sosial.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, berkata wanita berusia 50-an itu berkenalan dengan seorang lelaki menerusi Facebook, pada awal Julai lalu.

    Katanya, mangsa kemudian berurusan dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp sebelum ditawarkan hadiah sekeping cek bernilai USD145,000 (RM650,000).

    “Mangsa diarahkan membuat pembayaran bagi melepaskan cek. Mangsa membuat 13 transaksi ke dalam satu akaun bermula daripada 10 Ogos hingga 17 Ogos lalu, membabitkan pembayaran sebanyak RM124,000.

    “Tidak lama kemudian, mangsa berkenalan dengan seorang lagi lelaki menerusi Facebook, sebelum berurusan melalui WhatsApp dan ditawarkan hadiah berupa wang tunai dan barang perhiasan.

    “Mangsa sekali lagi diminta membuat pelbagai bayaran untuk melepaskan barang kiriman dengan Kastam membabitkan 13 transaksi ke dua akaun berbeza dalam tempoh enam hari bermula 23 Ogos lalu dengan nilai pembayaran sebanyak RM75,550,” katanya hari ini.

    Abdul Rahim berkata, mangsa tidak menerima hadiah yang dijanjikan dan menanggung kerugian sebanyak RM199,550.

    Katanya, mangsa membuat laporan polis pada Khamis lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    “Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terperdaya dengan individu yang dikenali menerusi laman sosial, bagi mengelak menjadi mangsa penipuan seperti Love Scam,” katanya.

  • Tujuh diberkas termasuk dua wanita terlibat sindiket ‘love scam’

    Tujuh diberkas termasuk dua wanita terlibat sindiket ‘love scam’

    POLIS menahan tujuh individu termasuk dua wanita warganegara asing yang disyaki terlibat dengan sindiket penipuan ‘love scam’ dalam serbuan berasingan di tiga premis di Puchong, semalam.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun itu menyasarkan mangsa dalam kalangan rakyat Malaysia dan Hong Kong.

    Pihkanya merampas beberapa buah komputer riba, telefon bimbit, ‘router’, pasport dan sejumlah kad pengeluaran tunai daripada pelbagai bank

    “Siasatan mendapati ahli sindiket itu memasuki Malaysia sekitar tiga tahun lalu dengan menggunakan pas pelajar.

    “Sindiket ini menggunakan pelbagai nama samaran dan akaun palsu di platform Facebook dan Instagram, mereka akan menghantar permohonan untuk menjadi rakan kepada pengguna media sosial.

    “Mangsa yang terpedaya dengan kata-kata manis dan janji palsu kemudiannya akan diminta untuk memindahkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, kesemua mereka ditahan direman sehingga Sabtu bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963.

  • WANITA KERUGIAN RM37,330 ditipu ‘love scam’

    WANITA KERUGIAN RM37,330 ditipu ‘love scam’

    SEORANG ejen broker perniagaan kejuruteraan kerugian RM37,330 akibat menjadi mangsa penipuan ‘love scam’ selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi media sosial, sejak pertengahan Feb lepas.

    Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata wanita dari Felda Gugusan Raja Alias itu mendakwa berkenalan dengan pemilik akaun ‘LinkedIn’ bernama ‘Ali Rahman’ sejak 13 Feb lepas dan mereka sering berhubung melalui aplikasi WhatsApp. 

    “Wanita itu kerap berhubung dengan lelaki tersebut bagi berkongsi pengalaman hidup dan hal berkaitan kejuruteraan memandangkan mereka berada dalam bidang yang sama. 

    “Bagaimanapun pada April lepas, lelaki berkenaan memberitahu wanita itu bahawa dirinya menerima bayaran baki akhir bagi kerja kontrak daripada sebuah syarikat dan menamakan mangsa sebagai penerima manfaat daripada bayaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Hoo berkata bayaran itu didakwa dilakukan menerusi Unisys Security Agency Company (UK) dan lelaki tersebut meminta mangsa menghubungi ejen-ejen daripada syarikat tersebut bagi menuntut baki bayaran kontrak berkenaan.

    Katanya mangsa diminta melakukan pembayaran ke enam akaun berbeza yang melibatkan lapan transaksi dengan jumlah keseluruhan RM37,330 bagi kelancaran urusan tuntutan bayaran berkenaan.

    Hoo berkata mangsa menyedari ditipu selepas sekali lagi diminta untuk melakukan pembayaran berkenaan dan kemudian membuat laporan polis semalam.

    Dalam kes lain, Hoo berkata seorang pemandu pengorek-kaut dari Bahau turut kerugian RM20,000 selepas diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar wakil Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jumaat lepas.

    Beliau berkata lelaki berusia 56 tahun itu mendakwa dihubungi oleh seorang wakil LHDN pada 3.39 petang dan kemudian memaklumkan namanya tersenarai hitam kerana tidak melunaskan pembayaran cukai tertunggak sebanyak RM176,000.

    “Panggilan itu kemudiannya disambung ke pihak lain yang memaklumkan mangsa mempunyai rekod dalam penglibatan penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram selain akan dikenakan tindakan berkenaan hal tersebut.

    “Akibat percaya, lelaki itu mengikut arahan yang diminta termasuk memberi maklumat ‘nama pengguna’ dan ‘kata laluan’ sistem perbankan dalam talian miliknya untuk tujuan semakan,” katanya sambil menambah pengadu menyedari ditipu selepas mendapati berlaku dua kali transaksi perpindahan wang berjumlah RM20,000 apabila membuat semakan dengan bank dan kemudian membuat laporan polis semalam.

    Beliau berkata kedua-dua kes berkenaan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – BERNAMA

  • Wanita ditipu love scam, rugi RM105,523

    Wanita ditipu love scam, rugi RM105,523

    SEORANG peniaga wanita berusia 36 tahun dari Felda Serting Hilir, Jempol, mengalami kerugian RM105,523 selepas diperdaya seorang lelaki yang dikenalinya menerusi Facebook, sejak hujung 2018.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata mangsa berkenalan dengan pemilik Facebook bernama ‘KA Agus’ dari Palembang, Indonesia.

    “Pada awalnya mereka hanya berinteraksi dalam ‘Messenger’ Facebook dan kemudian berhubung melalui aplikasi WhatsApp. Selepas itu, lelaki berkenaan meminta wang daripada mangsa untuk membantu masalah kewangan yang dihadapinya.

    “Lelaki itu sering meminta wang bagi menyelesaikan masalah keluarganya selain berjanji akan membayar kesemua pinjaman itu setelah menjual tanahnya di Indonesia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata atas dasar percaya, wanita berkenaan telah mengirimkan wang kepada lelaki itu secara berperingkat ke 19 akaun yang berbeza bermula 31 Ogos 2019, melibatkan 37 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM105,523.

    Katanya, cara pengiriman wang kepada lelaki berkenaan dilakukan menerusi ejen kiriman wang seperti Bank Central Asia, Bank Rakyat Indonesia dan Bank Mandiri Indonesia di sekitar Bahau.

    Aibee berkata mangsa yang menyedari ditipu telah bertindak membuat laporan polis pada Isnin lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan jangan mudah terjerat dengan cinta menerusi laman sosial agar tidak menjadi mangsa penipuan.- BERNAMA