Tag: Loh Siew Hong

  • Perlis, MAIPs & 2 lagi bantah permohonan Loh cabar pengislaman anak

    Perlis, MAIPs & 2 lagi bantah permohonan Loh cabar pengislaman anak

    KERAJAAN Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan dua lagi, hari ini membantah saman difailkan ibu tunggal, Loh Siew Hong bagi mencabar pengislaman tiga anaknya oleh bekas suami tanpa keizinan wanita itu.

    Peguam A. Srimurugan yang mewakili Loh berkata, keempat-empat responden itu mengemukakan bantahan atas alasan anak guamnya, Loh telah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman melebihi tempoh masa ditetapkan.

    “Responden membantah atas alasan pemohon (Loh) sepatutnya memfailkan permohonan itu dalam masa 90 hari selepas ketiga-tiga anaknya memeluk agama Islam pada 7 Julai 2020.

    “Pihak kami juga telah memasukkan relif untuk mendapatkan lanjutan masa sekiranya terlewat memfailkan permohan itu dan ia juga dibantah oleh responden,” katanya ketika dihubungi, selepas pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh secara dalam talian.

    Menurut Srimurugan, tiada kelewatan dalam pemfailkan permohonan itu kerana Loh hanya mengetahui anak-anaknya telah memeluk agama Islam pada 10 Mac lepas dan permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan pada 25 Mac.

    Peguam itu berkata, mahkamah menetapkan 1 Ogos ini untuk keputusan permohonan berkenaan.

    Prosiding itu turut disertai peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, mewakili MAIPs dan Peguam Kanan Persekutuan, Ainul Wardah Shahidan mewakili tiga responden iaitu Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis.

    Loh, 34, memfailkan permohonan tersebut pada 25 Mac lepas antaranya memohon deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya adalah penganut agama Hindu dan bekas suaminya, M. Nagahswaran tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.

    Wanita itu juga menuntut deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya, sebagai kanak-kanak tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk memeluk agama Islam, tanpa keizinannya.

    Beliau memohon perintah certiorari untuk membatalkan Akuan-Akuan Memeluk Agama Islam bertarikh 7 Julai 2020 yang dikeluarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis atas nama ketiga-tiga anaknya.

    Loh juga memohon perintah mandamus untuk mengarahkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis memadam atau membatalkan nama dan nama Islam anak-anaknya dalam Daftar Mualaf Negeri Perlis dan perintah larangan untuk menghalang Mohd Asri, melalui pegawai atau Jabatan Mufti Negeri Perlis membuat apa-apa kenyataan yang membawa maksud anak-anaknya mualaf atau beragama Islam.

    Pemohon juga menuntut deklarasi bahawa Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, yang memberi kuasa kepada Pendaftar Mualaf Negeri Perlis untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak sebagai mualaf hanya dengan keizinan ibu atau bapa kanak-kanak tersebut, walaupun kedua-dua mereka masih hidup, adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

    Pada 21 Feb lepas, anak kembar perempuan Loh berumur 14 tahun dan anak lelaki berumur 10 tahun yang berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan serta-merta kepada Loh, selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu. – BERNAMA

  • Permohonan Loh cabar bekas suami daftar anak mualaf didengar 17 Mei

    Permohonan Loh cabar bekas suami daftar anak mualaf didengar 17 Mei

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 17 Mei ini untuk mendengar permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan ibu tunggal, Loh Siew Hong bagi mencabar tindakan bekas suaminya mendaftarkan ketiga-tiga anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.

    Peguam A. Srimurugan yang mewakili Loh ketika dihubungi pemberita berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh secara dalam talian.

    Loh, 34, selaku pemohon memfailkan permohonan tersebut pada 25 Mac lepas dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

    Ibu tunggal itu memohon deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya adalah penganut agama Hindu dan bekas suaminya, M. Nagahswaran tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa keizinannya.

    Wanita itu juga menuntut deklarasi bahawa ketiga-tiga anaknya, sebagai kanak-kanak tidak mempunyai keupayaan dari segi undang-undang untuk memeluk agama Islam, tanpa keizinannya.

    Beliau memohon perintah certiorari untuk membatalkan Akuan-Akuan Memeluk Agama Islam bertarikh 7 Julai 2020 yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf Negeri Perlis atas nama ketiga-tiga anaknya selain membatalkan kad-kad rasmi memeluk agama Islam jika ia telah dikeluarkan oleh pendaftar mualaf berkenaan atau mana-mana pihak lain dan memohon perintah larangan untuk menghalang pihak terbabit mengeluarkan kad berkenaan, sekiranya belum dikeluarkan.

    Selain itu, ibu tunggal berkenaan memohon perintah mandamus untuk mengarahkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis memadam atau membatalkan nama dan nama Islam anak-anaknya dalam Daftar Mualaf Negeri Perlis dan perintah larangan untuk menghalang Mohd Asri, melalui pegawai, pekerja atau Jabatan Mufti Negeri Perlis membuat apa-apa kenyataan secara nyata atau tersirat yang boleh membawa maksud anak-anaknya mualaf atau beragama Islam.

    Pemohon juga menuntut deklarasi bahawa Seksyen 117(b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, dalam versi bahasa Malaysia dan Inggeris, seperti yang dipinda oleh Seksyen 7 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pindaan) 2016, yang memberi kuasa kepada Pendaftar Mualaf Negeri Perlis untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak sebagai mualaf hanya dengan keizinan ibu atau bapa kanak-kanak tersebut, walaupun kedua-dua mereka masih hidup, adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

    Pada 21 Feb lepas, tiga beradik yang berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan serta-merta kepada Loh, selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

    Dalam notis usul difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Feb lepas, Loh menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.

    Loh memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden dan dikembalikan kepadanya. – BERNAMA

  • Mahkamah perintah 3 anak Loh Siew Hong diserah segera kepadanya

    Mahkamah perintah 3 anak Loh Siew Hong diserah segera kepadanya

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan tiga adik-beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, menurut perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 31 Mac 2021, pemohon telah diberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ke atas ketiga-tiga anaknya.

    “Terdapat juga perintah ex-parte interim bertarikh 20 Dis 2019, memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal anak-anaknya kepada pemohon.

    “Perintah mahkamah masih kekal dan masih sah. Perintah mahkamah tidak boleh dilayan dengan sewenang-wenangnya dalam berhadapan penghinaan mahkamah. Oleh sebab perintah mahkamah masih kekal, saya membenarkan permohonan writ habeas corpus,” kata hakim itu.

    Dalam notis usulnya yang difailkan melalui Tetuan SS Thind pada 13 Feb, Loh menamakan Nazirah Nanthakumari Abdullah sebagai responden pertama dan pihak yang tidak dinamakan yang beliau dakwa menjaga tiga anaknya sebagai responden kedua.

    Loh memohon writ habeas corpus atau perintah lain yang sesuai oleh mahkamah untuk membolehkan anak-anaknya itu dibebaskan serta-merta daripada hak penjagaan persendirian responden, dan dikembalikan kepadanya.

    Loh, 34, kelihatan menangis ketika hakim menyampaikan penghakiman.

    Anak Loh, kembar perempuan berumur 14 dan seorang lelaki berumur 10 tahun, ditempatkan di bilik saksi semasa prosiding itu.

    Beliau memfailkan permohonan habeas corpus atas alasan walaupun Mahkamah Tinggi telah memberikan hak penjagaan dan kawalan tunggal ketiga-tiga anaknya itu kepadanya, beliau tidak dapat bertemu  mereka kerana bekas suaminya M. Nagahswaran telah menyembunyikan mereka.

    Loh mendakwa mendapat tahu anak-anaknya berada dalam kawalan responden pertama (Nazirah dipercayai pendakwah) di Yayasan Hidayah Centre di Bayan Lepas, Pulau Pinang, namun dia (Nazirah) tidak membenarkannya pemohon bertemu dan menjemput anak-anaknya

    Beliau mendakwa anak-anaknya kemudian dipindahkan ke Perlis dan menempatkan mereka di bawah kawalan dua responden.

    “Tindakan responden menjaga kanak-kanak tanpa kebenaran pemohon merupakan penahanan yang menyalahi undang-undang atau penahanan yang tidak wajar dalam penjagaan peribadi dan ini memerlukan campur tangan mahkamah kerana pemohon tidak mengetahui lokasi khusus anak-anaknya.

    “Pemohon mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa terdapat niat dan usaha responden untuk mengislamkan anak-anaknya dan membawa mereka di luar bidang kuasa mahkamah ini,” katanya.

    Terdahulu, peguam A. Srimurugan yang mewakili Loh, berhujah tiga beradik itu sepatutnya dikembalikan kepada ibu kandung mereka kerana ibunya telah mendapat hak penjagaan, perlindungan dan kawalan ke atas anak-anaknya dan tindakan responden mengawal mereka dianggap sangat tidak menghormati perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.

    “Persoalan yang dibangkitkan hari ini tidak melibatkan isu agama atau konflik yang melibatkan undang-undang Syariah, sebaliknya ia berkaitan dengan pematuhan perintah mahkamah sebelum ini,” katanya sambil menambah bekas suami Loh ditahan di sebuah penjara di Kelantan.

    Sementara itu, peguam Aidil Khalid yang mewakili Nazirah berhujah bahawa isu penukaran agama secara unilateral jelas tidak relevan.

    “Anak guam saya (Nazirah) tidak sepatutnya dinamakan sebagai pihak dalam permohonan habeas corpus itu kerana ketiga-tiga adik-beradik itu kini tidak berada di bawah jagaannya,” katanya.

    Kanak-kanak itu ditempatkan di institusi kebajikan atas permintaan Loh selepas mendapat perintah mahkamah demi kepentingan dan kebajikan kanak-kanak itu. – BERNAMA