Tag: liwat

  • Penganggur rogol, liwat, bunuh nenek umur 85 tahun dihukum mati

    Penganggur rogol, liwat, bunuh nenek umur 85 tahun dihukum mati

    SEORANG penganggur yang membunuh wanita warga emas berusia 85 tahun selepas merogol dan meliwatnya dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di Shah Alam hari ini.

    Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas K. Satiaraj, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

    Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata, tertuduh mempunyai niat mendatangkan kecederaan terhadap si mati dan melakukan perbuatan itu dalam keadaan sedar.

    “Berdasarkan keterangan-keterangan, tertuduh tidak mengalami kesukaran dalam mengingati dan menceritakan apa yang berlaku.

    “Tertuduh masuk ke rumah si mati untuk mencuri selain tertuduh mengetahui perbuatan menutup mulut dan mengikat tangan si mati supaya wanita itu tidak boleh menjerit.

    “Tertuduh juga mengetahui tujuan dia mengikat tangan si mati supaya tidak dapat membuka kain yang disumbat di mulut si mati,” katanya dan menambah tertuduh sebelum ini turut mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan meliwat si mati.

    Ab Karim berkata, perbuatan tertuduh menyelongkar almari bagi mencari sesuatu untuk dicuri dan kemudian mencuri rantai emas selepas merogol dan meliwat si mati, jelas menunjukkan tertuduh dalam keadaan sedar.

    “Sebaik keluar dari rumah si mati, tertuduh secara sedar telah meminta bantuan daripada rakannya (N. Hari Krishnan, saksi pendakwaan kelapan (SP8) untuk menggadaikan rantai tersebut kerana tertuduh tidak mempunyai kad pengenalan.

    “Selain itu, tidak ada dalam keterangan SP8 yang menunjukkan tertuduh dalam keadaan mabuk. Tertuduh juga tidak mempunyai apa-apa bukti yang menunjukkan ketika kejadian dia dalam keadaan mabuk, kesemua menunjukkan bahawa perbuataan tertuduh dalam keadaan normal,” katanya.

    Sathiaraj didakwa membunuh wanita itu di sebuah rumah di Kampung Tasik Tambahan, Ampang antara 11.40 pagi hingga 1 tengah hari, 19 Sept 2019 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

    Sebelum ini, tertuduh yang mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan meliwat warga emas itu dihukum penjara 13 tahun dengan lima sebatan.

    Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita warga emas ditemukan mati dengan kedua-dua tangannya diikat. Mangsa dijumpai dalam keadaan tertiarap oleh anak keduanya yang pulang daripada bekerja. – BERNAMA

  • Liwat murid: Bekas guru pelatih dipenjara enam tahun, dua sebatan

    Liwat murid: Bekas guru pelatih dipenjara enam tahun, dua sebatan

    SEORANG bekas guru pelatih terpaksa menjalani hukuman penjara enam tahun selepas gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan Putrajaya untuk mengetepikan sabitan atas kesalahan meliwat seorang murid tahun enam pada 2016.

    Mohamad Harman Faiz Hassin, 30, yang dibebaskan dengan ikat jamin RM22,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya selesai, turut diperintah disebat dua kali.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara menolak rayuan Mohamad Harman terhadap sabitan kesalahan liwat yang dilakukan di sebuah bilik di asrama institut perguruan di Besut, Terengganu pada kira-kira 1 tengah hari, 17 Sept 2016.

    Hakim berkata Mahkamah Sesyen telah membuat dapatan yang betul berdasarkan bukti dan sabitan Mohamad Harman bagi kesalahan itu adalah selamat.

    Bagaimanapun mahkamah membenarkan rayuan Mohamad Harman supaya hukuman penjaranya dikurangkan daripada 10 tahun kepada enam tahun.

    Dalam keputusan mahkamah, hakim itu berkata mahkamah bersetuju untuk mengurangkan hukuman penjara terhadap Mohamad Harman memandangkan perayu (Mohamad Harman) masih muda ketika melakukan kesalahan itu dan juga adalah pesalah pertama.

    Kamaludin berkata penjara enam tahun itu juga akan mengambil kira tempoh Mohamad Harman menjalani hukumam penjara sebelum dia diberi jaminan oleh Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuannya diselesaikan.

    Panel hakim terdiri daripada Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan, turut mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen supaya Mohamad Harman menjalani pengawasan polis selama dua tahun selepas dia selesai menjalani hukuman penjara.

    Pada 5 Mac 2019, Mahkamah Sesyen mendapati Mohamad Harman bersalah atas tuduhan meliwat murid lelaki berusia 12 tahun ketika itu dan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan.

    Dia gagal dalam rayuannya terhadap sabitan di Mahkamah Tinggi namun hukumannya dikurangkan kepada 10 tahun penjara dan dua sebatan. Dia kemudiannya memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan.

    Peguam Datuk Jasbeer Singh Kaura yang mewakili Mohamad Harman memberitahu media bahawa anak guamnya pernah menjalani hukuman penjara kira-kira tiga setengah bulan sebelum ini.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud.- BERNAMA

  • Wanita maut dirogol, diliwat

    Wanita maut dirogol, diliwat

    SEORANG wanita berusia 40 tahun ditemui maut selepas dipercayai dirogol dan diliwat dalam kejadian di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Seruling Emas, Nibong Tebal, Pulau Pinang semalam.

    Lebih tragis, mayat wanita itu ditemui disorok di bawah katil di salah sebuah bilik di tingkat bawah rumah berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern, kejadian menimpa mangsa itu disedari rakannya yang mencarinya di rumah selepas mangsa tidak datang berjumpanya walaupun berjanji bertemu pukul 3 petang semalam.

    Ujarnya, ketika tiba di rumah mangsa, rakannya itu melihat seorang lelaki meninggalkan rumah berkenaan menaiki sebuah motosikal sebelum bertindak menghubungi kakak mangsa yang kemudiannya melaporkan kepada polis.

    “Pemeriksaan polis mendapati keadaan rumah mangsa berselerak dan mayatnya ditemui terbaring di bawah katil di dalam bilik tingkat bawah.

    “Selain itu, seorang jiran mangsa turut mendakwa nampak pergerakan keluar seorang lelaki dengan motosikal jenis SYM dari rumah itu kira-kira pukul 4.30 petang semalam,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Chong Chern berkata, berdasarkan maklumat itu polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 29 tahun ketika dipercayai bersembunyi di Changkat Sungai Jawi, Nibong Tebal.

    Jelas beliau, siasatan ke atas suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau itu mendapati sehari sebelum kejadian dia pergi menghisap syabu di rumah rakannya di Kampung Wellesley, Sungai Bakap kira-kira pukul 6 petang.

    “Suspek kemudian meminjam motosikal rakannya untuk bersiar-siar di kawasan taman perumahan itu kira-kira pukul 2 pagi sebelum masuk rumah mangsa melalui tingkap di bahagian belakang.

    “Suspek mendakwa telah masuk ke dalam bilik tidur dan nampak mangsa sedang tidur di atas katil sebelum merogol dan meliwatnya,” katanya.

    Beliau berkata, suspek turut bertindak menyumbat seluar dalam mangsa ke dalam mulut dan menutup mulutnya dengan tangan selepas suspek cuba melawan.

    “Suspek kemudiannya mendapati mangsa tidak bergerak dan disyaki meninggal dunia sebelum menarik mayatnya dan disembunyikan di bawah katil,” katanya.

    Tambah beliau, suspek turut mengaku mengambil sebuah telefon bimbit, wang tunai dan loket milik mangsa sebelum keluar dari rumah itu namun telah membuangnya ke dalam sungai.