Tag: Limbang

  • PRU-15: Pengundi Limbang, Baram redah banjir mengundi

    PRU-15: Pengundi Limbang, Baram redah banjir mengundi

    PENGUNDI di empat pusat pengundian di Limbang dan Baram terpaksa meredah banjir untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan empat pusat pengundian yang terkesan akibat banjir itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Telahak dan SK Meritam di Limbang serta SK Dato Sarif, Kampung Narum, Marudi dan SK Long Bemang di Baram.

    Maklumat daripada Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak menyatakan trend air meningkat dilaporkan di SK Meritam setinggi satu meter dan SK Telahak (0.6 meter), sementara trend menurun dicatatkan di SK Long Bemang (0.33 meter).

    Turut dilaporkan keadaan banjir yang melibatkan laluan menuju ke SK Dato Sarif dengan paras air berada 0.08 meter dari paras jalan raya.

    Di sebalik keadaan bencana alam ini, proses pengundian untuk PRU15 di kawasan berkenaan berjalan lancar.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Azman Ahmad Sapri yang ditemui pemberita di sini hari ini berkata Ketua Polis Daerah di kawasan terkesan banjir berkenaan melaporkan proses pengundian berlangsung lancar setakat ini.

    Katanya, Polis Sarawak bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memastikan keadaan banjir itu tidak menjejaskan perjalanan proses berkenaan.

    “Sehingga kini saya tidak menerima sebarang (laporan) permasalahan (namun), kita akan sentiasa kemas kini (perkembangan terkini). Nanti petang kita akan keluarkan (kenyataan) selepas proses pengundian tutup (selesai),” tambahnya.

    Semalam, media tempatan melaporkan SPR akan membuat keputusan sama ada pengundian di Parlimen Baram diteruskan hari ini atau ditangguhkan selepas cuaca buruk menghalang usaha menghantar petugas pilihan raya ke 24 daripada 194 pusat mengundi di kawasan Parlimen itu. – BERNAMA

  • Limbang, Kapit, Miri diisytihar kawasan kawalan Demam Babi Afrika

    Limbang, Kapit, Miri diisytihar kawasan kawalan Demam Babi Afrika

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BAHAGIAN Limbang, Kapit dan Miri di Sarawak diisytiharkan sebagai kawasan kawalan penyakit Demam Babi Afrika (ASF) susulan penularan virus berkenaan di Sabah dan Utara Kalimantan di Indonesia.

    Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS), Dr. Adrian Susin Ambud berkata, di bawah Seksyen 35(1) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999, orang awam tidak dibenarkan untuk memindah atau membawa babi hidup, daging atau hasil produk haiwan itu keluar dari kawasan kawalan.

    “Orang awam juga tidak dibenarkan membawa masuk, jual beli secara dalam talian atau aktiviti kiriman pos sebarang daging babi atau hasil produknya tanpa permit, membeli atau menjual (secara fizikal atau dalam talian) atau menyimpan babi hutan dan babi hutan liar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurutnya, tiada pampasan akan dibayar untuk sebarang babi atau hasil produk babi yang dirampas atau dimusnahkan di bawah seksyen ini dan kegagalan untuk mematuhi arahan tersebut akan dikenakan denda tidak melebihi RM1,000.

    Katanya lagi, sekiranya terdapat sebarang keganjilan atau kelainan dalam kadar kematian ternakan di ladang ternakan, para penternak harus melaporkan terus kepada Pejabat Veterinar Bahagian terdekat atau boleh menghubungi talian Whatsapp 016-284 0918.