Tag: lima

  • LIMA buat kemunculan semula besar-besaran tahun depan

    LIMA buat kemunculan semula besar-besaran tahun depan

    Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) dijangka membuat kemunculan semula secara besar-besaran tahun depan, yang dijadualkan berlangsung pada Mei, memandangkan sempadan kini dibuka sepenuhnya dengan corak tingkah laku perjalanan kembali kepada waktu sebelum pandemik.

    Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, Malaysia yakin LIMA 2023 bakal menjadi acara paling popular di rantau ini selepas edisi terakhir LIMA atau LIMA 19 memandangkan edisi 2021 terpaksa dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

    “Susulan kerumpangan tiga tahun selepas penganjuran LIMA 19, bukan sahaja kerajaan dan pihak penganjur bersiap sedia sepenuhnya malah pempamer, delegasi asing serta orang ramai begitu teruja dan tidak sabar menantikan LIMA 2023.

    “Siri pameran LIMA yang membuat penampilan sulung pada 1991 telah menempuh pelbagai pengalaman sejak 30 tahun lepas dan ia telah diangkat sebagai acara terbesar dan paling popular serta dinanti-nantikan di rantau Asia Pasifik,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama di Pertunjukan Udara Farnborough 2022 (FIA 2022) yang berlangsung di United Kingdom pada Rabu.

    Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak. Video sidang akhbar itu kemudian diedarkan kepada Bernama.

    LIMA 2023 akan berlangsung dari 23 hingga 27 Mei 2023 di Langkawi.

    Isham pula berkata, penyertaan Malaysia dalam FIA 2022 merupakan platform terbaik untuk memulakan kempen promosi selama 10 bulan bagi LIMA 2023 membabitkan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd sebagai penganjur dilantik bagi LIMA 2023 yang akan membuat pameran di Pavilion Malaysia MATRADE.

    Beliau berkata, sebanyak 14 syarikat Malaysia dan tiga agensi kerajaan mengambil bahagian dalam acara lima hari itu yang berakhir pada Jumaat. – BERNAMA

  • Lima bangunan di HQE berisiko tanah runtuh dikosongkan

    Lima bangunan di HQE berisiko tanah runtuh dikosongkan

    SEBANYAK lima bangunan berisiko di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu, Sabah yang terletak berhampiran tanah runtuh sehingga memusnahkan stor simpanan ubat-ubatan Kementerian Kesihatan (KKM) malam tadi, telah dikosongkan sebagai langkah keselamatan.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata lima bangunan itu iaitu Stor Ubat dan Consumable, Wad Perubatan Kronik, Wad Rehab, Klinik Tibi dan Sleep Lab terletak di Kompleks C HQE.

    Menurutnya, runtuhan seluas 20 meter lebar tersebut pada masa sama mengakibatkan kerosakan struktur bangunan Sleep Lab dan stor Hospital Support Services (HSS).

    “Pihak HQE juga telah mengambil tindakan menutup perimeter kawasan runtuhan dan tapak runtuhan ditutup menggunakan kanvas.

    “Beberapa langkah akan diambil termasuklah baik pulih segera oleh Jabatan Kerja Raya dan bantuan kebajikan khas kepada kakitangan yang terkesan akibat kejadian ini,” katanya menerusi catatan Facebook belaiu hari ini.

    Mengulas lanjut, Khairy berkata, beliau sendiri akan ke Kota Kinabalu Isnin ini bagi melihat sendiri keadaan di sana dan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kerajaan Negeri Sabah bagi memperincikan tindakan seterusnya yang perlu diambil.

    Ujarnya, tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan dalam bencana berkenaan.

    Kejadian itu turut mengakibatkan tiga kenderaan dan sebuah motosikal kakitangan KKM, serta tiga kenderaan orang awam tertimbus.