Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua buah kapal kargo kerana bersauh tanpa kebenaran menerusi di dua lokasi berasingan di perairan Johor timur di Kota Tinggi, semalam.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, kapal kargo pertama berdaftar dari Vietnam ditahan pada pukul 12.40 tengah hari pada kedudukan 17.3 batu nautika timur laut Tanjung Penawar.
“Kapal ini dikendalikan 20 kru lelaki termasuk nakhoda berumur lingkungan 25 hingga 43 tahun semuanya warga Vietnam.
“Sementara kapal kedua berdaftar dari Monrovia, Liberia yang dikendalikan 24 kru lelaki termasuk nakhoda kesemuanya warga Filipina berusia di antara 24 hingga 62 tahun ditahan pukul 5.45 petang pada kedudukan 16.9 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan dokumen dua kapal berkenaan mendapati masing-masing nakhoda gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia.
Menurutnya, dua kapal itu seterusnya ditahan dan nakhoda serta seorang kru setiap kapal telah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Mohd Najib memberitahu, penahanan dua kapal itu merupakan yang keenam atas kesalahan bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia sejak 1 September lalu.
“Ini menjadikan jumlah kapal dagang yang telah ditahan pada tahun ini adalah 38 buah atas kesalahan yang sama daripada pelbagai jenis serta berdaftar dari pelbagai negara termasuk Malaysia,” katanya.
Tegas beliau, Maritim Malaysia amat serius dan akan mempergiatkan lagi usaha bagi membanteras aktiviti bersauh tanpa kebenaran.
“Maritim Malaysia juga ingin menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan perairan Johor Timur bebas daripada cubaan bersauh secara haram,” ujarnya lagi.
