Tag: Letupan bom

  • Masjid dibom: 30 maut ketika tunai solat berjemaah

    Masjid dibom: 30 maut ketika tunai solat berjemaah

    LETUPAN kuat di sebuah masjid Kabul, Afghanistan mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang umat Islam yang sedang menunaikan solat Isya’, dan angka kematian dijangka meningkat.

    Lapor Al Jazeera, puluhan jemaah lagi cedera dalam kejadian di Masjid Abu Bakr Siddique di kawasan Khair Khana, Kabul.

    Ulama sufi, Maulvi Amir Mohammad Kabuli dikatakan antara yang terbunuh.

    Namun jumlah rasmi jemaah terbunuh masih belum didedahkan pihak berkuasa.

    Menurut Reuters, sekurang-kurangnya 35 individu cedera atau maut dalam kejadian tersebut.

    Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Itali, Emergency yang mengendalikan sebuah hospital di Kabul berkata, pihaknya menerima 27 mangsa letupan itu, termasuk tiga yang maut.

    Menurut NGO itu, kebanyakan pesakit mengalami kecederaan akibat terkena serpihan dan mengalami lecur.

    Saksi memberitahu, letupan itu dapat didengar sehingga utara Kabul dan memecahkan tingkap beberapa bangunan.

    Insiden itu berlaku hampir seminggu selepas serangan berani mati terhadap ulama utama Taliban di madrasahnya.

    Militan Daish bertanggungjawab atas kejadian itu.

  • Letupan bom di Narathiwat, seorang maut dua cedera

    Letupan bom di Narathiwat, seorang maut dua cedera

    SEORANG orang awam maut manakala dua lagi cedera dalam satu insiden letupan bom di Narathiwat, selatan Thailand, hari ini. 

    Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mej. Jen. Pol. Waesamae Salae berkata dalam insiden kira-kira 8.30 malam (waktu tempatan) pada Sabtu, mangsa yang terbunuh berteduh di sebuah pondok berdekatan sebuah pos kawalan bersama isterinya yang turut cedera dalam kejadian itu.

    “Sebutir bom buatan sendiri seberat 20  kilogram yang dipasang pada tong gas dan diletakkan di atas sebuah motosikal yang diubahsuai dan ia diaktifkan menggunakan walkie-talkie.

    “Kekuatan letupan  dan serpihan bom menyebabkan lelaki  berusia 74 tahun meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, 57 tahun, cedera parah,” katanya pada satu sidang media di sini hari ini. 

    Selain itu, beliau berkata seorang lelaki, 56,  berada dalam sebuah rumah berdekatan  turut cedera apabila terkena bumbung rumah yang runtuh akibat kekuatan letupan bom. 

    “Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di hospital” katanya.- BERNAMA 

  • 60 cedera letupan di depot senjata Kementerian Pertahanan Kazakhstan

    60 cedera letupan di depot senjata Kementerian Pertahanan Kazakhstan

    Susunan ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH depot senjata meletup di daerah Bayzakov, Kazakhstan semalam dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 60 orang cedera sehingga menyebabkan pihak berkuasa memindahkan penduduk ke empat kampung berhampiran.

    Kerajaan tempatan menerusi satu kenyataan memberitahu, letupan itu berlaku di depot senjata Kementerian Pertahanan di wilayah selatan negara itu, Jambyl.

    Kerajaan Jambyl menyatakan 60 orang termasuk 11 anggota tentera dimasukkan ke sebuah hospital di bandar Taraz kerana mengalami kecederaan.

    “Penduduk di empat buah kampung termasuk sebuah kampung yang terletak kurang 1 kilometer dari lokasi letupan turut terlibat dalam proses pemindahan itu,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

    Bagaimanapun, setakat ini letupan tersebut tidak melibatkan sebarang kematian.

    Menurut Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan pula, kebakaran yang berlaku di salah satu depot di Jambyl telah menyebabkan berlakunya satu letupan.

    Kementerian itu juga menyatakan jabatan bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran tersebut dan sebuah suruhanjaya ditubuhkan bagi menentukan punca kejadian.

    Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev berkata menerusi Twitter, bahawa askar-askar dan pekerja-pekerja perkhidmatan kecemasan cedera dalam kejadian tersebut. – Agensi